728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

15 February 2015

BUKAN SALAH SAYA SENTIASA DAPAT SUAMI YANG LEBIH MUDA

INILAH dinamakan takdir. Biarpun saya berusaha menolak, panggilan jodoh kami kuat. Dan buat kali kedua, jodoh saya bersama lelaki usia muda.

Tiada niat saya mahu membangga diri. Namun secebis pengalaman hidup berumah tangga ingin saya kongsi. Moga dijadikan iktibar dan renungan.


Hidup ini kadang-kadang senang dan kesenangan itu tidak kekal. Hidup ini kadang-kadang susah tetapi kesusahan juga bukan kekal. Antara senang dan susah yang ditakdirkan Tuhan, saya terus merasai kenikmatan dan kemanisannya. Lalu, nikmat Allah manakah yang boleh saya dustakan?

Perkahwinan pertama ketika itu, saya berusia 30 tahun dan suami lapan tahun lebih muda daripada usia saya. Kami sepejabat, jadi apabila kawan-kawan mula tahu tentang hubungan kami, memang banyaklah tentang dirinya yang sampai ke pengetahuan saya. Semuanya cerita baik-baik belaka.

Mula-mula kami memang tidak bertegur sapa. Dia menghormati kedudukan saya sebagai orang kanan bos, sedangkan dia cuma kerani stor. Kami selalu terserempak apabila dia masuk pantri untuk mengambil minuman.

Tak tahulah kalau dia sengaja keluar masuk pantri, tapi setiap kali dia melintas, kami akan berbalas-balas senyuman. Memang dia pendiam dan agak pemalu, saya yang pertama menegurnya.
Senyuman berbalas senyuman, kata bersambut kata. Awalnya hubungan kami teman tapi mesra. Hubungan kami tidak mengambil masa panjang. Hanya tiga bulan meyakinkan kami untuk menjalin hubungan lebih serius dan merancang mendirikan rumah tangga dalam masa tujuh bulan berkenalan.
Baik keluarga saya, mahupun keluarga dia memang menentang hubungan kami. Mereka melihat perbezaan usia lapan tahun, akan menimbulkan masalah. Saya jauh lebih matang berbanding suami dan hal ini terbukti sangat apabila kami berkahwin.

Saya sempat tidak yakin dengan hubungan ini. Memikirkan hari-hari dia bertandang ke rumah setiap habis kerja, dan untuk mengelakkan fitnah, pandangan serong jiran-jiran, saya terima lamarannya. Akhirnya kami kahwin dengan restu daripada semua.

Kurang matang

Dari segi kemesraan dan kasih sayang tidak berbeza ketika bercinta dan sesudah berumah tangga. Tapi, setelah berumah tangga sifat keanak-anakan dan kurang matangnya mula terlihat. Setiap kali ada masalah dalam rumah tangga saya yang terpaksa menyelesaikannya.
Selama sembilan tahun bersama, tanpa ada apa-apa isu besar yang boleh menggugat. Kalau setakat berselisih faham dan bergaduh kecil tu biasalah. Suami isteri mana yang tidak bergaduh. Sedangkan lidah lagi tergigit.
Tiba-tiba, dia berpaling tadah. Ini sesuatu yang amat mengejutkan saya dan semua yang mengenali kami. Memang tiada terjadi apa-apa pergaduhan besar atau tanda-tanda mengesyaki dia curang.
Mungkin ada sekali sekala, dia pulang lewat sikit dan rajin ‘lebih masa’. Saya pula jenis yang percaya pada suami. Disebabkan percaya suami yang disangka jujur, saya tidak pernah buruk sangka atau curiga.

Itulah bak kata pepatah, air tenang jangan disangka tiada buaya. Dipendekkan cerita, tiga bulan suami menghilang. Dia mengabaikan tanggung jawab sebagai suami. Telefonnya dimatikan. Saya cuba bersabar.

Akhirnya saya tahu kenapa dia menghilang. Suami mahukan kebebasan mengejar impian menjadi pemuzik. Namun hakikat sebenar, dia menjalin hubungan dengan perempuan lain sebayanya.

Amat menghampakan kerana saya meletakkan 100 peratus kepercayaan kepadanya. Saya juga terkilan kerana dulu dia yang beria-ia mahu sehidup semati dengan saya. Dia mengatakan tidak boleh hidup tanpa saya. Akhirnya dia mengkhianati segalanya.

Setelah lebih enam bulan saya bertahan, dan cuba memujuknya, akhirnya saya tidak mahu main tarik-tarik tali lagi. Perlu ada noktah dalam perhubungan kami kerana cinta sudah tiada.

Saya mengambil keputusan meleraikan rumah tangga kami. Proses perceraian mudah walaupun dia cuba menyukarkannya dengan tidak mahu membayar nafkah dan sebagainya. Namun bukti kukuh kecurangannya, dan tidak bertanggungjawab, keputusan mahkamah menyebelahi saya.

Jodoh datang lagi


Kini sudah empat tahun saya berstatus solo semua. Segala kesedihan telah terubat dengan kepuasan berjaya dalam kerjaya. Saya mampu berdikari dan menikmati kebahagiaan sekalipun tanpa belaian suami.
Namun takdir Ilahi tiada siapa dapat menentang. Walaupun jika mengikut hati, tidak mahu lagi pasangan yang lebih muda, sekali lagi ALLAH menemukan saya dengan jejaka yang sepuluh tahun lebih muda.
Hubungan kami berjalan sejak dua tahun kebelakangan ini. Saya ingatkan saya serik namun apa nak buat, orang muda suka saya. Alhamdulillah, hubungan kali mendapat restu keluarga dan kami sedang merancang mahu menjadi suami isteri dalam waktu terdekat ini.

Sesungguhnya saya bukan sengaja memilih pucuk muda. Saya sendiri bimbang dan takut pengalaman lalu berulang semula. Namun jodoh dan ajal bukan saya yang berhak memilih, semuanya adalah ketentuan-Nya.

Saya tidak meminta harta dan kemewahan dunia. Yang saya harapkan daripada insan yang bakal bergelar suami nanti hanyalah sepotong hati yang setia dan kejujuran dalam perhubungan.

Saya mengharapkan bimbingan suami yang bertakwa supaya rumah tangga kami diberkati dan berbahagia bersama di syurga nanti.


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: BUKAN SALAH SAYA SENTIASA DAPAT SUAMI YANG LEBIH MUDA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top