Breaking News

SUAMI SAYA KUAT BERDENGKUR


“Suami tergolong sebagai kuat berdengkur sehingga membuatkan tidur saya setiap malam tidak lena. Saya pernah menegurnya sehingga kerap kali kami bertengkar kerana hal ini. Ada yang menasihatkan agar berjumpa dengan pakar agar masalahnya dapat diatasi tetapi dia menolak. Apa harus saya lakukan untuk menasihatkan dia agar tidur saya di masa akan datang lebih tenang?

PANDANGAN KAUNSELOR :

Membaca persoalan puan mengingatkan saya kepada satu drama Melayu yang ditayangkan di sebuah stesen televisyen mengenai suami kacak yang mempunyai masalah kencing malam berkahwin dengan isteri cantik tetapi tidur berdengkur. Saya kongsikan cereka ini pada awal jawapan bagi mengingatkan diri saya, puan dan para pembaca semua mengenai hakikat kejadian kita sebagai hamba. Kita mempunyai kelebihan dan kekurangan. Bukan bermaksud kita perlu terima sahaja kekurangan tersebut sekiranya ia boleh diatasi. Seperti kes puan, kekurangan dalam diri suami puan boleh diatasi, insya-ALLAH.


Sebelum saya jelaskan mengenai perkara yang boleh puan lakukan bagi membantu suami, ada baiknya puan memahami mengenai tabiat berdengkur terlebih dahulu. Pemahaman ini dapat membantu puan lebih memahami masalah yang mengganggu bukan saja tidur puan tetapi boleh membahayakan suami puan. Hakikatnya, berdengkur ketika tidur bukan satu perkara luar biasa. Mengikut satu kajian yang diterbitkan dalam sebuah jurnal berkaitan dengan hidung, telinga dan tekak; American Academy of Otolaryngology, terdapat lebih kurang 45% orang dewasa yang normal didapati berdengkur semasa tidur.

Daripada jumlah itu, 25% di antaranya dikira berdengkur sebagai satu keadaan yang biasa (pendengkur tegar). Masalah berdengkur juga lebih banyak berlaku di kalangan lelaki dan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan. Berdengkur juga biasanya akan bertambah dengan pertambahan usia seseorang. Semakin tua seseorang itu semakin dia terdedah untuk berdengkur semasa tidur. Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu berdengkur yang dikaitkan dengan masalah keturunan, dipengaruhi pola hidup, kesihatan dan persekitaran.

Kajian juga mendapati tabiat dengkur sukar ditangani secara terus. Tiada ubat khusus yang boleh dimakan oleh seseorang untuk menghentikan dengkuran ketika tidur. Sebaliknya puan boleh cuba menghentikan kebiasaan ini melalui kaedah alami dan perubahan pola hidup. Biarpun tidak mempunyai ubat khusus, tabiat berdengkur perlu diusahakan agar berkurangan atau hilang terus kerana kajian menjelaskan, tabiat berdengkur yang teruk boleh mengganggu pernafasan dan menyebabkan lemas di dalam tidur.

Saya faham mengenai keengganan suami untuk berjumpa pakar. Dia tidak menganggap dengkurannya ketika tidur sebagai satu penyakit. Mungkin baginya, puan sengaja enggan belajar menerima kekurangan yang bukan kehendaknya dan tindakan mencadangkan dia berjumpa pakar difahaminya sebagai satu penghinaan. Seolah-olah dia sedang menghadapi penyakit tenat. Jalan terbaik ialah puan membantu suami memahami hakikat sebenar berkaitan dengkuran ketika tidur; punca, kesan dan cara atasinya. Bila suami faham dengan jelas segala maklumat berkaitan berdengkur ini, suami akan lebih mudah memahami kerisauan puan dan berusaha untuk mengatasi masalah tersebut insya-ALLAH.

Puan sendiri boleh membantu suami mengatasi masalah berdengkur dengan mencadangkan agar dia melaksanakan cara-cara berikut:

1. Mengubah Posisi Tidur
Berdengkur terjadi ketika langit-langit, tekak, lidah, tonsil atau otot di belakang tenggorok saling bersentuhan satu sama lain sehingga menimbulkan suara getar semasa tidur. Bunyi dengkuran muncul ketika posisi tidur terlentang sehingga lidah tertarik ke belakang dan aliran udara mengalami penyempitan. Lantas, cuba ubah posisi tidur dengan cara mengiring agar terhindar daripada berdengkur.

2. Turunkan 10% Berat Badan
Orang yang berlebihan berat badan memiliki jaringan leher tebal yang memungkinkan munculnya risiko berdengkur. Jika suami puan termasuk di dalam kategori ini, usahakan untuk menurunkan berat badan lebih kurang 10% daripada berat sedia ada sekarang.

3. Hindari Alkohol Dan Ubat Penenang
Jangan salah faham. Saya tidak mengatakan suami puan mengambil alkohol. Kajian tunjukkan alkohol juga punca berdengkur dan perlu dielakkan. Malah, jika suami puan menggunakan sebarang ubat penenang seperti pil tidur juga dapat menjadi penyebab berdengkur kerana kecenderungan menekan pernafasan. Lantaran itu, hentikan atau kurangkan kebiasaan menggunakan ubat-ubat penenang, jika ada.

4. Sedut Wap Air Sebelum Tidur
Antara sebab berdengkur ialah hidung tersumbat. Bagi membebaskan hidung tersumbat, boleh gunakan kaedah menyedut dalam-dalam wap air melalui hidung sebelum tidur atau meletakkan tuala yang direndam dalam air panas dan menyedut wapnya untuk menghilangkan lendir penyebab hidung tersumbat.

5. Cubalah Ubat Semburan Hidung
Kajian menunjukkan ubat semburan hidung dapat menyembuhkan hidung tersumbat sehingga dapat terhindar daripada risiko berdengkur kerana memungkinkan lubang hidung terbuka luas. Puan juga boleh gunakan sejenis ubat pengekang lubang hidung yang ada dijual di pasaran sekarang bagi membantu suami puan tidur lebih selesa malah agar tidak mengganggu tidur puan lagi.

Puan boleh bercerita mengenai cara-cara menghindari dengkuran ini kepada suami tika masa yang sesuai. Jelaskan secara berhikmah, bukan mengajar. Paling penting, jangan sampai suami merasakan puan membenci dengkurnya dan paling tragis, bimbang jika dia merasakan puan membencinya kerana dengkur tersebut.

Di samping berusaha memahamkan suami dan mengubah dengkurnya itu, puan perlu panjatkan doa kepada ALLAH SWT agar hati suami dilembutkan untuk menerima segala usaha puan membantunya mengatasi masalah ini.

Puan juga perlu lebih banyak bersabar kerana tidak mustahil, suami berkeras untuk tidak berusaha mengubah dengkurnya itu. Jangan putus asa! Hingga tiba detik tersebut, puan boleh pekakkan telinga dengan menyumbat lubang telinga puan dengan kapas untuk seketika. Ingat! Masalah dengkuran suami juga termasuk di dalam ujian perkahwinan. Jika tidak berwaspada dan usahakan dengan baik, boleh menyebabkan kehancuran rumah tangga, nauzubillah!

SUMBER DARI MAJALAH PAMA

No comments