Breaking News

ISTERI..JAGALAH PERUT DAN BAWAH PERUT SUAMI

Maaflah kalau ayat saya kali ini agak berterus terang. Sejak lama dulu, kita biasa dengar apa yang sering disebut orang terutama pesanan daripada seseorang yang lebih tua kepada seorang wanita yang baru menempuh alam baru hidup berumah tangga, untuk pikat suami adalah dengan menjaga perut, dan yang di bawah perutnya!


Maksudnya, isteri perlu jaga baik-baik hal makan minum suami, dan juga memberi layanan yang terbaik kepadanya di tempat tidur.

Kalau isteri terbaik dalam dua perkara itu, dikatakan bahagialah rumah tangga. Suami yang kenyang makan di rumah takkan makan di luar - satu ayat yang mempunyai dua makna!

Tengah hari minggu lalu, saya duduk bersembang dengan tiga rakan, dua wanita yang kedua-duanya penerbit rancangan televisyen dan seorang lelaki, pensyarah universiti di sebuah restoran mamak di Kuala Lumpur.

Kami ditanya apakah benar lelaki zaman sekarang masih mengutamakan isteri yang pandai memasak?

Rakan saya si pensyarah berkata, dia tidak pernah terfikir pun mengenai hal itu. Saya sendiri pula kata, apa yang dimasak oleh isteri, bagi saya semuanya sedap (dan memang sedap pun).

Tetapi sebagai wanita bekerja, saya tahu isteri jarang-jarang sekali dapat peluang untuk memasak dan saya pula jarang-jarang sekali dapat peluang untuk makan di rumah. Dan saya amat hargai jika dalam peluang yang jarang-jarang itu, dia masih juga berusaha memasak untuk saya dan saya tahu, dia juga amat hargai dan berasa seronok jika saya dapat makan di rumah.

Ya, memangnya saya sendiri pun seronok sangat dapat makan di rumah. Tetapi jika saya yang bekerja ini tahu penat, isteri pun apa kurangnya!

Dia pun tahu penat juga dan pada hari cuti, saya lebih suka jika dia berehat. Inilah masanya untuk saya bawa dia makan di luar. Akan tetapi pada hari itu jugalah saya perhatikan dia akan sedaya upaya juga masak untuk saya makan di rumah.

Tidak. Ini bukanlah semata-mata cerita hal saya dan isteri dalam hal masak dan makan. Berbalik pada topik yang saya dan rakan-rakan bualkan, kita cuma mahu bandingkan apakah lelaki pada zaman ini masih demand pada isteri yang pandai masak, pandai jaga perut suami.

Sebabnya, wanita sudah jauh berubah. Jika dahulu bolehlah wanita dituntut pandai memasak untuk ikat hati suami sebab mereka zaman itu rata-rata tidak bekerja, tetapi wanita sekarang dalam bab ekonomi atau cari rezeki, sudah sama naik dengan lelaki.

Justeru, masihkah wajar dalam keadaan berpenat lelah pulang kerja, kena senteng lengan masuk dapur, masak sedap-sedap sedang suami hanya menunggu sambil berlingkar depan TV macam ular sawa tua?

Ya, saya tahu itu semua jadi pahala yang akan bawa si isteri ke syurga tetapi ALLAH Maha Kaya, tak akan berkurang pahala isteri malah suami sendiri juga akan dapat pahala jika dapat bertolak ansur dan tidak terlalu meminta-minta. Kalau mahu layanan lebih, jangan suruh isteri bekerja, biar dia jadi suri rumah sepenuh masa.

Apa pun, dari lubuk hati sendiri, saya bersetuju dengan pengakuan rakan saya si pensyarah bahawa lelaki sekarang sudah tidak terlalu kisah sama ada isteri pandai memasak atau tidak. Tetapi janganlah sampai tak tahu langsung hingga emak mertua bertandang pun dihidang mi segera. Itu cari penyakit namanya!

Mungkin juga ini petanda bahawa suami zaman ini sudah dapat menyerap perubahan untuk lebih memahami situasi isteri masing-masing yang tidak alah sibuknya berbanding diri mereka sendiri. Atau mungkin juga lelaki zaman ini sudah berjaya dipengaruhi oleh para isteri untuk juga jadi seperti mereka - jaga perut tetapi bukan jaga dalam erti kata makan dengan banyak dan sedap sebaliknya jaga dengan cara berlapar. Maklumlah zaman ini, sedap dipandang lebih diutamakan berbanding sedap makan!

Apa pun, terpulanglah. Yang penting suami isteri kenalah hidup sejujurnya antara satu sama lain. Kalau suami makan di rumah sekadar untuk ambil hati isteri sedangkan dia sudah makan di luar, pun tidak baik juga walaupun niat dan tujuannya baik.

Seperti kata seorang kawan saya yang nakal: "Aku balik ke rumah walau macam mana kenyang pun, tetap makan juga seolah-olah aku tak makan lagi, makan macam orang lapar. Inilah cara untuk jaga hati isteri supaya dia tidak syak apa-apa ..."

Ya, ayat ini seharusnya dibaca dengan dua makna macam ayat yang di atas juga. Agaknya spesies macam inilah, yang perut tidak berjaga. Selain kandung lemak yang banyak, juga kandung dosa yang banyak!

Penulisan MUHAMAD MAT YAKIM
sumber Sinar Harian 


No comments