Breaking News

MENGAPA LELAKI BERUBAH SELEPAS KAHWIN


Sebelum berkahwin, lagaknya seperti pijak semut pun tak mati. Mana tahu pula selepas berkahwin habis pecah tembelangnya, segala tingkah laku dan perangai sebenar yang tersembunyi rapi sebelum ini terkeluar semuanya. Mengapa begitu sekali mereka lakukan? Apakah semata-mata agar si kekasih hati sah menjadi hak milik maka barulah "perangai"sebenar ditunjukkan?

SUKAR TINGGALKAN TABIAT BURUK.
Memang saya akui ramai juga lelaki yang bersikap begitu tapi tidak semua. Mungkin sikap buruk itu sudah terbawa-bawa dan sukar diubah dari sebelum berkahwin lagi. Bagi saya, lelaki sebegini seboleh-bolehnya mahu menonjolkan diri mereka lebih baik dan sempurna pada pandangan mata wanita.

Bahananya sekali mula berpura-pura, semakin sukar untuk meninggalkan tabiat. Bak kata pepatah, sekali menipu sampai bila-bila akan terus menipu untuk menutup penipuan yang sebelum-sebelumnya.

Sebaik-baiknya bersikap jujur bukan sahaja dengan pasangan tetapi juga dengan diri sendiri. Lelaki sebagai ketua dan pemimpin dalam rumah tangga dan tanggungjawabnya untuk membimbing isteri. Jadi, untuk membimbing isteri, diri sendiri perlu diperbetulkan agar isteri hormat dan yakin dengan bimbingan suami.

- Komen Mohd Fadhli Yahaya

MAHU TUNJUK BAGUS.
Ada benarnya juga hal ini berlaku, tetapi saya tidak setuju jika dikaitkan dengan semua lelaki. masih ada lelaki yang berlaku jujur dan menjadi diri sendiri dengan pasangan mereka dari sebelum berkahwin, hinggalah sesudah berkahwin.

Pada pendapat saya lelaki yang berpura-pura ini mungkin berfikiran semuanya mesti sempurna dari segi sikap, tingkah laku, tutur kata dan sebagainya. Pendek kata mereka mahu tunjuk bagus dan baik. Jika kena dengan gayanya silap-silap pasangan mereka sendiri sukar untuk menelah sikap sebenar si lelaki.

Lebih baik jadi diri sendiri dan berlaku jujur dari mula hingga akhir. Dan jika perlu berpura-pura biarlah kena pada tempatnya dan tidak melampaui batas.

- Komen Mohd Sazali Ismail.

IMEJ BAYANGAN SEMPURNA.
Bergantung pada lelaki itu sendiri. Jika dia ingin berpura-pura dan menjadi baik semata-mata untuk menawan hati seorang wanita, dia sendiri perlu menanggung akibatnya kelak. "Tipu daya" si lelaki memberi bayangan bahawa dirinya seorang yang baik dan sempurna dimata wanita.

Oleh itu akan timbul masalah setelah berumah tangga kerana isteri mengharapkan suaminya masih dengan imej bayangan "sempurna dan baik" sedangkan hakikatnya suami hanya berpura-pura. Kalau tidak dipantau di awal-awal perkahwinan, masalah akan semakin meruncing dan rumahtangga akan goyah.

Adalah lebih baik agar tidak berpura-pura menunjukkan diri lebih sempurna dan baik dalam semua aspek. Biar ternampak sedikit cacat celanya, kerana manusia sememangnya dilahirkan tidak sempurna. Kehadiran isteri melengkapkan kekurangan suami. Jadilah diri anda sendiri.

- Komen Mohd Sani Ismail.

IKUT SYARIAT ISLAM.
Bagi saya hal ini sudah menjadi perkara biasa saja. Ia bukan perkara yang pelik dan menghairankan. Tak perlu tengok jauh. Contohnya saja dah ada di depan mata kita. Dan bukan hanya lelaki tetapi perempuan juga ada yang bersikap begitu. Tetapi tidak kira lelaki mahupun perempuan nasihat saya, jadikanlah sikap jujur dan ikhlas sebagai asas dalam setiap hubungan.

Hubungan yang baik adalah hubungan yang berlandaskan syariat Islam. Bila segalanya berlandaskan syariat Islam, tidak wujudlah istilah menipu, berpura-pura dan sebagainya. Dari situ, hubungan sentiasa disulami dengan saling percaya mempercayai. Insya ALLAH hubungan suami isteri kekal hingga ke akhir hayat.

- Komen Yahaya Abd. Hamid

Disalin semula oleh RP daripada MAJALAH MINGGUAN WANITA

No comments