728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

10 January 2015

ABANG JANJI AKAN LUPAKAN WANITA ITU


RUMAH tangga akan bertahan lama kalau ada persefahaman dan tolak ansur antara suami isteri. Buang ego, saling mengaku kesilapan masing-masing menjadi tonggak kebahagiaan dalam rumah tangga.

Yang salah dibetulkan, yang terlebih dikurangkan dan yang bermasalah diselesaikan dengan cara baik tanpa melukakan hati sesiapa. Itu sebaik-baik cara untuk mengekalkan kebahagiaan suami isteri.

Akan tetapi adakah masih wujud sikap setia dan tulus dalam sebuah perhubungan itu jika salah seorang daripadanya tidak berlaku jujur kepada yang seorang lagi?

Pengakuan Kinah (bukan nama sebenar) diharap menjadi iktibar untuk kita semua. Ini bukan rekaan tetapi realiti hidup yang berlaku dalam masyarakat kita.

“Saya berusia awal 30-an, bekerja sebagai seorang penjawat awam. Saya telah lima tahun mendirikan rumah tangga dengan kekasih hati, Kamal (bukan nama sebenar) yang dikenali sejak di universiti. Kami dikurniakan seorang cahaya mata lelaki berusia tiga tahun.
“Saya sangat berharap rumah tangga yang dibina hasil daripada cinta pandang pertama ini akan berkekalan sampai ke hujung nyawa. Saya mendoakan suami akan melindungi dan menjaga saya hingga ke saat itu.
“Tetapi sayang, ia tidak berlaku. Saya diduga dengan pelbagai masalah sepanjang perkahwinan kami sejak tiga tahun lalu. Saya tidak tahu di mana silapnya sehingga suami sanggup menduakan saya.

“Segala-galanya bermula apabila saya nampak perubahan diri dan sikapnya awal tahun 2012. Telefon bimbit sentiasa di tangan. Balik kerja lewat malam dan setiap hujung minggu tidak pernah lekat di rumah.

“Saya cuba bertanya dengan baik, meminta penjelasan akan perubahan sikapnya. Jawapan yang saya terima daripada dia, tidak ada apa-apa, semuanya okey. Jangan risau dan macam-macam lagi.

“Sebagai isteri saya terima alasan tersebut kerana tidak mahu terlampau bersangka buruk terhadap suami. Saya harap ia tidak terjadi seperti yang saya jangkakan.

“Tiga bulan kemudian, keadaan semakin teruk. Dia sudah tidak pulang ke rumah beberapa hari terutama pada hujung minggu. Ditanya jawapannya tetap sama. Urusan kerja dan sebagainya.

“Dengan nasihat dan bantuan seorang teman yang rapat dengan kami saya menjalankan siasatan dan intipan. Segala yang saya takutkan benar-benar terjadi. Dia sudah ada orang lain. Tapi masih tidak mengaku.

“Kesabaran saya terhenti apabila saya terjumpa resit hotel, makan malam dan juga bil membeli-belah di sebuah pusat beli-belah terkenal di selatan tanah air.


“Berderau darah saya, dada saya kencang seperti baru menamatkan larian 400 meter. Saya menangis semahu-mahunya kerana terkejut dan sedih. Inikah balasannya kepada saya?.
“Atas nasihat kawan baik saya juga, perkara itu saya diamkan dahulu. Saya tidak mahu panjangkan lagi sehingga saya mengumpul sebanyak bukti terutama tentang perempuan yang sedang dikaitkan dengannya.

“Berminggu-minggu saya berusaha sehingga akhirnya saya mendapat apa yang saya inginkan, rumah sewa dan di mana perempuan itu bekerja. Alhamdulillah, saya akan bersemuka dengan suami apabila masanya sampai.

“Dalam pada itu saya tidak menunjukkan tanda-tanda terkejut dengan perubahan dan perkara yang telah saya tahu. Saya buat macam biasa dan tidak bersedih.

“Di hadapan Kamal saya berpura-pura baik, gembira dan melayan makan minumnya seperti biasa. Saya tidak mahu dia syak apa-apa sehingga merugikan usaha saya sebelum ini.

“Sampai masa yang sesuai saya buat rancangan. Saya ajak suami pergi bercuti. Kami tidak membawa anak kami kerana saya mahu menyelesaikan perkara itu dengan dia sahaja. Saya akan akur dengan apa yang bakal berlaku. Segala-galanya saya serahkan kepada Allah.

“Pelbagai alasan dia berikan untuk tidak memenuhi impian saya pergi bercuti bersamanya. Setelah saya memujuk dan katakan, sejak bernikah dan ada anak, kami belum pernah bercuti bersama.

“Saya juga katakan yang saya sangat berharap dia dapat memenuhi permintaan saya ini, sekali pun jadilah! Alhamdulillah akhirnya dia setuju.

“Saya memilih untuk ke selatan tanah air, tinggal di hotel yang sama dengan resit yang saya jumpa. Dia juga tidak bertanya di mana kami akan tinggal kerana segala-galanya saya yang uruskan.

“Anak saya tinggalkan dengan ibu dan adik saya buat sehari dua. Ini soal masa depan rumah tangga kami, saya perlu berani untuk menghadapinya tanpa gangguan.

“Hari yang ditunggu pun tiba. Saya dan suami bergerak awal pagi menuju ke destinasi kami di selatan tanah air. Empat jam perjalanan akhirnya kami tiba ke sana. Sebaik sampai di hotel dan check-in, wajah suami nampak murung.

“Ada rasa terkejut di wajahnya, saya buat-buat tak faham... saya tidak mahu dia terasa yang saya merancang semua ini untuk mengenakan dia semula.

“Di bilik hotel, wajah suami masih tidak nampak gembira. Telefon masih tergenggam di tangan. Saya katakan kepada dia, kita matikan telefon. Jangan ada gangguan daripada sesiapa untuk sehari dua ini.. biar kita berdua sahaja.

“Dia setuju. Kami simpan telefon di dalam beg pakaian. Malam itu ada majlis makan malam istimewa untuk kami berdua di tepi kolam. Ramai juga pasangan yang saya lihat bersantai seperti kami. Entah mereka juga ada masalah saya tidak tahu.

“Di meja makan istimewa itu saya luahkan segala yang terpendam dalam hati saya. Saya katakan kepadanya, sejak ijab kabul kami, dia sahaja lelaki yang ada dalam hati saya, tidak ada yang lain.

“Kekurangan saya kelebihan dia. Kelebihan dia kekurangan saya. Kita harus saling lengkap melengkapi, itu kata-kata saya. Saya imbas kembali saat kami bertemu, di mana hati kami mula bersatu. Bagaimana susahnya kami bergelut dengan pelajaran di universiti.

“Segala-galanya tentang kami saya ingatkan dia termasuk hari bahagia kami yang direstui oleh kaum keluarga. Ketika dia sebak mendengar dan hampir menitiskan air mata saya selitkan akan apa yang telah berlaku antara kami sejak akhir-akhir ini.

“Saya berterus terang dengan dia tentang perempuan bernama Zalia (bukan nama sebenar). Siapa dia, di mana dia tinggal dan apa hubungan mereka, segala-galanya saya luahkan.

“Saya tunjukkan resit-resit yang saya jumpa, gambar-gambar dia bersama Zalia semasa pergi bercuti dan tempat-tempat pertemuan mereka dengan penuh berani. Saya tidak menangis. Saya tidak sebak tetapi saya kumpul kekuatan untuk berkata yang terbaik agar suami faham.

“Dia tidak berkata apa-apa. Diam tanpa kata. Saya memandang tepat ke wajahnya dan menunggu apa yang ingin dikatakannya kepada saya sebaik saya tamatkan ayat terakhir saya.
“Saat itu dada saya semakin kencang.... macam saya sudah berlari satu kampung tanpa henti. Wajah anak kami terbayang di mata saya. Dan saya sudah bersedia dengan segala-galanya selepas ini. Apa pun saya reda.
“Jantung saya seperti berhenti kala suami memegang erat tangan saya dan berkata, “abang minta maaf banyak-banyak dengan Kinah. Abang tahu abang salah, abang minta maaf. Abang janji akan melupakan perempuan itu dan segala-galanya yang berlaku dalam rumah tangga kita.

“Abang tahu Kinah terluka. Abang harap Kinah ampun dan maafkan abang. Abang tidak sangka Kinah dapat menghidu perangai buruk abang ini. Abang menyesal Kinah. Abang menyesal sangat-sangat...Abang janji abang akan tinggalkan dia dan teruskan hidup dengan Kinah dan anak kita. Semoga Allah ampunkan abang dan bagi abang hidayah untuk menjadi ketua keluarga yang lebih baik pada masa depan.

“Kami sama-sama menangis dan berpelukan... hilang rasa malu kepada orang keliling. Saya amat bersyukur dengan apa yang berlaku. Terima kasih Allah, terima kasih sahabat yang memberi sokongan dan idea kepada saya. Semoga hubungan ini kekal hingga ke Jannah.

“Percutian ini adalah yang tersangat indah dan penuh makna dalam hidup saya. Inilah rahmat Allah untuk kami tiga beranak. Saya tidak dapat hendak katakan dengan perkataan tentang apa yang saya rasa.

“Apa yang saya alami seperti dalam drama televisyen tetapi ini adalah realiti yang harus saya kongsi dengan anda semua. Ada kalanya peranan kita sebagai isteri juga penting untuk menyelamatkan rumah tangga. Sahabat juga sebahagian daripada kebahagiaan yang kita nikmati.

“Terima kasih suami, terima kasih sahabat setia saya. Semoga Allah rahmati kita semua!.’’ Dengan air mata berlinangan Kinah menamatkan ceritanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

1 comments:

  1. Anonymous1:05 PM

    Perkara yg sama jg penah terjadi pd sy. Cumanya ssuami sy tidak berjumpa dgn wanita tersebut ttp i selalu berhubung melalui telefon. Wanita itu adalah kerani di tempat kerjanya. Hubungan mereka.melalui telefon shj. Walaupun begitu suami sy tak penah lupa tanggungjawabnya. Balik rumah mcm biasa. Telefon dibiarkan begitu shj tanpa password. Sy kumpul bukti dan akhirnya segala terbongkar. Selepas suami sy memutuskan hubungan dgn wanita tersebut sejak tu sy mengalami gangguan sihir sehingga sekarang. Rupanya suami sy jg disihir. Sy anggap ni semua ujian ALLAH tuk kami. Alhamdulillah kasih sayang suami makin vertambah dan sy bahagia malah lebih bahagia.

    ReplyDelete

Item Reviewed: ABANG JANJI AKAN LUPAKAN WANITA ITU Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top