Breaking News

MENGHADAPI SUAMI ATAU ISTERI YANG CEREWET


Memikirkan suami atau isteri yang cerewet sering dianggap sesuatu yang membosankan. Apa tidaknya, semua perkara perlu dilakukan harus tampak sempurna di depan mata pasangan.

Mempunyai isteri cerewet bukanlah satu perkara luar biasa kerana sememangnya wanita sinonim dengan sikap mudah meluahkan perasaan.

Namun, suami cerewet pula bukan ditakdirkan untuk semua isteri dan hanya sebahagian kecil yang merasainya kerana jarang lelaki banyak bercakap berbanding gemar memendam rasa.

Jangan bersedih atau memandangnya sebagai perkara negatif. Sebaliknya, anggap ia sebagai perkara positif yang boleh menjadikan rumah tangga dan hubungan bersama pasangan bertambah mesra.
Kita sepatutnya bersyukur memiliki pasangan cerewet kerana berpeluang mengetahui segala isi hatinya yang "tidak puas hati" dengan tindakan anda.
Berbanding pasangan pendiam atau sambil lewa, kita tidak mungkin tahu isi hatinya atau kesilapan dilakukan walaupun menjadi sebahagian daripada hidupnya bertahun-tahun lamanya.

Justeru, sebagai pasangan kita harus bijak mengendalikan sikap cerewet suami atau isteri tanpa ada rasa tertekan.

Misalnya, jika suami cerewet mengenai pakaian yang perlu digosok licin, isteri perlu tahu kehendaknya dan pastikan hasil kerja sama seperti cita rasa diinginkan.

Sama juga dengan makanan kegemaran suami. Isteri perlu faham jika suami tidak makan pedas dengan mendalami lebih banyak ilmu sebagai usaha untuk memenangi hatinya.

Suami juga perlu faham jika memiliki isteri cerewet terutama mengenai susun atur rumah atau jadual perjalanan bagi mengelakkan anda pula lemas mendengar celoteh isteri.

Beberapa perkara perlu difahami jika memiliki pasangan cerewet agar rumah tangga dibina lebih sempurna dengan setiap kritikan membina mereka.


Ada yang kurang, ada yang lebih
Setiap pasangan perlu bersyukur jika mereka memiliki suami atau isteri cerewet. Anggap ia sebagai hiburan yang tidak pernah dijangka.

Anda perlu sedar jika sikap cerewet berkenaan tiba-tiba hilang pasti kita akan merinduinya dan boleh memahami ada sesuatu yang tidak kena dengan pasangan.
Suami harus tahu isteri memang sinonim dengan sikap seorang ibu yang `suka bising' sebagai tanda sayang mereka kepada anda dan juga anak-anak.
Apabila tiada lagi kasih, anda tidak akan dipedulikan, hilang sikap cerewet sekali gus membuatkan kita rasa disisihkan.

Apabila gagal memahami
Masalah timbul dalam kalangan pasangan cerewet apabila suami atau isteri gagal memahami dirinya. Kebanyakan pasangan mengambil jalan mudah dengan merasakan diri mereka difahami kerana sudah melalui hidup bersama dalam tempoh lama.

Walaupun kita berkawan dengan pasangan sebelum berkahwin atau sudah melalui tempoh lama dalam perkahwinan, kita masih belum dapat mengenali mereka sepenuhnya.

Sikap manusia yang mudah berubah sama ada kecil atau besar bukan sesuatu yang mudah disedari. Jika ingin mengenal pasti sikap pasangan, amalkan suka bertanya, berbincang dan berterus terang.

Ia termasuklah berkaitan perjalanan hidup rumah tangga seperti jadual kerja anda. Ia memudahkan pasangan untuk memahami sama ada sesuatu tugas di rumah itu dapat dilakukan sendirian atau bersama-sama.

Sabar dan doa
Sentiasa mempunyai kesabaran yang tinggi dalam menangani sikap cerewet pasangan di samping berusaha memenuhi kehendak hati mereka.

Jika kurang sabar, pasti pergaduhan akan berlaku hingga menjejaskan hubungan yang baik dalam rumah tangga.
Selain bersabar, kita juga perlu banyak berdoa supaya Allah melembutkan hati pasangan agar dia bertolak ansur pada suami atau isteri.
Bagi mereka yang mempunyai sikap cerewet, cuba berubah. Jangan hanya harapkan pasangan memahami anda sebaliknya berubahlah demi keselesaan pasangan anda.

Fahami bahasa cinta suami
Memang sikap lelaki ada yang tidak suka menunjukkan cara sebenar secara terang-terangan apabila mereka menyayangi pasangan.

Walaupun suami tidak mengungkapkan kata `Saya cinta Awak' atau `Kaulah Kekasihku', cinta mereka tetap ada untuk pasangan.
Justeru, cuba fahami bahasa cinta suami untuk mengeratkan hubungan agar ia terus berkekalan hingga ke akhir hayat.
* Pandangan mata
Mata tidak hanya untuk memandang tetapi berfungsi sebagai penyampai maksud dan pesanan yang jujur.

Lihat pada mata pasangan. Jika dia pandang terus pada anda dan tidak terganggu dengan keadaan sekeliling bermakna kita amat bererti baginya.

* Ingat makanan kegemaran pasangan
Mengingati makanan kegemaran pasangan salah satu tanda cinta yang selama ini dipendamnya.

Misalnya jika kita gemar kek pisang, suami akan membeli makanan kegemaran itu jika dia terlihat ada orang menjualnya.

Ia antara cara suami menunjukkan perhatiannya pada anda.

* Berbicara mengenai masa depan
Suami lebih senang duduk berbincang dengan isteri mengenai masa depan keluarga sama ada soal rumah, kewangan, hal anak-anak atau seumpamanya.

Tingkah laku berkenaan menunjukkan suami ingin bersama anda untuk selama-lamanya.

* Menghargai hadiah diberikan
Dulu hingga sekarang, suami tetap setia menggunakan dompet yang dihadiahkan isteri tanpa mahu menukarnya kepada yang baru walaupun keadaannya tampak buruk.

Ia menunjukkan tanda terima kasih dan sayang suami kepada isteri dengan menjaga hadiah diberikan sepenuh hati.

* Selalu di sisi
Ketika keluar bersiar-siar, suami lebih senang berada dekat dengan isteri bagaikan di awal percintaan dulu.

Dia lebih senang melihat isteri dalam keadaan selamat dan sedia memberi bantuan ketika anda memerlukannya.

* Lakukan bersama-sama
Mungkin ada suami yang tidak mahu menyertai aktiviti bersama rakan di luar jika isteri tidak mahu menyertai.

Seboleh-bolehnya, suami merayu untuk keluar bersama bertemu rakan bagi memastikan setiap aktiviti dilakukan diketahui isteri.

* Rahsia
Pasangan tidak pernah berahsia mengenai semua perkara sepanjang bergelar suami isteri. Apa saja cerita yang berlaku sama ada di pejabat atau rumah akan dikongsi bersama isteri.

Namun, kisah berdua antara suami dan isteri tidak akan diceritakan kepada orang lain bagi menjaga maruah pasangannya.

* Rela menjemput
Suami sanggup meredah kesesakan lalu lintas dan keletihan ketika isteri berada dalam keadaan terdesak seperti pulang sendiri ke rumah dari pejabat.

Malah, mereka tidak akan mengeluh atau melengahlengahkan masa jika isteri meminta bantuan untuk menjemputnya di tempat kerja atau di mana saja.

Sikap suami itu menunjukkan dia benar-benar ambil berat mengenai keselamatan isteri jika tidak berada bersamanya.


No comments