728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

22 January 2015

TUALA WANITA DAN KANSER SERVIKS : MITOS ATAU FAKTA?


Kanser pangkal rahim atau kanser serviks merupakan salah satu kanser yang boleh menyebabkan kematian dan menjadi mimpi ngeri kepada semua wanita. Kebanyakan wanita yang mengalami penyakit ini adalah daripada golongan pertengahan umur. Pelbagai spekulasi telah diperkatakan oleh orang awam mengenai faktor yang menyebabkan kanser ini. Sebelum itu, adalah penting untuk anda memahami bagaimana kanser serviks ini boleh berlaku kepada wanita.

Apakah faktor penyebab kanser serviks?

Kanser ini secara umumnya disebabkan oleh pendedahan awal kepada hubungan seks. Semakin muda umur anda mengadakan hubungan kelamin, semakin tinggi risiko anda untuk mendapat penyakit ini. Pada zaman sekarang, bilangan gadis mengadakan hubungan kelamin di usia remaja semakin meningkat berbanding pada zaman dahulu. Ini menjelaskan kenapa kanser serviks semakin banyak dikesan pada golongan wanita berumur muda sejak akhir-akhir ini.

Risiko anda mendapat kanser serviks lebih tinggi sekiranya anda mempunyai ramai pasangan kelamin. Ini adalah disebabkan Human Papilloma Virus (HPV) ada penyebab utama untuk pembentukan kanser serviks di mana virus ini boleh disebarkan melalui hubungan kelamin. Salah satu teori menyatakan lelaki yang pernah melakukan hubungan kelamin dengan pasangan lain sebelum itu boleh menyebarkan virus ini kepada orang lain melalui kaedah yang sama. Terdapat lebih daripada 150 subtypes atau jenis HPV virus. HPV virus jenis 16 dan 18 merupakan virus utama yang menyebabkan kanser serviks. HPV virus juga boleh menyebabkan kanser anus untuk lelaki homoseksual.
Merokok secara amnya boleh menurunkan imuniti seseorang dan mengandungi karsinogen yang menjadi penyebab kepada pelbagai jenis kanser. Kanser serviks merupakan salah satu komplikasi daripada merokok. Isu mengenai pil perancang keluarga boleh menyebabkan kanser serviks masih dalam kontroversi dan belum terbukti. Secara kebetulan, wanita yang mengadakan hubungan seks bebas turut mengambil pil pencegah kehamilan untuk mengelakkan kehamilan.
Kurang kebersihan wanita merupakan punca utama menyebabkan pelbagai penyakit seperti penyakit kelamin, jangkitan peranakan (pelvic inflammatory disease) dan secara tidak langsung menyebabkan kanser serviks. Wanita yang mendapat keputusan pap smear menunjukkan keradangan atau ‘inflammatory’ secara berterusan walaupun punca jangkitan sudahpun dirawat perlu mendapat perhatian lanjut daripada doktor untuk memastikan keadaan ini tidak berlanjutan kepada peringkat awal kanser serviks ataupundysplasia. Jangkitan HPV juga boleh berlaku disebabkan kurang kebersihan kelamin wanita.

Bagaimana untuk mencegah kanser serviks?

Kanser serviks secara umumnya disebabkan oleh hubungan kelamin dan jangkitan HPV virus. Dengan mengamalkan hubungas seks ‘monogamy’ dan tidak bertukar-tukar pasangan boleh mengelakkan kanser ini. Pap smear merupakan salah satu cara yang sangat efektif dan mudah untuk mengesan tanda-tanda awal kanser serviks. Dengan itu, bilangan pesakit yang mati disebabkan kanser serviks sudahpun menurun sejak akhir-akhir ini disebabkan pengesanan awal kanser serviks yang membolehkan rawatan lebih awal.

Kerajaan Malaysia memperkenalkan vaksin HPV kepada pelajar-pelajar sekolah menengah untuk mencegah kanser serviks. Pelajar-pelajar sekolah merupakan target yang sesuai untuk vaksin ini kerana pada usia muda ini lah gadis sudahpun mula berjinak-jinak kepada hubungan bebas secara tersembunyi. Pencegahan lagi baik daripada merawat kanser yang terjadi akibat hubungan kelamin pada usia muda ini.
‘Jika dibandingkan pada zaman dahulu, semakin ramai wanita telah dikesan menghidapi kanser serviks pada masa sekarang’
Merujuk kepada ayat di atas, pelbagai faktor boleh menjelaskan kejadian tersebut. Hubungan kelamin pada usia muda tidak lagi menjadi perkara asing pada masa sekarang disebabkan peningkatan gejala yang kurang sihat. Ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan kanser serviks semakin ramai menghantui golongan wanita pada zaman ini. Selain itu, pap smear belum lagi diperkenalkan pada zaman dahulu menyebabkan kebanyakan kes-kes kanser serviks tidak dapat dikesan lebih awal atau tidak dilaporkan kepada pihak kesihatan. Sebilangan besar pesakit kanser serviks pada zaman dahulu sudahpun berada pada peringkat akhir kanser dan meninggal dunia sebelum sampai ke hospital.


Bolehkah tuala wanita atau tampun menyebabkan kanser serviks?

Setakat ini, tiada bukti atau kajian menyatakan bahawa tuala wanita atau pads boleh menyebabkan kanser serviks. Tampon tidak mengandungi asbestos yang kononnya boleh menyebabkan kanser. Kandungan bahan peluntur pada tuala wanita seperti dioxin sangatlah rendah dan tidak membahayakan wanita. Peluntur ini cuma digunakan pada zaman dahulu dan tidak lagi digunakan dalam tuala wanita pada waktu sekarang. Cellulose gel, sejenis sodium poly-acrylate yang didapati dalam tuala wanita juga boleh didapati dalam napkin bayi terbukti selamat untuk kegunaan kita selepas kajian dibuat oleh pakar toksikologi.

Penggunaan tuala wanita secara tidak bersih merupakan salah satu punca berlakunya ‘dysplasia’ atau perubahan awal kepada sel-sel abnormal pada serviks disebabkan infeksi yang berterusan. Kisah ini terbukti di India di mana kebanyakan wanita di negara itu tidak mampu untuk membeli tuala wanita dan terpaksa menggunakan kain biasa sahaja untuk digunakan berulang-ulang kali. Kajian ini menunjukkan kes kanser serviks adalah tinggi untuk golongan wanita yang menggunakan kain tuala wanita seperti ini. Selain itu, golongan ini juga kerap mengalami masalah wanita lain seperti discaj berbau, jangkitan pada sistem peranakan dan jangkitan air kencing.
Penggunaan pencuci wanita juga telah membuktikan bahawa kandungan pencuci ini tidak menyebabkan kanser serviks. Malah, wanita yang sering mencuci bahagian kelamin dan menggunakan tuala wanita yang bersih kurang mendapat penyakit kelamin.
Kesimpulannya, penyakit kelamin wanita dan kanser serviks cuma akan boleh berlaku sekiranya kebersihan diri tidak dijaga. Adalah penting untuk setiap wanita memastikan penggunaan tuala wanita tidak menjadi sumber kepada pertumbuhan jangkitan kuman yang boleh membahayakan diri kita. Dengan menukar tuala wanita dengan kerap dan mencuci bahagian kelamin boleh mengelakkan sebarang jangkitan kepada wanita. Pelbagai jenis produk tuala wanita boleh didapati di pasaran yang terbukti selamat untuk kegunaan wanita. Semuanya bergantung kepada anda untuk memilih produk mana yang lebih selesa untuk diri anda. Selain itu, elakkan hubungan seks bebas yang boleh menjurus kepada kanser serviks dan pelbagai jenis penyakit kelamin seperti HPV, AIDS dan Hepatitis B.

Dr. Mardiana Kipli M.D. (UNIMAS) merupakan seorang Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang mempunyai kelulusan Sarjana Perbidanan dan Sakit Puan (Masters in Obstetric & Gynaecology) dan sedang berkhidmat di Kuching. (dikemaskini)

RUJUKAN:
Ramaswamy D., Relation between poor menstrual practices and cervical cancer. Soothe Healthcare
http://articles.timesofindia.indiatimes.com/2011 -01-23/india/28363510_1_women-resort-napkins-menstruating
Varghese C, Amma NS, Chitrahara K. Risk factors for cervical dysplasia in Kerala India. Bulletin of World Health Organization, 1999;7:281-283
Sine B, Xavier B, Silvia S. Risk factor of invasive cervical cancer in Mali. Oxford Journals. 2001;31:202-209
http://cervicalcancer.about.com/od/riskfactorsandprevention/f/tampons.htmhttp://www.edana.org/docs/default-source/default-document-library/untrue-internet-rumours-on-sanitary-pads-and-tampons.pdf?sfvrsn=0

SUMBER : http://www.mmgazette.com


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: TUALA WANITA DAN KANSER SERVIKS : MITOS ATAU FAKTA? Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top