728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

24 January 2015

ZAMAN SEKARANG RAMAI ISTERI CURANG...


BIASANYA masalah wanita khusus menceritakan masalah suami curang dengan wanita lain, tetapi kisah saya lain, cukup menarik untuk perhatian kaum isteri, kerana bukan saya yang curang, tetapi isteri saya Zurina, itu cerita Om dalam emelnya panjang lebar lengkap dengan data dan gambar.

“Saya percaya kes isteri buat hubungan sulit dengan lelaki lain zaman dulu, memang kurang tetapi sekarang terdapat banyak kes isteri berzina dan sembunyikan dari suami. Bila suami dapat tahu mereka nafikan malah salahkan suami sebagai jahat dan kaki pukul.
“Saya sudah berkahwin dengan Zu lebih 15 tahun, sepanjang 14 tahun saya rasa hidup saya cukup bahagia, hingga mendapat dua orang anak. Kami berjaya mengumpulkan wang dan membeli sebuah rumah di Shah Alam dan menabung untuk masa depan anak-anak.
“ Sepanjang perkahwinan, kami juga pergi berhibur bersama anak-anak, seperti ke Freazer Hill, Cameron Highland, gunung Jerai, Singapura, Thailand, Langkawi dan banyak lagi. Tetapi kepada Zu itu semua tidak cukup, dengar cerita kawan-kawan dia hendak panjangkan langkah ke luar negara. Pada saya pelajaran anak-anak lebih penting.

“Dalam pada itu saya ingatkan Zu bahawa dia harus bertanggungjawab kepada kedua ibu bapanya yang sering tak berduit, bantuan bulanan kami masih tak cukup terutama setelah mereka berhenti kerja. Ayah Zu laburkan duit KWSPnya bermain saham termakan pujukan jiran. Kalau duit setakat puluhan ribu, jawabnya hanguslah apa lagi tak berilmu.

“Lepas tu nak dapatkan permit bawa teksi pula yang memerlukan RM3,000 dalam akaun banknya. Siapa lagi membantu kalau bukan saya.

“Beli apartmen kerana tak bayar bank pulak nak lelong. Saya berusaha menjualnya atas permintaan emaknya dalam jangka masa setahun . Tapi setelah dijual mereka kata saya jual terlalu murah. Bukan nak ucapkan terima kasih.

“Dalam pada itu Zu ingin menyambung pelajaran buat Diploma luar kampus, saya izinkan dan dia berjaya. Tapi malangnya dia memang tak ambil perduli untuk mendidik anak-anak semua dilepaskan pada saya, di samping masalah ibu bapanya pun saya kena bantu. Emaknya buat medical check up pun saya kena hantar ke Klinik Kesihatan.


“Masalah ayahnya bila teksi rosak, tak bayar pada syarikat teksi yang disewanya akhirnya teksi ‘ditarik’. Kata emak Zu barang kemasnya banyak tergadai sebab suaminya terjebak hutang Ah Long. Pernah tak bayar ansuran apartmen kerana bayar ah long. Akhirnya ayahnya tak tahan melarikan diri ke kampung jadi penoreh getah.

“Awal tahun lepas dia terpilih menghadiri kursus di Korea selama seminggu. Saya turut bangga. Masalah mengurus keperluan anak-anak selama ini pun jadi tugas saya seperti mencuci pakaian, mengampai kain, melipat dan seterika baju. Kerana dia tak pernah buat kerja rumah, apa lagi memasak. Sejak kahwin dia tak pernah ke dapur, walaupun nak masak sardine, buat telor mata atau goring sayur.
“Biasalah alasannya badan tak sihat kerana lelah, kerana itu semua tugas saya bereskan. Saya berusaha menjadikan bilik dan rumah kami bebas dari abuk. Kemudian beli alat pembersih udara dalam bilik tidur berharga lebih seribu ringgit. Saya jugalah selalu lap abuk yang melekat pada bilah kipas, dan mencuci/service econ dari segala abuk/sawang.
“Saya lakukan semua itu kerana terlalu sayangnya Zu, hinggakan apa sahaja yang diperlukan akan disediakan. Kerana hendak kuruskan badan ikut program kuruskan badan RM4000 hangus. Tapi Zu makan separuh jalan sahaja. Pendek kata apa saja tersiar di tv dia nak cuba tapi tak kesampaian.

“Awal tahun ini Zu hendak berkursus ke China. Di sinilah bermula segala-galanya Zu bertemu bekas kekasihnya. Patutlah sebelum itu dia juga pernah melancong ke Shenzen dan Hong Kong, katanya melancong dengan kawan-kawan. Kelainan sifat Zu membuat saya berfikir dan membuat sedikit penyelidikan.

“Terutama bila Zu selalu sangat berkursus, kata nak ke Langkawi. Entah mengapa malam itu terlintas di fikiran untuk trace lokasi hp Zu sedang aktif. Rupanya Zu ada di genting bukan di Langkawi. Bila ditanya lagi Zu segera matikan talian. Bila balik kau bercerita kau ke Genting menemani kawan kau Ayu. Memang tak masuk akal.

“Beberapa hari selepas itu, dia bertugas malam. Dari tempat kerja, dia hantar sms meminta dilepaskan dengan cara baik. Alasan kau, aku adalah suami yang baik tetapi kau bukanlah perempuan yang baik. Berdebar jantung kerana benda ini tak boleh dibuat gurauan, tetapi sms seterusnya menampakkan kesungguhannya meminta cerai.

“Keesokkan harinya, saya ambil cuti kecemasan ajak dia balik kampung untuk bercerita depan ibu bapanya. Ketika bercerita saya lebih banyak menangis. Tetapi Zu banyak mendiamkan diri. Emak Zu menasihatkan anaknya jangan bercerai, kerana dia tidak akan mendapat suami sebaik saya. Fikirkan kau ada dua orang anak. Tapi Zu tetap membisu.

“Sejak itu saya mula jalankan siasatan, saya minta rekod Touch & Go untuk melihat pergerakan Zu, saya juga ke rumah Ayu bertanya sama ada dia pernah tidur di genting bersama Zu, tetapi Ayu diamkan diri. Aku melihat misteri di sebalik cerita Genting ini.
“Malam itu Zu balik ke rumah. Dia cuma melihat saya menangis. Untuk menenangkan fikiran saya solat. Selesai solat anak ku berbisik katanya `Pa, cuba periksa hp mama mesti ada banyak rahsia’ kata anak ku dia tahu password mama. Aku terus bangun dan mengambil hp Zurina dia cuba merampasnya, berlaku pergelutan dan aku terlanjur menamparnya. Tapi dia semakin agresif cuba merampas kembali. Aku lantas memberikan hp Zu pada anak untuk dibuka. Kerana Zu masih berkasar aku membawa anak menaiki kereta untuk membuka hp Zu dan membaca apa yang terkandung dalam hp misteri itu.
“Berdiri bulu roma aku ketika membaca sms mereka. Dan terbukti Ayu bukanlah orang yang pergi ke genting, tetapi lelaki bekas kekasih lamanya Wan. Aku cuba membuat laporan polis tentang ketelanjuran aku melempang kau, tetapi Zu terlebih dahulu telah buat aduan.

“Kemudiannya aku ke Jabatan Agama Islam untuk mebuat adaun dan meminta sessi kaunseling rumahtangga. Aku cuba hubungi Wan tetapi dia telah menutup talian hp. Zu akhirnya beritahu Wan hanya kawan biasa.Kenapa baru kini bercerita setelah terperangkap.

Sebenarnya Wan seorang yang bijak dalam teknologi selular phone terutama mengenai LTE. Tapi Zu mendakwa Wan seorang warak dan bijak dalam soal agama.

“Tapi kalau orang beragama tentu dia tak mahu lepak di Starbuck dengan isteri orang, dan memanggil sayang setiap kali bersms. Setelah diselidik jelas Zu kerap mengambil MC tetapi bermalam ke Genting, dan beberapa buah hotel sekitar, KL, KLIA dan Putrajaya. Semakin di teliti semakin banyak pembohongan terbongkar akhirnya saya suruh Zu bersumpah tetapi Zu enggan. Ketika itu tanpa ku sedar aku terus menampar Zu.

“Beberapa hari kemudian aku dikejutkan kedatangan kereta peronda polis mengarahkan aku pergi ke balas polis. Aku di soal bagaikan penjenayah diugut akan diberhentikan kerja, dan macam-macam lagi tanpa sekali pun memberi aku peluang menceritakan keadaan sebenar. Aku terfikir kalau hilang pendapatan bagaimana anak-anakku meneruskan kehidupan?

“Saya pernah ke rumah Wan tetapi dia tidak ada di rumah saya tinggalkan nota meminta dia bersemuka tetapi dia enggan. Kerana tidak ada persepakatan dan Zu masih menafikan walaupun pelbagai bukti dibentangkan termasuk dia pernah menjalani ujuan kehamilan setelah balik dari China, sebaliknya dia bungkus pakaian mahu keluar rumah.

“Ketika itu saya beri amaran kepadanya `jika Zu keluar dari rumah juga pada malam ini juga maka jatuhlah talak.’ Zu tetap keluar dan setelah kes di bawa ke mahkamah syariah, maka jatuhlah talak. Kini aku faham, perasaan Zu terhadap saya telah mati. Kini dengan rezeki yang Allah kurniakan padaku, akan aku jaga dan besarkan dua anak kita kerana mereka adalah amanah yang wajib saya pikul,’’ Itu cerita Om tentang kehidupannya kini.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: ZAMAN SEKARANG RAMAI ISTERI CURANG... Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top