728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

27 January 2015

TERLAMPAU PERCAYAKAN IBU AKHIRNYA RUMAHTANGGAKU MUSNAH

Rasa kesal yang mengusik jiwa entah bila akan berakhir, begitu utuhnya kasih sayang isteri kepada ibu mentuanya, namun semua itu tidak ku sedari. Bukan hanya diriku, tetapi juga ibuku masih menanggung rasa kesal yang tidak sudah sepanjang hayatnya.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya. Benarlah pepatah lama yang sentiasa mengingatkan kita agar berpada-pada dalam setiap tindakan. Namun nasi sudah menjadi bubur dan segala yang pernah dilakukan tidak sesekali boleh ditarik kembali. Hanya kata-kata maaf yang sering menghiasi bibir. Aku redha dengan ketentuan ALLAH.

Suzana nama yang pernah dan masih bertakhta di hati ini. Cinta yang pernah bersemi suatu ketika dulu bagaikan hilang di angin lalu. Pengorbanan yang dulunya amat ku hargai, semakin dilupakan apabila sering disogok dengan pelbagai cerita yang tidak menyenangkan serta keburukan isteriku. Semuanya dari ibuku sendiri. ternyata gadis pilihanku tidak pernah sekalipun dapat merebut hati tuanya.

Ini kerana, sebelum aku menikahi Suzana, ibu sudah berura-ura mahu menyatukan aku dengan anak gadis jiran yang juga rakan baiknya ketika menetap di selatan tanah air dulu. Mungkin kerana terlalu banyak terhutang budi dan sering menanam impian menyunting anak gadis jirannya dia mahu kami disatukan, agar pertalian persahabatan menjadi lebih erat apabila ikatan kekeluargaan mula terjalin.

Namun disebabkan aku juga sudah punya pilihan sendiri dan  bimbang sekiranya setelah berkahwin aku tidak mahu lagi pulang menziarahinya, ibu berkorban perasaan. Merelakan perkahwinan kami walaupun jelas di matanya hanya Misnahlah calon menantu yang paling cocok denganku.

Menyedari ibu sukar untuk menerima kehadiran Suzana, aku menyarankan agar kami tinggal bersama ibu. Harapanku, agar langkah itu dapat mendekatkan lagi ibu dan Suzana. Bagiku jika tidak berusaha untuk benar-benar dapat restu ibu, sampai bila-bila kami tidak dapat mengekalkan hubungan baik. Suzana yang agak bimbang dengan cadanganku terpaksa mengakui hakikat bahawa dirinya juga perlukan restu ibu.

SEMUANYA LAKONAN
Tambahan pula aku anak tunggal dan tentunya aku mempunyai tanggungjawab terhadap ibuku. Oleh itu, Suzana menerima cadanganku dan sejak itu tanpa kusedari, bermulalah segala episod duka di dalam kehidupan isteriku. Sehinggalah dia meninggalkan kami sekeluarga, barulah ku tahu derita yang ditanggungnya selama ini.

Disebabkan mahu Suzana menumpukan sepenuih perhatian pada keluarga, dan juga mengambil peluang di rumah untuk berbaik dengan ibu, aku mencadangkan agar Suzana berhenti kerja. Jawatan penolong pengurus di sebuah syarikat swasta yang dipegangnya selama hampir sepuluh tahun dilepaskan begitu saja demi mengikut segala kemahuanku.
Sepanjang hidup bersama, segala keperluanku diuruskan dengan baik. Malah keperluan di rumah ibuku juga diatur dengan baik. Makan minum semuanya terjaga. Semakin lama kulihat semakin baik hubungan isteriku dan ibu. Masing-masing menunjukkan air muka yang manis dan pernah sesekali kulihat ibu bergurau dengan Suzana.
Aku mengucap syukur di dalam hati atas segala yang berlaku di dalam rumah tanggaku. Ternyata, tindakan untuk tinggal bersama merupakan tindakan yang baik.

Namun, semuanya hanya lakonan semata-mata. Rupanya selama ini aku tertipu dnegan pandangan mataku. Disebalik setiap gurau senda, senyum manis dan kemesraan yang ditunjukkan di hadapanku adalah palsu belaka. Mana tahu, isteriku didera perasaan dan mentalnya oleh ibuku sendiri.

Sepanjang ketiadaanku, segala kerja-kerja rumah dilakukan oleh Suzana. Mungkin itu biasa dari pandangan orang lain, tetapi layanan yang diberikan terhadapnya bukanlah yang selayaknya diterima oleh seorang menantu tetapi seperti orang gaji.

Bukan itu sahaja, ibu dan Misnah rupa-rupanya sering bersekongkol mendera perasaan isteriku. Misnah sering dijemput tinggal bersama kami dan dari situlah ibu mula menjalankan pelan untuk menyakitkan hati Suzana.

Kini baruku mengerti mengapa Misnah sering dijemput tinggal bersama kami. Rupa-rupanya, Misnah yang dalam diam menyimpan perasaan terhadapku juga berasa tidak puas hati kerana aku tidak memilikinya.
Layanan bak puteri diberikan pada Misnah sejak di tinggal bersama. Makan minum diasingkan dengan Suzana. Kalau Misnah makan lauk ketam, udang, ikan, sotong dan sebagainya, Suzana hanya makan ikan bilis atau telur goreng. Peluangnya makan makanan sedap dan enak hanya ketika aku bersama di rumah sahaja.
Ketabahan Suzana membuatkan ibu lebih melenting. Sejak itu ibu mula menjaja cerita keburukan isteri di hadapanku. Sekali dua tentunya aku tidak percaya, tetapi lama-lama setelah sekian lama mendengarnya, malah dengan bukti yang direka ibu dan Misnah, aku semakin mempercayainya.

Kejayaan rancangan ibu dan Misnah untuk membuatkan seolah-olah Suzana curang akhirnya membuatkanku hilang sabar dan hilang pertimbangan. Akhirnya aku menjatuhkan talak tiga padanya. Mana tahu, itulah kali terakhir aku melihat Suzana tetapi kata-kata terakhirnya membuatkan aku tersentak dan sehingga kini ibu sering termenung sendirian sambil mengalirkan air mata.

"Kalau benar Sue tidak bersalah, abang dan ibu akan menyesal seumur hidup. Tetapi apa pun, Sue maafkan abang dan ibu" Itulah kata-katanya yang masih lagi terngiang-ngiang di teliangku. Semua rancangan ibu dahulu ku ketahui daripada ibu sendiri apabila mendapat berita Suzana meninggal dunia akibat tekanan perasaan.

Bukan niat untukku menceritakan aib ibuku sendiri, tetapi sebagai pengajaran kepada yang lain agar sentiasa waspada dan menyelidik setiap tuduhan atau kata-kata yang disampaikan. 
Berfikirlah dengan waras dan rasional. Selagi apa yang dilakukan berpaksi pada iman, insya ALLAH hidup tidak akan terpesong jauh dari NYA.
Sumber Rujukan : Mingguan Wanita Disember 2009



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: TERLAMPAU PERCAYAKAN IBU AKHIRNYA RUMAHTANGGAKU MUSNAH Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top