728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

18 January 2015

HARU APABILA SUAMI GILAKAN ISTERI ORANG


BENAR kata orang, dunia ini amat kecil, apalagi negara kita. Dulu saya pernah berbual dengan seorang wanita, dia rajin menelefon dan menceritakan penderitaan hati dan jiwa tentang masalah rumah tangganya. Pernah juga menulis dalam DCCK. Kini saya dihubungi pula oleh seorang wanita yang mendakwa dialah anak wanita tersebut.

Percaya tak? Memang mulanya ragu-ragu, tetapi setelah dia bercerita nama ibunya, kerjanya dan datang dari SB, tiba-tiba saya teringat wanita tersebut, saya tanyakan apakah beliau begini dan begitu. Jawapannya tepat. Demikian kecilnya negara kita.

Kata Ranie dulu dia sering baca DCCK ketika masih bersekolah rendah lagi, kerana terpengaruh dengan ibunya yang merupakan peminat setia DCCK, sampai luti akhbar Mingguan Malaysia mereka berebut adik-beradik. Lepas satu tangan ke satu tangan, masa itu akhbar kecil Pancaindera dalam Mingguan Malaysia belum ada lagi.

``Sekarang umur saya sudah lebih 30 tahun dan sungguh saya tak sangka apa yang dialami oleh ibu saya mungkin saya menghadapinya pula. Tetapi ibu tak pernah bercerita tentang penderitaan hidupnya. Cuma selepas ibu meninggal baru saya tahu orang yang saya sangkakan saudara itu rupa-rupanya madu ibu, isteri kedua ayah. Apa nak kata, sudah takdir ibu. Sebab itu agaknya DCCK menjadi bahan bacaan utamanya untuk menenangkan jiwa yang berkecamuk yang siapa pun tak tahu.'' Demikian cerita Ranie dalam suratnya kepada penulis.

``Tujuan saya menulis bukan untuk menagih simpati atau ceritakan kisah ibu, tetapi pengalaman hidup sendiri yang tak kurang deritanya. Walaupun saya sudah ada seorang anak, kini berusia 9 tahun, tetapi doktor mengesahkan saya tak boleh bersalin lagi, sebab saya sudah beberapa kali keguguran, dan bimbang keselamatan saya tergugat nanti.
``Perkahwinan saya awalnya memang bahagia, tetapi berlaku sedikit masalah, akhirnya berpanjangan dengan ipar-duai, saya sudahpun meminta maaf kepada mentua dan suami, malangnya kesilapan saya itu dijadikan isu besar kononnya tidak boleh dimaafkan lagi.

``Namun hidup mesti diteruskan. Saya mengambil sikap berbaik-baik dengan mereka walaupun dibenci. Nak dijadikan cerita dalam menyalahkan saya, rupa-rupanya suami saya Zahri sudah ada wanita lain dalam hidupnya, tetapi wanita itu isteri orang.

``Saya cuma memendam perasaan melihat ragam perangai Zahri, waktu itu nasihat apa pun tak masuk, hubungan mereka penuh rahsia dan tipu muslihat. Saya sentiasa berdoa supaya Zahri cepat insaf. Namun hubungan mereka terhenti dua tahun kemudian setelah isteri orang itu selamat melahirkan anak lelaki mungkin kini sudah berusia 4 tahun. Saya cuma berdoa anak itu tidak ada kaitan dengan Zahri. Sebab wanita itu dilimpahi dengan kemewahan hidup yang saya tak pernah mimpi dibelikan oleh suami.

``Ganjaran yang wanita itu dapat memang lumayan sedangkan saya tak pernah dibelikan sejanggut emas pun, yang ada pun licin dimasukkannya ke pajak gadai, tapi wanita itu terus mewah dengan wang ringgit, barang kemas dan pakaian yang mahal-mahal.

``Saya dah letih menasihat, penat bertengkar naik malu bergaduh sebab dia tak pedulikan pun. Mentua saya memang suka dengan perbuatan anaknya sebab saya bukan menantu pilihannya. Akhirnya saya terpaksa mendiamkan diri ikut nasihat emak.
``Saya bukan nak puji diri, walaupun jiwa saya diseksa oleh Zahri tapi saya masih boleh bersamanya, dan saya gigih untuk hamil walaupun sentiasa keguguran. Saya sanggup korbankan diri untuk hamil demi sayangkan Zahri. Namun kawan-kawan dan keluarga menasihatkan jangan korbankan diri, ingatkan anak yang masih kecil yang perlukan saya untuk terus hidup. Barulah saya sedar dan mula menjaga kesihatan.
``Kegawatan tahun 1997 dan 1998 menguji saya lagi, dia diberhentikan kerja, nak buka perniagaan sendiri, minta saya keluarkan modal beli lori pikap. Tapi seminggu aje dia rajin, lepas itu dia kata tak ada mood sebab adiknya terlibat dengan najis dadah. Sebenarnya di rumah selain kami bertiga beranak turut dikongsi adik ipar saya penagih dadah tegar. Dia ni setiap tahun mesti ada kes, keluar masuk jel dah jadi wajib, pusat serenti dah lali. Mak mentua dan ipar-duai saya tak mahu campur, malu kata mereka.

``Saya menangis bila lori dijual, sebab habislah duit simpanan saya dia pakai, gantinya tidak. Bila senang dapat duit tanggung isteri orang, bila susah cari bini. Habis gawat tahun 2000 dia dapat kerja baru, mulanya baiklah, lepas tu buat kelaku lama, mula minta saya belikan kereta. Duit jual lori dah lama habis. Tak boleh tanya lagi pasti berperang. Mahu tak mahu, kerana sayangkan suami saya pinjam daripada emak. Adik-beradik pulak tak puas hati, akhirnya saya berbalah dan renggang dengan keluarga sendiri. Zahri buat dek aje, sebab dia nak duit muka beli kereta.

``Masa nak minta duit emak janjinya nak tolong emak juga bila perlukan kereta, tapi lepas dapat, dia cari jalan gaduh, tujuannya supaya emak bapak saya tak menyusahkan dia nak meminjam kereta. Saya pun ingatkan bila beli kereta kita boleh tumpang, tapi masih disuruh berjalan kaki dan naik bas ke tempat kerja. Jadi untuk apa dia beli kereta, sedangkan dia ada kenderaan ketika bekerja?

``Seperkara yang lebih menggugat hati saya ialah bila dah dapat kereta lebih kerap dia mengugut nak bagi saya talak. Masa bercinta loving habis, lepas 10 tahun kahwin nak buang kita sesuka hati. Selepas mak saya meninggal dunia kerana penyakit seriusnya, Zahri sibuk nak tukar kereta elok sikit. Sekali lagi saya disuruh berhutang, pinjam bank nak buat duit muka. Nampaknya hutang lama tak selesai, hutang baru bertambah. Bila duit habis bayar hutang, tentulah saya kekeringan, sampaikan nak berganti pakaian pun susah, apalagi beli pakaian dalam katanya tak perlu. Kadang tu bila terdesak saya terpaksa pergi ke tempat kerjanya minta duit. Dia punyalah kedekut macam saya minta beli emas sekilo. Dia dengan megah tengking saya, katanya nama aje kerja tapi minta duit dia. Zahri memang nak malukan saya, sedangkan dia tahu gaji saya habis bayar hutang dia.

``Kekadang tu saya terfikir juga saya kerja untuk bayar hutang dia dengan bank, top up card handphone, sara hidup anak, nasib rumah free kalau tidak, tak makanlah saya anak-beranak, sedangkan dia bila tak kerja tak lepas peluang melepak di gerai dengan kekawannya. Balik pukul 3 pagi. Di sanalah dia mula kenal seorang lagi wanita isteri orang jugak. Sekali lagi hidup saya merana, sebab kereta kami pun dia sanggup beri pinjam. Saya nak guna tak diberi. Rupa-rupanya wanita itu gunakan bawa tukang urut Indonesia yang ditempah oleh kawan-kawannya di tempat-tempat tertentu. Kereta kami dia guna buat bisnes. Tak tahulah kalau Zahri jadi rakan kongsinya.

``Kerana kereta jarang ada di rumah salahkah kalau saya tanya di mana? Malangnya pertanyaan saya itu pun diugut nak ceraikan saya. Pendek kata perkataan cerai sentiasa di bibirnya. Saya tak boleh tanya langsung ke mana dia pergi. Ugutan dia itulah yang sentiasa mengganggu fikiran saya. Sebabnya dia tahu saya takut kena cerai, jadi cerailah menjadi senjatanya menutup mulut saya daripada bertanya atau mengajak dia berbincang.

``Baru-baru ini kereta hampir kena tarik sebab dua bulan tak bayar, duit saya dia ambil tapi entah apa dia gunakan. Sayalah jadi galang ganti mencari orang untuk meminjam. Waktu itu pandai pujuk saya sebab dia takkan dapat daripada keluarganya. Anak sendiri penagih dadah pun emaknya boleh buang, inikan nak tolong bayar duit kereta.
``Tekanan hidup yang saya hadapi memang perit menyebabkan penyakit saya menjadi lebih serius. Tetapi sekali pun saya tak dapatkan rawatan sebab fikirkan masalah keluarga. Namun nasihat kekawan kalau saya tak jaga kesihatan siapa nak jaga anak saya yang masih bersekolah rendah itu? Kini barulah saya insaf, saya perlu sihat demi anak.
``Dalam pada itu hubungan Zahri dengan wanita itu semakin erat, mungkin kerana bisnes tukang urut agaknya. Peliknya suami wanita itu tak bertanya kereta siapa yang isterinya gunakan. Atau mungkin dia tahu tapi buat tak tahu mungkin juga bersubahat. Tapi mulut manusia siapa boleh tutup. Banyak yang dah bercakap termasuk kekawan Zahri sendiri.

``Nak dijadikan cerita, satu hari suami wanita itu datang ke rumah meminta saya dan Zahri ikut sama ke rumah iparnya. Saya dah jangka mesti kes mereka dah terbongkar. Di situlah masing-masing bersemuka dan kedua-dua pihak menafikan mereka buat hubungan. Sebaliknya mendakwa fitnah orang. Mereka cuma berkawan saja. Tetapi siapa nak percaya mereka bukan kawan sepejabat atau setempat kerja nak kata kekawan. Akhirnya kerana pertengkaran dan kerana geram Zahri lantas menceraikan saya di hadapan mereka.

``Esoknya saya ke pejabat kadi buat laporan menyatakan saya telah diceraikan. Seminggu kemudian Zahri pula datang ke pejabat kadi. Pegawai penasihat telah menasihatkan kami berbaik semula. Katanya ucapan Zahri tak sengaja dan tak jelas ketika menceraikan saya, walaupun ada dua orang saksi. Nasihat daripada pegawai penasihat ini benar-benar membingungkan saya. Dia tiada di tempat kejadian bagaimana dia boleh setuju ucapan cerai itu dilafazkan secara tidak sengaja?

``Bagaimanapun atas nasihat orang tua yang lebih faham, sejak dari hari Zahri melafazkan cerai maka hari itu juga saya tinggalkan rumah. Sebab pertamanya, saya dengar dengan jelas Zahri telah menceraikan saya, memang waktu itu dia marah sebab masalah hubungan dia dengan isteri orang diketahui ramai. Kedua, rumah yang kami tinggal anak-beranak itu pun kata emaknya bukan rumah saya, walaupun boleh dikatakan harta sepencarian. Namun bagi saya buat apa gaduh pasal rumah kalau ada perkara lebih mustahak yang mesti diselesaikan.

``Disebabkan saya tinggalkan rumah maka pegawai penasihat telah nasihatkan saya supaya balik semula ke rumah, sebab suami saya katanya tak ada niat nak ceraikan saya. Di sini timbul kecelaruan fahaman antara dua pihak, Zahri mengaku dia ceraikan (lepaskan) saya tetapi mengaku tak ada niat sebab dia lafazkan dalam keadaan marah.

``Saya tak boleh terima dengan mudah sebab saya tahu niat Zahri dan dia sering mengugut saya. Memang saya takut diceraikan tetapi saya tak sanggup menghalalkan perkara yang sudah haram. Saya tak boleh terima dia sesuka hati. Lagipun saya rasa inilah akibat daripada perbuatannya yang salah selama ini.
``Dalam pada itu sikap Zahri sendiri tidak begitu bersungguh-sungguh membina keluarga, dia lebih suka melakukan maksiat. Mungkin niat jahat yang tersembunyi dalam hatinya selama ini sudah dipancarkan keluar dengan izin ALLAH. Dalam pada itu wanita tersebut juga sedang menuntut cerai daripada suaminya. Mungkin bisnes mereka laris sebab itu mereka sanggup menanggung risiko dipenjara kerana melindungi pendatang haram.''
Demikian cerita Ranei tentang masalah yang dihadapinya. Tentu pembaca juga tahu apa keputusan yang baik boleh diambil oleh Ranei. Kata Ranei ketika kami berbual di telefon, dulu memang dia takut diceraikan sebab perkahwinannya terlalu banyak tentangan, jadi dia nak buktikan suaminya adalah terbaik. Tetapi sekarang beliau reda mungkin ini kehendak Allah jua dan mungkin ada hikmah di sebaliknya, siapa tahu! - Maimunah

sumber : UTUSAN MALAYSIA


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

1 comments:

  1. untuk apa hidup dgn org yg x sygkn anda,kelak anda juga yg terseksa jiwa raga.sy rasa cerai adalah jln terbaik sbb suami anda langsung tidak bertanggungjawab dan hanya pandai mengambil kesempatan di atas kebaikan2 anda.jgn biarkan diri anda diperbodohkan suami macam ni.lebih baik hidup dgn anak2 shj,lebih bahagia.insyaaAllah Allah akan beri yg lebih baik di masa hdpan.

    ReplyDelete

Item Reviewed: HARU APABILA SUAMI GILAKAN ISTERI ORANG Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top