728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

09 January 2015

EX HUSBAND MEROYAN APABILA SAYA NIKAH LAGI


Masa hidup bersama, banyak yang tidak kena, bertekak, berselisih faham dan saling mencari kesalahan antara satu sama lain. Apabila sudah berpisah, baru cinta dan kasih itu datang, tetapi semuanya sudah terlambat. Perceraian telah mengambil tempat dan hubungan juga telah terputus.
Menyesal juga tidak berguna lagi. Jalan terbaik, elok masing-masing bawa haluan sendiri. Jika ada jodoh lain teruskan, jika tidak, hiduplah seadanya, semoga Allah memberi jalan yang baik untuk mengecap nikmat-NYA.
Bagaimana jika jodoh itu terhalang dengan tindakan bekas pasangan yang tidak mahu bekas isterinya menjadi milik orang lain?

Inilah kisah yang akan dikongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah menarik yang diceritakan oleh Asmira (bukan nama sebenar) kepada saya untuk catatan minggu ini.

Inilah realiti selepas berlaku perceraian, masa serumah bergaduh sakan tetapi setelah berpisah, sayang dan cemburu menjadi-jadi. Kita ikuti kisah Asmira seterusnya.

“Saya berusia awal 30-an, seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta. Saya pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang sangat cemburu bernama Izuan (bukan nama sebenar) selama tujuh tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia lima tahun.

“Banyak halangan dan ujian yang saya lalui sepanjang hidup bersama Izuan. Lelaki pilihan saya ini sangat cemburu dan suka mengawal pergerakan saya setelah kami menjadi suami isteri.

“Tekanan yang saya hadapi menyebabkan rumah tangga kami selalu bergolak, tidak sehari pun kami tidak pernah bergaduh, ada sahaja isu yang dibangkitkan Izuan untuk mencari silap saya.

“Tiga tahun dalam keadaan kucar-kacir, akhirnya saya nekad meminta cerai. Lama juga saya naik dan turun mahkamah sehingga akhirnya kami bercerai. Anak dalam jagaan saya.

“Setelah bercerai, Izuan selalu berjumpa saya kerana anak. Nafkah dan tanggungjawabnya terhadap anak tidak pernah diabai. Dia juga kerap berusaha memujuk saya untuk kembali kepadanya tetapi saya sudah tawar hati.

“Saya bimbang sikapnya yang keterlaluan semasa kami bersama akan berulang. Jadi, saya tidak melayannya kecuali urusan rasmi berkaitan anak. Izuan masih tidak patah semangat untuk memujuk.

“Macam-macam cara digunakannya untuk menambat hati saya semula termasuk menggunakan anak. Semuanya gagal. Dia macam marah dan memberontak. Keadaan semakin gawat apabila dia mendapat tahu saya rapat dengan seseorang.

“Lelaki yang saya kenali ini, Imran (bukan nama sebenar), seorang duda beranak dua. Isterinya meninggal dunia kerana sakit. Dia telah dua tahun menduda, kami berkenalan dalam satu majlis anjuran tempat kerja kami.


“Hubungan sebagai kawan bertukar menjadi intim sehingga terbit bibit cinta di hati kami berdua. Mungkin dia jodoh yang telah Allah tentukan untuk saya setelah berpisah dengan Izuan.

“Saya terima niatnya untuk melamar saya dengan hati terbuka. Saya nampak keserasian antara kami, tambahan pula anak-anak kami boleh berkawan, nampak mesra. Itu yang sangat penting.

“Apabila dapat tahu saya akan bernikah dengan Imran, Izuan jadi kalut. Dia mengganggu saya dengan pelbagai cara. Dia mengugut untuk merampas anak daripada saya dengan harapan saya akan membatalkan pernikahan dengan Imran.

“Malah bekas suami juga mengganggu saya di tempat kerja dan menyebarkan macam-macam fitnah terhadap bakal suami saya. Mujur dia faham dan tidak mempercayainya.
“Saya telah beberapa kali memberi nasihat dan mengingatkan dia yang kami sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi dan saya tidak akan kembali kepadanya. Tetapi dia tetap degil dan masih berharap saya akan kembali kepadanya.
“Izuan jadi gila talak. Dia menunggu saya di pejabat, mengganggu saya di rumah dan ada ketikanya sengaja datang ke rumah saya lama-lama dengan alasan untuk berjumpa anak.

“Sehinggakan saya terpaksa menjemput ibu saya dari kampung untuk tinggal bersama saya bagi mengelak dia datang ke rumah. Saya mula bimbang dia akan mengambil tindakan drastik terhadap saya.

“Ingatkan nak buat laporan polis supaya dia tidak mengganggu tetapi saya kasihankan dia. Apa-apa pun dia tetap ayah kepada anak saya dan saya tidak mahu anak kami beranggapan buruk terhadap saya kerana sikap saya terhadap ayahnya.

“Atas nasihat ibu bapa dan keluarga, akhirnya saya mempercepatkan pernikahan dengan Imran untuk menjaga keselamatan saya. Majlis pernikahan diadakan secara sederhana dan dihadiri keluarga serta kawan terdekat kedua-dua pihak sahaja.

“Imran juga risaukan keselamatan saya. Saya yakin Izuan macam orang gila talak dan sanggup berbuat apa sahaja untuk menghalang pernikahan saya dengan Imran.

“Alhamdulillah, mujur dia tidak mengamuk pada hari pernikahan saya. Keluarga saya meminta bantuan keluarga bekas mentua memujuk dan menasihatinya supaya tidak bertindak keterlaluan dan menerima takdir Allah dengan jodoh kami.

“Dia mengirim mesej yang menghentam saya habis-habisan dan macam-macam lagi keburukan dilemparkan kepada saya. Tidak cukup dengan itu, dia datang ke pejabat untuk memalukan saya.

“Saya sangat malu dengan perbuatannya itu tetapi terpaksa juga menghadapinya. Sekarang, saya rasa selamat kerana telah menjadi isteri Imran. Saya berdoa agar rumah tangga yang saya bina buat kali kedua ini kekal bahagia hingga ke jannah.

“Saya ingin lupakan sejarah silam saya dengan Izuan dan berdoa siang malam supaya dia menerima hakikat antara kami memang sudah tidak ada jodoh. Malah saya akan menerima dia sebagai kawan dan ayah kepada anak kami.
“Saya berharap Izuan tidak akan mengganggu kami lagi. Saya juga mendoakan, semoga dia akan bertemu dengan jodohnya yang lebih baik daripada saya secepat mungkin,” Asmira menamatkan ceritanya.
Begitulah kebanyakan cerita yang pernah didengar tentang perceraian antara suami isteri. Ada yang tidak boleh baik sebagai suami isteri tetapi menjadi mesra setelah berpisah.

Bagaimanapun sebarang tindakan jangan pula sampai memusnahkan kebahagiaan orang yang pernah kita sayang. Terimalah hakikat jodoh sudah tiada dan ketentuan Allah mengatasi kehendak manusia.

Semoga doa Asmira untuk melihat bekas suaminya bahagia dan bertemu jodoh dimakbulkan. Begitu juga dengan rumah tangga yang baru dibina oleh Asmira dan Imran... semoga kekal bahagia selamanya.

Pesanan saya biar apa sekalipun keadaannya, Asmira perlu ingat bahawa talian darah antara anak dan ayah tidak boleh dipisahkan. Mudah-mudahan Izuan akan sedar dan menerima takdir Ilahi bahawa jodohnya dengan Asmira sudah berakhir.

Menutup catatan, sepatah kata daripada saya, sesungguhnya amal soleh yang diiringi dengan iman, balasannya adalah kehidupan yang sejahtera di bumi.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: EX HUSBAND MEROYAN APABILA SAYA NIKAH LAGI Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top