728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

18 February 2015

SAHABATKU...SUAMI YANG MITHALI...

Beberapa bulan sebelum tiba hari majlis yang saya anjurkan, saya telah menghubungi beberapa orang sahabat lama. Sesetengahnya lebih 20 tahun tidak bertemu. Rata-rata memberikan persetujuan akan hadir.

Pada hari yang dimaksudkan, ramailah sahabat-sahabat lama saya ni hadir, kebanyakannya dengan pasangan masing-masing. Tidak kurang yang datang bersama keluarga. Beberapa orang dari mereka tidak saya kenali. Sehinggalah mereka terpaksa memperkenalkan diri masing-masing, barulah saya cam.


Beberapa hari selepas majlis berlangsung, saya menyemak nama-nama jemputan dan mereka yang hadir. Terdapat seorang sahabat yang sangat saya harapkan akan datang tetapi beliau tidak datang. Beliau adalag orang pertama yang saya hubungi sewaktu mula-mula merancang majlis berkenaan.

Saya pun menghantar mesej menggunakan WhatsApp. Tidak berapa lama kemudian, saya menerima gambar seseorang terlantar di atas katil dengan keadaan yang amat menyedihkan. Keseluruhan wajahnya tertutup kerana sedang diberikan bantuan pernafasan. Disertakan lagi dengan pelbagai tiub yang berselirat di sana sini di atas badannya.

Siapakah orang ini? Tertanya-tanya hati saya..

Tidak lama kemudian, saya mendapat mesej kata-kata berikut : "Ana mohon maaf banyak-banyak ustaz. Memang daripada awal ana rancang nak datang tapi disebabkan isteri ana sedang tenat sehingga sekarang di hospital menyebabkan ana terpaksa batal semua yang ana rancang. Mohon banyak-banyak kemaafan daripada ustaz."
Saya terkejut. Memang telah lama mendengar isteri beliau sakit, tetapi tidak sangka hingga begitu sekali keadaannya. Baru saya teringat cerita beberapa orang kawan bahawa sahabat berkenaan memang mengetahui bakal isterinya berpenyakit kronik sebelum mereka berkahwin lagi. Kini, perkahwinan mereka telah menjangkau lebih 20 tahun. Terbukti cinta dan kasih sayangnya bukan olok-olok kerana sudah sekian tahun menjaga isterinya yang sakit itu, dari hari ke hari semakin merosot pula.
Sememangnya sahabat saya ini seorang yang sangat baik hati sepanjang saya mengenalinya. Demi persahabtan dia sanggup melakukan apa sahaja. Terbukti suci jiwanya dengan menjadi seorang suami yang terus setia di sisi isterinya yang dalam keadaan tidak berdaya. Sudah tentulah, keperluan batiniahnya tidak terpenuh sekian lama, sedangkan dia berpangkat orangnya, serta memiliki wajah yang tampan, tentu tidak bebas daripada sebarang godaan.

Saya terkedu apabila mengenangkan cinta sejatinya itu. Sedangkan pasangan yang baik sering diabaikan, apalagi jika sakit, pasti lebih lama diabaikan. Ini tidak terjadi kepada diri sahabat ini. Beliau terus teguh dan kukuh tanpa sesekali mahu mengabaikan perhatiannya terhadap si isteri yang sudah tidak dapat meninggalkan apa-apa jasa buat dirinya.

Daripada kejadian ini, saya ingin simpulkan kepada 3 perkara yang memotivasikan :
1) Ketika isteri sihat, cantik dan dapat berkhidmat kepada kita, memanglah kita sayang. Tetapi, ketika isteri telah terlantar tidak berdaya, bagaimana kelakuan kita.
Daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah s.a.w bersabda " Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik kamu ialah mereka yang paling baik (pergaulan) dengan isterinya." HR al-Tirmizi
2) Seseorang suami itu belum dikatakan benar-benar mencintai isterinya sehingga dia diuji dengan ujian yang berat seperti ini. Andainya tidak pudar perhatian, itu tandanya cinta sejati. Andainya telah hilang, itulah pertikaian.
3) Seandainya kita tidak dapat mencontohi seratus-peratus sikap sahabat saya ini, sekurang-kurangnya sebahagian kecilnya jadikanlah pelajaran, teladan dan motivasi. Sememangnya kehidupan berumahtangga itu tidak hanya menjanjikan kesenangan tetapi juga kadang-kadang ia datang dengan kesakitan.
* Beberapa hari kemudian, saya mendapat berita isteri beliau telah meninggal dunia. Al-fatihah.

Cerita dari Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

1 comments:

  1. Assalamualaikum saya suka sekali dengan artikelnya, boleh saya minta izin untuk copas di blog saya. syukran terimakasih wassalam.

    ReplyDelete

Item Reviewed: SAHABATKU...SUAMI YANG MITHALI... Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top