Breaking News

HIDUPKU DIKELILINGI WANITA


Suasana yang sering aku kenang-kenang dan berasa seronok untuk diingati ialah ketika aku berusia antara dua hingga lima tahun. Sememangnya banyak perkara dalam waktu itu, kebanyakannya sudah kita lupa. Ia merupakan waktu-waktu hayat manusia yang sudah dilupakan. Seolah-olah otak manusia membenamkan saja memori waktu usia yang istimewa itu.

Namun begitu, dalam usia 50 tahun ini, sekali-sekali teringat cebisan -cebisan ketika aku berusia lima tahun. Maka antara suasana yang aku berasa selesa ialah ketika itu berada di sekeliling sekumpulan wanita. Pada usia antara dua hingga lima tahun itu, aku dan ibuku tinggal di rumah datuk dan nenekku di kampung yang di kelilingi kehijauan yang terdiri daripada pokok kopi, getah, pinang dan kelapa.
Maka apa yang aku ingat ialah waktu malam. pada masa itu bekalan elektrik tidak ada lagi. Maka yang dipasang ialah lampu minyak tanah. Maka keseronokannya ialah selepas waktu isyak. Makan malam telah lama selesai. Ini kerana kami makan pada aktu petang, sebelum maghrib ketika waktu masih cerah dan tidak memerlukan lampu.
Selepas waktu maghrib, iaitu selepas solat, kami mengaji. Yang mengajar aku mengaji ialah kaum perempuan yang ada di rumah : Buyut iaitu gelaran bagi ibu kepada nenek, nenek, emak dan emak-emak saudara. Sesiapa yang lapang akan mengajar mengaji alif, b, ta sehinggalah waktu isyak apabila kami semua sembahyang isyak bersama.

Waktu-waktu itu, orang lelaki tiada dirumah. Datuk tentunya di surau. ayah memang tidak ada di kampung. Ia di perantauan mencari rezeki yang lebih baik. Bekerja sebagai askar dan masuk hutan memburu komunis pada zaman darurat itu. Sementara bapa-bapa saudara di kampung pada waktu malam juga tidak ada di rumah. Selepas makan malam, mereka mungkin pergi praktis main gitar dalam kugiran kampung.

Maka yang ada dirumah ialah orang perempuan dan kanak-kanak saja. Setelah sembahyang isyak orang-orang perempuan ini, buyut, nenek, emak dan emak-emak saudara akan berkumpul mengelilingi lampu minyak tanah. Mereka bersembang. Nenek makan sirih. Sementara emak akan sibuk menjaga adik-adik kecil, seorang bayi. Juga emak saudara yang kadangkala menjahi. Mereka bersembang sambil mendengar radio.


Ada masa, jiran atau sanak saudara datang berkunjung. Mereka akan membawa anak-anak mereka. Maka lebih riuh sedikitlah rumah itu. Emak-emak saudara lain yang datang akan membawa sepupu-sepupu bersama. Baik yang perempuan mahupun lelaki. Tetapi ia tetap merupakan perhimpunan kaum perempuan dewasa yang akan bersembang, bertukar cerita dan tentunya mengumpat tentang orang kampung.

Itulah suasa yang aku rasa paling berbahagia. Kadang kala bermain dengan sepupu. Atau membaca buku kanak-kanak, semuanya berhampiran dengan kaum perempuan yang terdiri daripada tiga generasi. Apabila mengantuk, aku akan meletak kepalaku dipangkuan emak atau emak saudara, sehingga tidur.

Maka paling seronok ialah ketika mata semakin mengantuk dan duduk bersebelahn nenek, emak atau emak saudara. dalam mengantuk begitu terdengar segala yang disembangkan oleh orang-orang perempuan itu. Macam-macam cerita tentang kampung ,jiran-jiran sanak saudara dan juga perangai suami masing-masing.

Walaupun tidaklah begitu faham apa yang diceritakan tetapi kisah-kisah yang diperkatakan termasuk umpatan menjadi pengjara atau sempada kepada telingaku sebagai seorang kanak-kanak. tanap disedari nilai-nilai yang terkandung dalam sembang-sembang orang perempuan masuk ke kepala anak-anak yang dipangkuan mereka.

Sebagai kanak-kanak berada berhampiran emak dengan nenek dan buyut sudah tentu dirasakan begitu selamat. Apabila rasa sakit sendiri, umpamanya dengan segera golongan wanita ini mengambil perhatian. Makan minum disediakan. Maknanya sebagai kanak-kanak amat dirasakan begitu dilingungi oleh orang perempuan yang berada disekelilingnya.
Maka apabila sudah dewasa dengan mengingat kembali sunbangan wanita disekelilingku, maka aku amat faham apabila isteri rindu pada emaknya dan adk-adik beradik perempuannya. Mereka mahu bersembang dan bertukar maklumat dan akhirnya dengan membawa anak-anaknya akan tesalur nilai-nilai dan pengajaran kepada generasi akan datang.

Penulisan Zin Mahmud
Disalin semula oleh RP dari Majalah Wanita  Julai 2009

No comments