Breaking News

LELAKI MANJA LEPAS KAHWIN NAMUN SEMAKIN MENJADI-JADI MANJANYA LEPAS UMUR 40-AN

SEORANG kawan perempuan bertanya, betulkah lelaki lepas kahwin akan jadi manja, dan apabila usia meningkat 40-an, manjanya menjadi-jadi.

Saya tidak terus menjawab. Sebabnya, dia belum kahwin dan saya tidak mahu sebarang jawapan saya akan mempengaruhinya untuk buat satu persepsi yang kekal terhadap lelaki. Ini tidak bagus untuk perkahwinannya nanti.


Namun pertanyaan itu memberikan saya idea untuk mendapatkan reaksi daripada kawan-kawan lain. Hasilnya, daripada lelaki, kebanyakannya memilih jawapan selamat. Ini sudah tentu kerana tidak mahu 'kemachoan' mereka terjejas jika mengaku.

Namun ada juga yang membuat saya berasa simpati kerana ramai yang mengaku, semakin lama, mereka semakin tidak dipedulikan malah ada juga isteri yang menyalah tafsir kemanjaan mereka sebagai mengada-ada. Tidak kurang juga isteri yang mengaku kepada saya, manja suami perlu dibaca sebagai malas.

Oh, sampai begitu sekali!
Zarina, seorang isteri, memberitahu saya, lelaki yang manja selepas berkahwin sebenarnya hanya mengambil kesempatan. Dalam kata lain, banyak urusan mahu diserahkan kepada isteri sedangkan isteri sendiri ada banyak urusan lain seperti jaga anak, memasak, mengemas rumah dan sebagainya. Itu belum lagi dikira urusan basuh kain, sidai kain, gosok kain dan lipat kain.
"Ini, nak gosok baju pun harap isteri. Dulu pakai baju tak bergosok pun tak kisah," katanya .

Saya cuba meredakan wanita berusia lewat 20-an itu dengan berkata, "Suami minta awak gosok sebab dulu dia tak pernah gosok baju, jadi dia tak pandai gosok baju. Nanti kalau dia gosok tak elok, orang akan mengata awak juga. Tengok tu, pakai baju kedut, mesti isteri dia yang tak pandai gosok. Nanti awak sendiri yang malu.

Jadi, dia nak jaga reputasi awak sendiri jugak," kata saya.

"Itulah Che Mat, cakap asyik nak menangkan lelaki," balasnya dengan nada tak puas hati.

Walau apa pun, baginya manja lelaki yang lepas berkahwin hanya kata positif bagi maksud sebenar, iaitu pemalas.

Aida, seorang isteri berusia lewat 30-an pula beri komen yang sangat positif. Katanya, kemanjaan suami mula kelihatan selepas 10 tahun berkahwin dan akan jadi lebih ketara selepas 15 tahun.

"Mungkin sebelum itu sebab sibuk macam-macam, tak sempat bermanja," katanya.

Apabila ditanya manja suaminya bagaimana, Aida berkata, dia dapat merasakan bahawa kemahuan (suami) untuk berdua-duaan lebih ketara seiring dengan meningkatnya usia.

Ya! Sebagai lelaki, saya akui katakata Aida sangat benar. Bertuahlah suaminya kerana punya isteri yang memahami.

Namun kata Aida, ada juga situasi itu yang berakhir dengan insiden suami merajuk. "Tetapi, merajuk lelaki, isteri susah nak faham. Kadang kala tak perasan pun dia makan hati. Tetapi dah 10, 15 tahun berumah tangga, isteri kenalah kreatif untuk 'tackle' balik hati suami macam baru kahwin dulu," katanya.

Rupa-rupanya, manja lelaki sama sahaja, tidak kira bangsa atau agama.
Seorang kawan lelaki, Aloysius Chin dari Pulau Pinang pula 'merungut': "Bro, dulu minta kopi, cepat saja datang. Sekarang bukan saja lambat, siap kena sound lagi, tak boleh buat sendiri ka? Tak tengokkah I sibuk jaga anak ni! Awak asyik tengok bola saja!"
Apabila saya tanya, "macam mana hang berani sangat komplen dalam Facebook ni, Aloy? Nanti naik papan tanda no entry baru tau!" tiba-tiba sahaja keluar kenyataannya: "Who hack my Facebook hah?"

Sebelum itu, bukan main lagi dia mengaku itu semua dari pengalaman.

Seorang lagi kawan perempuan, Ita pula berkata, lelaki mungkin susah nak merajuk kalau isteri pandai jaga rupa. Tak perlu cantik sangat sampai kena bersolek macam artis. Cukuplah dengan jaga tutur kata, maniskan wajah, banyakkan senyum.

Satu lagi, bentuk badan pun kena jaga. Jangan melantak ikut suka, daripada bentuk buah pir sudah jadi epal. Kenalah kekal macam buah pir seperti zaman anak dara atau baru kahwin dahulu.

Akan tetapi, kata Ita, lelaki pun jangan pandai perhati isteri sahaja. "Kalau yang merajuk tu boroi macam labu sayong, merajuk pula di penjuru dinding, bini mana pun putus angin nak pujuk Abang Mat ooiii Lantak dialah!"

Napisah, 50-an pula beri pandangan, suami perlu faham, isteri yang meningkat usia, tanggungjawab banyak bertambah. Anak-anak yang kian dewasa, kerenahnya pun berbagai.

Bagi yang ada ibu bapa, kena perhatikan juga sakit pening mereka. Kadang kala jadi tempat mengadu ipar duai pula. Jadi tidak sesuailah untuk suami bermanja seperti dulu hinggakan nak disikat rambut atau dipotong kuku.

"Kalau nak bermanja macam itu, kenalah buka cawangan baru," katanya.

Apa macam kawan-kawan? Ada berani sahut ini cabaran?


No comments