Breaking News

BEKERJA 60 JAM SEMINGGU BERISIKO HILANG NAFSU...

LONDON: Satu kajian terbaru mendakwa pekerja yang terlalu rajin bekerja sehingga lebih 60 jam seminggu akan mengalami masalah dingin atau kehilangan nafsu seks.


Golongan pekerja terbabit terdedah kepada bebanan tugas termasuk memenuhi tarikh akhir yang ketat sehingga keperluan melakukan perjalanan tugasan luar yang kerap.

Media Britain melaporkan, hasil dua kajian di kalangan pekerja di Amerika Syarikat dan syarikat antarabangsa menyatakan, biarpun kebanyakan pekerja melakukan tugasan secara keterlaluan itu dilimpahi ganjaran dari segi kewangan, hakikatnya mereka kerugian dari segi kenikmatan hidup berpasangan kerana tidak lagi berahi kepada suami atau isteri masing-masing.

Lebih membimbangkan, masalah dingin itu amat jarang dibincangkan secara terbuka.
“Hakikatnya, mereka yang paling awal di tempat kerja dan terakhir meninggalkan pejabat sebenarnya mendedahkan mereka kepada bahaya kehilangan rasa berahi.
“Malah, ia bukan satu lagi masalah individu tetapi fenomena yang kian ketara. Pekerja rajin ini menjadi golongan yang memusnahkan kehidupan seks mereka,” kata kajian Harvard Business Review (HBR).


Hasil dua kajian utama berkenaan, termasuk satu membabitkan pelbagai profesion bergaji besar di Amerika dan peringkat pengurusan syarikat korporat antarabangsa, juga membuktikan kerjaya sedemikian sibuk boleh menjejaskan individu dan masyarakat.

Secara keseluruhannya, hasil kajian itu mendapati kalangan profesional yang ekstrem ini tidak berasakan diri mereka dieksploitasi, tetapi sebaliknya disanjungi.

Malah majoriti responden atau 66 peratus mengakui mereka lebih cintakan kerja dan angka itu meningkat kepada 76 peratus di kalangan pekerja syarikat multinasional atau antarabangsa.

Kajian itu mendedahkan, di sebalik perasaan sayangkan kerja, separuh daripada mereka yang menerima habuan gaji besar, sebaliknya mengakui tidak mengecapi nikmat kehidupan seks memuaskan.

Kebanyakannya menyalahkan tugas sebagai puncanya.
“Seramai 46 peratus turut mengakui tugas mereka menjadi penghalang menikmati hubungan asmara dengan pasangan masing-masing. Malah, peratusan sama turut mengakui terlalu letih untuk bersembang dengan pasangan selepas kepenatan bekerja saban hari, setiap minggu.”
Laporan itu turut mendakwa wanita khususnya menjadi golongan paling rugi dalam persaingan melakukan tugasan ekstrem berkenaan.

Selain sukar berdepan tekanan atau tanggungjawab tugasan, mereka juga payah menyaingi jumlah jam kerja lebih masa yang dicatatkan rakan lelaki.

“Ia terbukti menjadi antara sekatan utama bagi wanita yang bercita-cita tinggi,” kata HBR. – Agensi

FAKTA NOMBOR

Kajian impak pekerja
60 - Jam tempoh kerja seminggu
76% - Akui utamakan tugas
46% - Tugas halang asmara


No comments