Breaking News

DAH NASIB WANITA...KENA JAGA BADAN UNTUK SUAMI NAMPAK CANTIK...

Pada suatu hari, anak bongsu tunjukkan sekeping gambar. Rupa- rupanya itu gambar saya bersama ibu, kakak dan abangnya kira-kira 15 tahun lalu.

Apabila saya tanya siapa dalam gambar itu, dijawabnya: “Pakcik.”

Saya ketawa. Isteri pun ikut tertawa. Tetapi dalam hati tertanya-tanya juga, berubah sangatkah saya hingga anak sendiri pun tidak kenal.


Esoknya, seorang kawan sekolah muat naik gambar kami ketika di tingkatan enam 24 tahun dahulu. Ya, tersangatlah bezanya. Alangkah langsing dan rampingnya saya pada masa itu.

Dua kejadian berturut-turut hari itu segera mengingatkan saya kepada sesuatu - walaupun hakikatnya rupa fizikal saya sudah sangat jauh berubah namun selama ini saya tidak pernah pun ambil kisah tentang perkara itu. Bagi saya, bagaimanapun rupa, itu tidak pernah pun saya anggap sebagai masalah.

Ini berbeza dengan perhatian saya terhadap isteri. Sejak belum kahwin lagi, saya sering ingatkan dia supaya jaga badan.

Walaupun dalam beberapa tahun kebelakangan ini saya perhatikan dia sengaja tidak ambil makan malam, dan agak banyak juga wang yang dibelanjakan untuk beli macam-macam produk pelangsing, sering juga saya ingatkan dia supaya “jangan sampai tak makan, jaga badan pun berpada-padalah”.

Sungguhpun begitu. dalam hati tetap berasa bimbang kalau-kalau dia juga jadi seperti saya - tidak ambil kisah dan biarkan sahaja badan naik seperti pelampung dipam.


Saya lelaki, hal tidak jaga badan sendiri lumrah bagi lelaki walaupun ada yang jaga lebih daripada wanita.


Apa pun, lelaki memang cukup mahu menjaga pemandangan matanya. Dan hajat mereka amat disokong kuat oleh wanita.

Untuk mengindahkan pemandangan mata lelaki, ramai wanita sanggup ikat perut, makan tengah hari hanya kulit epal dan makan malam hanya kulit pau.

Segala nafsu makan dikorbankan demi memuaskan mata lelaki. Lelaki jangan sesekali dibiarkan melihat karot (lobak merah) berjalan apabila berselisih di jalanan. Manakala di rumah pula, suami jangan dibiarkan menyangka dirinya bermimpi melihat almari berjalan tatkala melihat isteri melangkah ke bilik air awal pagi.

Itulah sebesar-besar pengorbanan oleh wanita untuk lelaki.

Sebab itu, sudah jadi lumrah bagi kebanyakan isteri untuk menyediakan peruntukan khusus beli jamu, tonik, susu atau apa sahaja yang dikhabarkan boleh bantu mereka jaga bentuk badan.

Apa sahaja yang diiklan, mereka sanggup telan asal mata suami tidak berasa bosan. Ada juga yang sanggup berbelanja lebih masuk kelas aerobik, yoga atau tai-chi kerana bimbang apabila pir sudah bertukar jadi epal, akan timbul rasa benci dalam hati suami.

Alangkah mulianya hatimu wahai isteri!

Bagi yang tidak bekerja, tidak ada pendapatan sendiri, duit belanja dapur disimpan sedikit demi sedikit untuk beli acai beri!

Buatlah apa sahaja asal badan kekal langsing, perut jangan buncit. Buatlah apa sahaja asal suami memandang berasa ghairah, matanya tidak sakit!

Itu pada isteri, suami bagaimana pula?

Berbalik pada cerita saya tadi, anak sendiri pun tidak kenal pastinya kerana rupa saya yang sudah sangat jauh berubah. Mana tidak berubah kalau dahulunya pipih melayang, sekarang sudah rendang berbuah.

Namun selama ini, sama ada tembikai susu ataupun labu, ada aku kisah?
Itulah sikap kebanyakan suami. Hanya cenderung untuk memerhati isteri, diri sendiri tidak dipeduli. Mari kita perhatikan di sekeliling, berapa ramai suami yang berjalan membawa labu sayung ke sana ke sini setiap hari, apakah mereka pernah mengadu susah hati?
Ada atau tidak mereka diberi kata dua oleh isteri, sama ada mahu pilih dia atau labu sayung itu?

Rasanya tidak. Itulah sebabnya ramai suami yang tidak kisah akan perubahan bentuk badannya tatkala usia semakin meningkat. Ini kerana dia tahu bagaimanapun rupanya berubah, isteri akan tetap setia, tetap sayang... macam isteri saya!

Satu perkara lagi, saya yakin isteri-isteri tidak kisah kerana mereka percaya, suami yang berlabu sayung seperti saya, sahamnya pasti jatuh!

Dan menepati polisi ketidakadilan dunia, apabila perut lelaki buncit, mereka tidak pernah dipersalahkan sebaliknya dikatakan kerana isteri pandai masak, pandai jaga selera suami. Namun apabila perut isteri pula yang buncit, dia sendirilah puncanya, tidak pandai jaga badan.


No comments