Breaking News

7 LANGKAH URUTAN LABAH-LABAH


Tujuh langkah yang perlu dilakukan dalam teknik urutan `cakaran harimau' dan `urutan labah-labah' untuk membolehkan isteri disayangi oleh suami masing-masing.

Kesediaan penceramah agama, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood menyenaraikan langkah-langkah itu adalah ekoran permintaan daripada kalangan isteri yang mahu beliau memperincikan teknik-teknik urutan berkenaan, setelah petua menambat hati suami disiarkan oleh Utusan Malaysia.

Menurut  Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, 
langkah pertama dalam urutan cakaran harimau ialah seseorang isteri perlu mengurut tengkuk suami mereka dengan penuh kasih sayang memandangkan bahagian itu terdapat banyak urat tegang yang perlu diuraikan.

Langkah kedua pula, kata beliau, ialah mengurut pada bahagian bahu hingga ke lengan dan diikuti

langkah ketiga dengan membuat `jemput-jemput' pada bahagian tulang belikat.
``Langkah keempat dan kelima merupakan sentuhan yang cukup penting dan perlu kreatif dan ia dimulai dengan `cakaran harimau' - menggunakan kuku yang telah dipotong bermula dari bahagian tengkuk membawa ke pinggang.
``Cakaran itu hendaklah diselang-selikan dengan urutan labah-labah, bermula dari pinggang hingga ke bahagian tengkuk. Perlu diingat cakaran itu hendaklah berupa cakaran manja dan dilakukan dengan penuh kasih sayang,'' jelasnya.
Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood yang semakin popular dalam program agama di televisyen menambah...

langkah keenam ialah dengan menggenggam kedua-dua tapak tangan dan kemudian tepuk-tepuk pada bahagian belakang badan suami dari atas hingga ke pinggang.


``Langkah ketujuh sebenarnya merupakan satu `bonus' tambahan di mana setelah diurut, suami berasa tenang dan seronok.
``Selepas itu, bisikan kalimah sayang ke telinga suami seperti `Saya cinta padamu' atau dalam bahasa Hindi `me tum fe Piar kar pi hu,'' katanya.
Beliau yang mendapat pendidikan di Maktab Mahmood di Alor Setar, Kedah dan seterusnya melanjutkan pengajian agama di Universiti Al Azhar, Mesir, berkata, apa yang menarik tip itu bukan sahaja boleh diamalkan oleh isteri tetapi juga oleh suami jika mereka mahu disayangi oleh isteri masing-masing.

Menurutnya lagi, kalau boleh urutan itu dilakukan ketika pasangan terbabit sedang berehat, agar dapat mengembalikan keharmonian rumah tangga setelah masing-masing penat bekerja.

Beliau turut mengingatkan ketika melakukan urutan itu jangan sekali-kali menggunakan minyak angin tetapi sebaliknya menggunakan minyak aroma terapi.

Kata Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, minyak aroma terapi boleh membangkitkan suasana harmoni serta boleh meredakan ketegangan serta memberi ketenangan jiwa kepada suami atau isteri.

Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood berkata, beliau rasa terpanggil untuk menyampaikan petua ini sebab ramai yang tidak mengambil berat tentang kaedah sentuhan tersebut sedangkan dalam al-Quran ALLAH ada menyebut `gauli isteri kamu dengan cara yang terbaik'.

``Ini bermakna sentuhan dan belaian manja dan kasih sayang ternyata mampu merapatkan hubungan suami isteri kerana `a'syir,' (bergaul) di dalam ayat tersebut bermakna bersentuh-sentuhan. Jadi kaedah urutan dan sentuhan seumpama itu amat baik untuk diamalkan,'' ujarnya.

Tambah Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, cuba bayangkan jika anak menangis diusap dan dibelai maka tangisan itu ia akan terhenti serta merta, apatah lagi pasangan suami isteri.
``Urutan ini bukan sahaja boleh diamalkan oleh isteri sebaliknya oleh suami sebagai menghargai pengorbanan isteri dan dengan itu terbentuklah slogan `rumahku syurgaku,' kerana masing-masing mendapat layanan terbaik,'' katanya.
Kata Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, Nabi Muhammad SAW ada bersabda `mana-mana isteri yang mengurut suaminya tanpa di suruh, maka isteri itu akan mendapat pahala tujuh ketul emas di syurga.

``Manakala mana-mana isteri yang mengurut setelah disuruh oleh suaminya terlebih dahulu maka isteri tersebut akan mendapat pahala tujuh ketul perak di akhirat kelak,'' tambahnya.

sumber : Utusan Malaysia

No comments