728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

13 January 2015

KEPADA WANITA YANG SUAMINYA CENDERUNG UNTUK KAHWIN LAGI...


SAYA terpanggil untuk memberi pendapat apabila isu lelaki tua mencari wanita muda semakin hangat diperkatakan. Pendapat Rastam Malek mewakili pandangan seorang lelaki yang menerima fitrahnya 'memang lelaki sedemikian' tetapi saya ingin memberi sedikit pandangan terhadap pemikirannya yang mencerminkan satu sifat lelaki 'ego'.

Ini kerana tidak benar sama sekali lelaki berharta memang berniat baik apabila berkahwin lagi dengan tujuan untuk memperbanyakkan baka atau terus mencari wanita cantik dan muda semata-mata untuk mendapatkan zuriat yang sihat dan banyak.

Apa yang terjadi di waktu ini ialah kebanyakan lelaki yang berkahwin lain bukan dengan niat untuk memperoleh zuriat lagi kerana kebanyakan mereka telah pun mempunyai ramai anak dengan isteri pertama tetapi adalah kerana mereka itu ingin memuaskan nafsu dan naluri seks serta inginkan belaian mesra dan perhatian yang berterusan.

Tidak dinafikan kebanyakan wanita berusia akan mengurangkan perhatian mereka terhadap suami tetapi ini tidak bermakna mereka tidak sayang lagi kepada suami mereka tetapi sesetengah wanita yang berusia ini ada mengalami satu atau dua jenis penyakit biasa seperti kencing manis atau darah tinggi di samping mengalami alam menopaus.

Apabila wanita-wanita ini menghadapi masalah kesihatan, tentulah dia juga ingin mendapat perhatian sewajarnya daripada suami sekurang-kurangnya sentiasa ada bersama-sama di waktu waktu si isteri memerlukan seorang suami.
Sudahlah di sepanjang perkahwinan, si isteri memang sibuk membesarkan anak-anak yang kadang-kadang secara bersendirian kerana suami sibuk mencari rezeki, malah yang paling menyedihkan apabila isteri juga bekerja dan menyumbang kepada ekonomi keluarga dan pada waktu yang sama memikul tanggungjawab berat membesarkan anak-anak.

Kebanyakan suami pula mementingkan perasaan sendiri tanpa memikirkan perasaan isteri-isteri mereka yang juga sesungguhnya merasa bosan dengan kerenah dan sifat ''bossy'' suami di rumah apa lagi jika suami itu adalah seorang ketua pejabat.

Sifat tidak mahu membawa isteri berbincang sebelum membuat keputusan yang melibatkan kewangan keluarga, sifat merahsiakan hal-hal dia dengan keluarga sendiri dengan lain perkataan membelakangkan isteri, tidak mengambil berat masalah isteri dan anak-anak, sifat panas baran serta tidak romantis dan tidak penyayang adalah di antara faktor menyebabkan kebosanan para isteri sebenarnya yang menjurus kepada kurangnya perhatian kepada suami mereka setelah perkahwinan dimakan usia.

Lumrahnya lelaki selalu menggunakan agama sebagai senjata untuk menundukkan isteri dengan mengatakan berdosa itu dan berdosa ini sedangkan dosa suami yang tidak membelai perasaan isteri atau tidak memberi cukup makan pakai anak dan isteri selalunya dianggap ''biasa'' kerana sifat ego lelaki-lelaki ini. Adakah munasabah jika perasaan isteri disakiti pada waktu siang dan mengajak isteri yang masih terluka itu melayani nafsu seksnya pada waktu malam?

Hanya wanita yang taat membabi buta akan terus melayan si suami yang bersifat sedemikian dengan harapan akan mendapat balasan syurga di akhirat kelak berkat kesabarannya sedangkan jauh di sudut hati, wanita ini sesungguhnya tertekan dan menderita sakit jiwa.

Kebanyakan wanita rela bersabar dengan segala macam kerenah si suami dengan alasan kesiankan anak-anak dan tidak mahu rumah tangga hancur atau malu berhadapan dengan masyarakat. Tetapi mengapakah para lelaki kurang sabar di dalam melayani kerenah isteri dan anak-anak dan sering memberi alasan tidak bahagia lagi lantas terus mencari isteri baru dengan harapan hidup dengan orang baru akan bahagia padahal perkara yang sama berlaku juga.

Di dalam soal ini janganlah lelaki menuding jari menyalahkan wanita semata-mata kerana melayari alam perkahwinan sesunggunya amanah yang diberikan kepada kita sama seperti kita membesarkan anak-anak.
Kepada wanita yang suaminya cenderung untuk berkahwin lagi, katakan kepadanya ''Alhamdulillah'' kerana anda tidak lagi perlu menjaga sakit pening suami sekiranya dia mengalami sakit tua kelak dan biarlah wanita muda itu pula mengambil tempat anda dan anda teruskan kehidupan bersosial dengan masyarakat, tumpukan perhatian kepada diri sendiri dan teruskan hobi anda yang terhalang.
Melanconglah dengan kawan-kawan sebaya atau anak-anak.

Membeli polisi insuran hayat atau kesihatan adalah langkah terbaik untuk menguruskan keperluan sakti pening di masa tua di samping mendidik anak-anak tentang kewajipan menjaga kebajikan ibu mereka.

Tidak dinafikan wanita juga ada perasaan untuk berkahwin lain dan ingin merasai kehidupan dengan lelaki lain yang jauh lebih mesra atau baik daripada suami sendiri. Tetapi hakikatnya isteri tidak boleh berbuat demikian kerana agama dan budaya tidak mengizinkan wanita berbuat begitu.

BACA JUGA

 - JUNAIDAH HASSAN, Kuala Lumpur.
Sumber : Utusan Malaysia


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KEPADA WANITA YANG SUAMINYA CENDERUNG UNTUK KAHWIN LAGI... Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top