Breaking News

AIR TANGAN ISTERI PENGIKAT KASIH PENYAMBUNG CINTA


Bercakap melalui pengalaman, saya selalu yakin bahawa apa yang disediakan dan dihidangkan sendiri oleh seorang wanita bernama 'isteri' adalah yang terbaik bagi seorang suami. Peranan mengikat kasih dan menyimpul sayang sebenarnya ada ditangan isteri.
Masakan siapa paling sedap? Emak atau mamak? Kalau ditanyakkan kepada sepuluh orang, pasti sembilan akan menjawab masakan yg betul2 menepati cita seleranya ialah masakan emak. Saya juga merasakan bahawa masakan ibu adalah yang paling sedap dan paling lazat. Maklumlah, sejak mula tahu makan, ibulah memasak dan menyediakan makanan untuk saya. Saya masih ingat ketika sekolah darjah dua, dia masih menyuapkan saya makan!
Apa sahaja yang emak masak memang sedap. Saya sudah hafal menu hariannya dan boleh cam apa yang sedang dimasak di dapur, walaupun saya bermain di halam rumah. Masakan emak ada identiti yang tersendiri. Saya dapat mencium identiti itu. Sambal tumis bilisnya menusuk hidung saya pada jarak 50 meter, boleh jadi sebab kandungan belacannya yang melebihi had. Kalau dia masak kari, daya cium masakannya adalah dalam lingkungan 30 meter. Dan kalau dia membakar ikan kembung kering, bau yang menusuk hidung itu dirasakan hingga ke hujung jalan. Biasanya, bau ikan kering itu akan menyebabkan saya berhenti main sebab saya cepat2 hendak makan.

Ada beberapa masakan emak yang kebanyakannya berasaskan cara asli Jawa, sehingga kini belum dapat dikalahkan oleh tukang2 masak tersohor, termasuk Chef Wan, Chef Ismail atau Jamie Oliver. Yang paling saya suka (ini resipinya yg ori!) ialah masak pecal ikan keli. Ikan keli darat dipanggang separuh masak, kemudian dihulai bersantan pekat, cili hidup dan kencur.

Percaya tak, pada saat saya menulis ini pun, saya masih tercium-cium bau kencur yang harum dan amat menusuk itu. Bukan sahaja menusuk hidung, malah kini menusuk jiwa.. emak sudah meninggal 2 tahun lalu! Memang, sejak kecil masakan emak adalah No. 1. Tetapi, apabila saya meninggalkan kampung untuk menjadi perantau kota di Kuala Lumpur, jarang dapat menikmati masakan emak. Hidup terkontang kanting di kota, makan pun apa saja yang dapat. Mungkin di kantin Kak Senah di Utusan Melayu, kadang2 di Restoran Amjal dekat UM, sekali kala di Warung Gamat pasar minggu Kampung Baru.

Tetapi, paling kerap dalam perantauan yang penuh suka duka lagi cacamarba itu, saya ke Kedai Makan Kudu, di Jalan Tunku Abdul Rahman. Restoran nasi kandar itu sampai kini masih ada dan tetap popular. Menjadi hukum hidup, pagi sebelum ke pejabat, saya ke Kudu untuk sepinggan nasi panas, kari kepala bawal dan bendi, cili hijau potong diletak kicap. Dan, semestinya teh tarik yang buihnya menggunung didlm gelas! Saya tidak tahu kenapa, tetapi kalau 2 hari berturut2 tidak 'pekena' nasi kandar Kudu, saya boleh jadi sasau, hidup seperti tidak sempurna. Agaknya dia ada baca2, tak kisahlah!

Demikianlah di kampung sejak lahir hingga tamat SPM, saya makan masakan emak. Di Kuala Lumpur, selera beralih ke nasi kandar. Terasa lucu juga, daripada emak bertukar kepada mamak! Apabila jatuh cinta dan mengakhiri zaman bujang, saya mula makan masakan si dia. Memanglah tidak boleh lawan masakan mamak, jauh sekali masakan emak. Tetapi, dia isteriku, dia akan memasak untukku.


Mula-mula memanglah lain rasanya. Bukan soal dia tidak tahu memasak, tetapi ini kes dua tekak yang berbeza. Sy Jawa Johor yang telah terbiasa dengan tempe, tauhu dan masakan pedas2. Dia nak Tok Syeikh Terengganu yang masakkannya manis2. Tempe atau budu, saya memang telah berazam bahawa sebaik sahaja melafazkan "Aku terima nikahnya..." saya tidak akan mengunjungi Kudu. Selamat tinggal kepala bawal!
Sejak hari pertama tidur sebantal, Cik Pah boleh tahan memasak. Tetapi susah juga hendak menyesuaikan dengan selera saya. Apa pun, sebulan, dua bulan dan kini sudah 24 tahun! Masakannya susah sebati dengan jiwa saya. Beberapa masakannya yang tinggi nilai 'ummph' (saya pasti Chef Wan pun tabik!) ialah 'ikan singgang', bendi goreng belacan dan nasi ayam. Jika dia masak sup tulang, baunya boleh menyebabkan saya tidak khusyuk sembahyang!
Selain resipi aslinya itu, dia mempelajari sekian banyak masakan kegemaran saya daripada arwah ibu. Antara masakan ibu yang dipelajarinya dan mencapai rasa asli 99.9% ialah masak asam Muar, tauhu goreng sambal kicap, sambal tumis bilis, sup ayam, kari kepala tenggiri dan masak lodeh Johor. Tetapi, sedikit mengecewakan, dia tidak dapat menyajikan pecal ikan keli seperti arwah ibu. Boleh jadi ibu merahsiakan resipi yang satu itu. Mungkin juga dia tidak berminat untuk belajar, sebab dia memang tidak makan ikan keli.

Apapun, setelah berkongsi hidup sekian lama, saya dapat merasakan bahawa apa yang dimasak oleh isteri selama ini adalah yang tersedap untuk tekak saya. Pagi, petang, siang, malam, saya mengidam masakannya. Maka, boleh disimpulkan bahawa sepanjang yang berhubung dengan makanan harian, masakan emak dan masakan isteri adalah sama sedap dan sama lazat.

Sengaja saya timbulkan hal ini sebab sekian ramai para isteri diluar sana yang tidak berkesempatan memasak atau menyediakan makanan untuk suami. Sesetengahnya tidak ada masa untuk memasak kerana sibuk bekerja. Pagi keluar rumah, malam baru balik, tugas pejabat tidak pernah habis. Jadi, mana ada kesempatan untuk memasak. Tugas memasak diserahkan bulat2 kepada pembantu rumah.

Sesetengahnya memang tidak tahu memasak. Sejak anak dara, semua makanan di rumah disediakan oleh ibu atau orang gaji. Usahkan hendak memasak gulai atau kari, menumbuk sambal belacan pun tidak tahu. Apa yang dia tahu ialah menyiapkan mee segera. Masukkan mee dalam mangkuk, tuangkan air panas, kacau2 sikit dan sluurpp! Sekali-sekala makan mee segera tak mengapa. Tetapi kalau setiap hari hidangkan mi segera pada suami, apa macam?

Saya mungkin berfikiran kolot dan kuno. Tetapi, rasanya sebagai isteri, tidak kira apa kedudukan atau keturunannya, patut tahu memasak untuk suami dan anak2. sibuk macam mana pun mesti ada waktu memasak untuk keluarga. Jika tidak boleh setiap hari, pastikan hujung minggu atau ketika bercuti, tunjukkan kemahiran memasak utnuk suami. Percayalah, bahawa setiap suami, tidak kira bermisai atau tidak, pasti berasa bangga apabila dihidangkan makanan yang dimasak oleh isteri sendiri.
Sesedap-sedap masakan pembantu rumah, sedap lagi masakan isteri. Betapa lazat pun kari mamak, lazat lagi kari isteri sendiri. Saya percaya dan selalu percaya, bahawa salah satu cara untuk mengikat kasih sayang keluarga, termasuk suami ialah dengan masakan isteri. Air tangan ibu adalah yang terbaik. Air tangan isteri adalah pengikat kasih, penyambung cinta. 
Bagaimana agaknya kasih suami boleh dikekalkan sekiranya air tangan mamak atau air tangan orang gaji lebih banyak masuk ke perut suami??

kredit dari buku "Teh Tarik Kurang Manis" oleh Abd. Jalil Ali.

BACA JUGA

No comments