Breaking News

6 SIKAP INI AKAN MEMBUATKAN ANDA KELIHATAN HODOH DAN BODOH

ISTERI yang manja ada ketikanya mengada-ngada. Kebaikan dan kelembutan isteri boleh bertukar menjadi ganas secara drastik. Begitu juga halnya dengan suami, asyik stres bila lihat wajah isteri. Masa-masa ‘angin tak baik’ begini sebenarnya mesti dihadapi secara bijak oleh isteri. Jangan terbawa emosi dan terpancing provokasi pasangan yang sedang `bad mood’.

Kalau rasa tertekan jangan sampai mengorbankan diri dan pasangan, malah boleh menyebabkan anda kelihatan hodoh dan bodoh satu sama lain. Cuba bertenang dan kuasai fikiran dan perasaan anda sebaik yang mampu.


Bukankah Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan di antara kekuasaan-Nya dia jadikan untuk kamu pasangan dari jenismu sendiri supaya kamu merasai ketenangan dengannya dan Dia jadikan di antara kamu rasa cinta dan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu sebagai tanda-tanda bagi orang-orang yang mahu berfikir.” (Surah Al-Rum ayat: 21)

Jika anda dan suami tidak mampu berfikir tentang pentingnya menjaga cinta dan kasih sayang apakah anda mahu dilihat sebagai pasangan yang cukup hodoh dan bodoh? Di antara tanda-tanda pasangan yang memiliki sikap hodoh dan bodoh adalah:

Pemarah vs Pendendam
Isteri tentu faham bahawa dia mesti menjaga mata dan telinga suami, keinginan dan kemahuannya mesti dilayan sebaik mungkin. Tetapi ada kalanya walaupun isteri sudah berusaha memenuhi kehendak suami tetap masih terdapat kekurangan di sana sini. Apatah lagi jika mood suami tak baik, apa saja yang dilakukan isteri pasti salah.
Berhadapan dengan situasi sebegini, sebaiknya isteri mengawal diri. Jangan sesekali terpancing nak amuk suami balik. Kemarahan suami boleh jadi berpunca daripada tekanan yang dihadapinya di luar rumah, sebenarnya bukan salah anda. Suami hanya mahu melepaskan tension itu pada tempat yang salah.
Suami pun mesti banyak bersabar jika isteri terkena hasutan-hasutan jahat, marah tak tentu pasal kalau datang rasa cemburu. Tertekan dengan kerja di pejabat dan urusan anak-anak yang merosakkan mood isteri. Jangan sesekali balas kemarahan pasangan anda dengan sikap berdendam nak balas balik. Peranan anda adalah sebagai pengimbang, seperti sebuah dacing yang mesti sama-sama menolong satu sama lain. Tolong redakan marah isteri dengan kesabaran anda. Tolong bantu suami yang tertekan dengan reda anda. Biarlah hubungan itu tetap seimbang, jika yang satu buat jahat yang lain buat kebaikan.

Pengungkit vs Penafi
Kehodohan dan kebodohan akan terserlah apabila anda dan suami suka mengungkit dan menafikan satu sama lain. Suami kata: “Aku dah banyak berkorban untuk engkau, harta dan kemewahan aku bagi, cubalah jangan bantah cakap aku, ikut kemahuan aku, jangan degil.” Isteri pula jawab: “Hey, aku boleh dapat lebih banyak dari yang kau bagi. Setakat harta ini yang kau ungkit, aku boleh carilah kalau aku mahu. Emak bapa aku kaya, aku boleh buat bisnes sendiri, aku boleh buat kalau aku nak. Sebab engkaulah aku miskin papa kedana macam ni!”

Sama-sama susah untuk menghargai pasangan, tak pernah memuji dan mengakui kebaikan pasangan sungguh amat jelik dan buruknya sikap sebegini. Manusia sifatnya suka dihargai, walaupun anda tidak mampu memberi banyak harta, kemewahan dan layanan yang sempurna cukuplah dengan kata-kata penghargaan, ucapan terima kasih dan doa ikhlas yang dia dengar terus dari anda. Akuilah kebaikan-kebaikan pasangan sebelum anda mencari-cari kelemahan, aib dan celanya. Jangan lupakan sejuta kemanisan disebabkan oleh satu peristiwa pahit yang anda alami.

Pengarah vs Pemalas
Sikap hodoh dan bodoh yang sering ditonjolkan suami dan isteri adalah tak mahu tolong menolong, seorang asyik mengarah, menyuruh dan membuli manakala seorang lagi pekakkan telinga, buat tak peduli dan sengaja tak ambil tahu. Akhirnya tak siapa pun yang melakukan apa-apa, kerana pada hakikatnya kedua-duanya memang pemalas.

Rumah bersepah, anak-anak tak terurus, makan minum tak terjaga, duit tak cukup disebabkan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab. Suami dan isteri tak mahu berperanan, suka merungut tapi tak mahu berusaha. Tidak ada matlamat hidup yang jelas, semua serba ala kadar.

Bayangkanlah seorang anak perempuan yang tidak pernah diajar menguruskan rumah, memasak dan membasuh baju kerana segalanya dibuat oleh ibu atau pembantu rumahnya, bagaimanakah jika dia sudah berumah tangga nanti? Seksaan menguruskan rumah tangga itu akan amat menyakitkan.
Begitu pula seorang lelaki yang bermanja dari wang poket pemberian orang tuanya, tak pernah merasai kesusahan mencari wang sendiri. Apakan jadi selepas dia beristeri kemudian lahir anak-anak yang ramai? Bagi pasangan yang cepat belajar dan mahu berfikir panjang mereka akan berubah dan melawan sikap buruk itu dengan bekerja bersungguh-sungguh.
Oleh itu telitilah setiap inci kehodohan dan kebodohan anda berdua dan binalah nilai diri yang cantik dan bijak di sisi Allah SWT supaya cinta dan sayang terus berkekalan.

Sumber Sinar harian


No comments