Breaking News

APA LAGI YANG SUAMI MAHUKAN DARI ISTERI


Tiada lain yang diharapkan seorang isteri melainkan kasih sayang tidak berbelah bahagi dan perhatian daripada suami yang diharap menjadi pelindung sehingga ke akhir hayat.

Istana yang dibina diharapkan kekal sampai ke mati namun ujian Tuhan mengatasi segala. Istana yang dibina roboh dalam sekelip mata lantaran kasih suami telah beralih arah.

Demikian nasib yang menimpa Aisya (bukan nama sebenar) yang menelefon saya pada petang Sabtu lalu untuk berkongsi masalah rumah tangganya dengan pembaca.

``Saya terpanggil menelefon kakak untuk berkongsi masalah yang telah saya pendam ini. Mudah-mudahan wanita yang menghadapi masalah seperti ini dapat bertindak untuk melindungi masa depan mereka. Pada mulanya malu juga hendak bercerita tetapi saya perlu mencurahnya kepada seseorang yang dapat memberi nasihat dan berkongsi masalah ini dengan saya,'' kata Aisya membuka bicara.

Setelah bertanya khabar dan mendapatkan sedikit latar belakang masalah yang sedang dihadapinya itu saya meminta Aisya meluahkan apa yang terbuku di hatinya.


Kata Aisya, dia telah enam tahun berkahwin dengan lelaki pilihannya, seorang pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan. Mereka berkenalan semasa menuntut di luar negara dan bercinta hampir enam tahun sebelum mengambil keputusan bernikah pada 1998.
``Rumah tangga kami bahagia, tidak ada yang kurang. Kami sama-sama berjawatan tinggi. Suami amat menyayangi saya dan memberi apa sahaja yang saya mahu. Pendek kata sebut sahaja pasti saya dapat. Kelahiran anak sulong bernama Aiman menceriakan rumah tangga kami.
``Suami semakin gembira apabila Aiman mula berjalan jatuh. Kini permata hati kami itu telah masuk tadika. Kebahagiaan kami terpelihara. Setiap hari selepas solat saya menadah tangan memohon kepada Allah dikekalkan kebahagiaan ini. Malangnya, panas yang saya harapkan sampai ke petang ditimpa hujan di tengah hari,'' kata Aisya sebak.

Ketika ini saya menyedari Aisya sedang menahan perasaannya. Panggilan saya dua tiga kali tidak berjawab, yang kedengaran hanya nafas yang turun naik menahan sebak. Saya membiarkan dia dengan keadaan itu buat beberapa saat sebelum menyambung semula ceritanya.

``Awal tahun 2001, saya mula nampak perubahan pada suami. Ketawanya mula dingin, gurauannya semakin tawar. Makan minum tidak lagi di rumah. Paling saya sedih, dia membelikan sebuah kereta untuk saya dengan alasan memudahkan saya pergi dan balik kerja. Pada hal sejak kahwin, belum sekali saya dibiarkan pulang dan pergi kerja seorang diri. Dia yang mengambil dan menghantar.

``Itu pun saya tidak kisah. Saya terima dan bersyukur. Selepas ada kereta itu, kehidupan kami suami isteri mula berubah. Suami keluar masuk rumah sesuka hati. Hujung minggu tidak lekat di rumah, ada sahaja programnya. Saya dan anak langsung tidak diajak.

Saya syak sesuatu yang tidak pernah saya fikir akan berlaku dalam perkahwinan kami. Mujur ada kawan yang simpati dan membantu saya menjalankan siasatan. Buktinya dia telah bermain kayu tiga dengan saya. Dia ada perempuan lain,'' kata Aisya teresak-esak.

Sambil memujuknya supaya bersabar saya katakan kepadanya, jika dia tidak bersedia untuk bercerita saya sedia mendengarnya di lain hari. Tetapi Aisya berkeras untuk terus bercerita sampai tamat. Saya akur dengan kehendaknya itu.
``Akak tahu, perempuan itu bukan sahaja telah mengguris hati saya dengan menjalin hubungan dengan suami saya tetapi merampasnya terus daripada saya. Saya ada bukti setiap hari suami saya pulang ke rumah perempuan itu sebelum balik ke rumah.
``Sampai di rumah macam-macam alasan dia bagi, penat, tidak ada mood... pada hal dia telah berseronok-seronok dengan perempuan itu. Saya dibuat macam tunggul, tidak dipandang langsung. Kakak bayangkan bagaimana perasaan saya..'' sekali lagi Aisya berhenti bercerita. Tangisannya semakin meninggi. Saya membiarkan dia melayan perasaannya dan memintanya beristigfar banyak-banyak.

``Saya terkejut dengan perubahan suami saya kak..bagaimana dia boleh berubah tiba-tiba. Semuanya macam mimpi.. Apa kurangnya saya, apa lebihnya perempuan itu. Saya cuba berterus terang dan meminta dia mengaku, sayangnya dia menafikannya. Saya pula dituduh cemburu.

``Kemuncak kesabaran saya sampai ke penghujung apabila saya menerima sebuah sampul surat besar berisi gambar-gambar suami saya dengan perempuan itu dalam keadaan cukup mesra. Aksi mereka telah merobek hati saya kak, macam ditoreh-toreh disimbah dengan cuka. Hancur luluh kak.. dunia ini gelap gelita. Saya benar-benar kecewa,'' kata Aisya dengan tangisan yang cukup sayu.

Setelah yakin dia telah habis bercerita saya bertanya apa yang dilakukannya selepas itu. Kata Aishah dia membawa gambar-gambar itu kepada mentuanya. Mujur mereka menyebelahinya. Mereka memintanya bersabar dan akan berusaha membetulkan keadaan tetapi Aisya nekad minta ditinggalkan.

Menduga hatinya saya bertanya tentang perasaan terhadap suaminya, kata Aisya biarlah perkara ini menjadi rahsia hatinya kerana luka akibat perbuatan suami yang bagaikan ditatang seperti minyak yang penuh itu tidak mungkin akan terubat sampai bila-bila.

``Saya tidak akan memberi peluang kedua kepada dia.. cukuplah sekali. Lukanya terlalu pedih. Sakitnya sampai ke tulang hitam,'' tambah Aisya.

Menurut Aisya kini jiwanya tenang kerana dia telah dibebaskan. Aiman diserahkan kepada Aisya untuk dijaga.

``Kini saya bahagia... walaupun sendirian tetapi gembiranya lebih terasa. Berbanding dulu hidup bahagia, kini terasing luka,'' perlahan Aisya berkata sambil mengucapkan terima kasih kerana melayaninya berbual.

Sebelum meletak telefon, saya meminta Aisya bersabar dengan ujian yang dilaluinya. Buatlah sesuatu yang berfaedah untuk mengisi masa lapang.

``Saya tidak ada masalah kak. Saya telah kembali tinggal bersama ibu bapa saya. Syukur kerana mereka memberi sokongan kuat..'' katanya mesra.

Selepas Aisya meletakkan telefon saya termenung seketika. Apa lagi yang dimahukan lelaki yang bergelar suami ini daripada seorang wanita. Rupa ada, pendidikan tinggi, jawatan hebat. Apa lagi yang kurang? Layanan mungkin, tapi itu subjektif. Pokoknya sebagai suami dan ketua keluarga sepatut mereka yang membimbing dan menegur. Ini tidak.. dalam sekelip mata segala-galanya lenyap hanya kerana kehadiran seorang perempuan lain. Rapuh sangat ke ego lelaki kerana perempuan?
Lalu terfikir juga saya, ada logiknya kata kaum Adam, bukan lelaki yang menyakitkan hati perempuan tetapi perempuan sendiri.
Apa pun, saya tetap yakin, dalam rumah tangga tiada siapa perlu disalahkan. Hakikat berumah tangga adalah satu perkongsian. Sejauh mana anda faham akan perkongsian itu atau sengaja buat-buat tak faham, jawapannya tetap di tangan anda.
Pada saya tidak salah jika sesekali membiarkan `lidah tergigit' kerana itulah manisnya alam rumah tangga! - Normala Hamzah.
kaknor@utusan.com.my
sumber : Utusan.com.my


BACA JUGA

No comments