Breaking News

30 TAHUN KAHWIN BELUM TENTU BAHAGIA


``Lazimnya masyarakat kita beranggapan keluaraga yang tiada masalah poligami, perceraian ataupun kecurangan adalah keluarga ataupun pasangan suami isteri yang bahagia. Namun pada pandangan saya perkahwinan yang bertahan lebih 30 tahun seperti ibu bapa saya juga belum tentu mereka bahagia.

``Saya salahkan ayah saya 100%, namun ketegangan di rumah kami memberi kesan buruk terhadap perhubungan kami seluruh keluarga, termasuk adik-beradik juga hubungan kami dengan ibu kami sendiri.

``Sikap ego ayah, tidak bertanggungjawab dan paling teruk tidak beriman adalah punca segala masalah. Mungkin dia jadi begitu kerana terlalu dimanjakan oleh ibu bapanya hingga dia menjadi individu yang terlalu ego dan mementingkan diri sendiri. Sejak kecil pelbagai masalah ayah timbulkan. Dia mempunyai satu tanggapan bahawa sebagai suami dia adalah raja dan ibu dilarang membantah apa juga pendapat dan suruhannya.

``Tetapi masalah paling besar yang keluarga kami hadapi ialah ayah tidak memberikan nafkah secukupnya kepada ibu. Untuk mencukupkan belanja ibu terpaksa bergolok-bergadai, meminjam sana sini dan menjual sedikit sebanyak barang kemas yang ada. Apabila ibu sudah kehabisan wang, ayah marahkan ibu sedangkan ayah sendiri tidak mahu mengeluarkan duit nafkah kepada ibu pada jumlah yang sepatutnya.

``Sebenarnya saya tak naik hangin juga kalau ayah tiada wang, sebaliknya sebagai seorang pegawai kerajaan tentulah gaji ayah banyak paling tidak lebih RM2,000 (itu anggapan bodoh saya saja). Tetapi saya hairan mengapa dia terlampau kedekut untuk menyara anak isterinya sendiri. Ayah sering merungut kami anak-anaknya dituduhnya membebankan hidupnya kerana katanya banyak wangnya habis kerana terpaksa menyara perbelanjaan hidup kami. Ini yang membuatkan saya menjadi bertambah hairan apakah ayah tak tahu menanggung kami adalah tugas hakikinya.

``Apa yang saya tahu selama ini seingat sayalah kalau ada pun wang yang dia terpaksa beri kepada kami anak-anaknya, dia akan menuntut ibu supaya membayarnya semula. Pokoknya, setiap sen yang dia keluarkan kepada kami adalah sekadar pinjaman! Percaya atau tidak inilah hakikatnya. Saya tak nafikan tentu ramai yang tidak percaya tapi itulah sebenarnya yang berlaku ke atas kami adik- beradik terutama ibu kami.

``Lebih teruk lagi ibu tak boleh tanya ke mana pergi wang gaji ayah, kerana itu urusan peribadinya. Ayah amat takut selalu sorokkan wang serta buku akaun bank daripada ibu. Pendeknya ayah sanggup diamkan diri bila beras habis asalkan dia tak keluarkan duit.

``Dipendekkan cerita kelakuan ayah saya ini dia sanggup melihat kami semua tidak bersekolah asalkan duit simpanannya dalam bank bertambah setiap bulan. Itu sifat kedekutnya dulu, sekarang ayah berubah sikit dia mahu membeli pakaian mahal dan berjenama daripada berbelanja untuk membeli buku sekolah kami. Bila duitnya tinggal sikit cukup untuk simpanan dan duit sakunya setiap bulan bakinya barulah diberikan kepada ibu untuk menguruskan soal makan minum kami adik- beradik.

``Kadangkala bila memikirkan sifat ayah saya jadi bertambah pelik, mengapa ayah begitu kedekut kepada kami anak-anak yang diamanahkan oleh Allah ini. Tapi Allah maha kaya dan maha mendengar, walaupun ayah kedekut, tamak tetapi ayah masih tak juga kaya walaupun dia cuba menyimpan bersungguh-sungguh dalam bank.
``Dalam pada itu sudahlah kedekut wang, dia terlampau ego pula. Sebenarnya ayah tidak benarkan ibu keluar bekerja tapi dia sedar dia tidak mahu menyara kami seorang diri. Bila ibu terpaksa keluar bekerja, ayah tuduh ibu `lupa diri', `abaikan anak-anak' dan `hendak berlagak banyak duit'. Ayah juga pernah tuduh ibu ada hubungan sulit dengan majikan tempat ibu bekerja. Sedangkan ibu berkorban segala-galanya untuk ayah! Bayangkan kata-kata ini keluar dari mulut suami sendiri?

``Tapi peliknya ayah tak malu minta ibu bayar bil atau bayar balik wang belanja rumah yang diberikannya kepada ibu. Sebenarnya, ketika ibu bekerja sebagai eksekutif, gaji ibu cukup besar. Kalau ayah tidak bayar hutang, ibulah yang bayar semuanya dari pinjaman kenderaan hinggalah hutang kedai runcit.

``Malangnya ayah tak pernah puas hati, biarpun ibu uruskan semua belanja rumah dia paksa ibu berhenti setelah anak keempat lahir. Kata ayah, ibu harus pilih antara anak atau pekerjaan, mana lebih penting. Kata ayah memang merupakan paksaan, kerana tidak ada pilihan lain ibu pilih anak daripada jawatan tinggi yang dipegangnya.

``Selepas ibu berhenti, barulah ayah kesal kerana gajinya cepat habis sebab terpaksa bayar belanja rumah. Sedangkan ibu tidak pernah bising ketika harta bendanya habis digadai kerana bayar hutang ayah! Kerana ayah amat kedekut ibu minta izin berniaga. Akhirnya ayah terpaksa mengalah dan tunduk kepada egonya dan mungkin juga kerana tak mahu duitnya habis, ayah benarkan ibu berniaga. Tapi ayah sempat sindir ibu katanya ibu `bodoh', `berlagak pandai' nak berniaga. Tapi ibu diamkan diri, pekakkan telinga asalkan dia dapat duit untuk buat belanja dapur.

``Kini ayah dah pencen tentulah gaji tak macam dulu lagi. Sebenarnya pencen ayah bukan sikit, tapi ayah tak tahu bersyukur. Kerana takut duitnya habis bukan saja ayah tidak mahu beri nafkah, malahan ibu pula dipaksa menyerahkan wang hasil berniaga setiap hari kepada ayah. Malangnya ibu bukan muda lagi, berniaga pun tak kencang macam dulu, cukup untuk belanja makan saja. Untung saya dah bekerja.
``Kini ayah semakin lepas tangan sedangkan adik-adik saya masih belajar. Bayangkan kasut dan pakaian baru pun ayah tak mahu belikan. Berapa sangatlah harga sepasang kasut berbanding wang pencennya yang mencecah ribuan ringgit?
``Saya tahu ayah marahkan saya kerana tidak tunduk kepadanya seperti ibu. Dia mahu saya serahkan semua gaji saya padanya, ataupun setidak-tidaknya ikut arahannya tentang cara membelanjakan pendapatan saya sendiri. Tetapi saya tidak setuju. Ayah juga melarang saya galakkan adik masuk universiti. Katanya adik saya bodoh tentu gagal buat habis duit saja. Tapi saya bantah saya sanggup bayar yurannya walaupun poket kering. Ayah juga larang saya membeli kereta, tapi pada saya kereta satu keperluan. Nak pinjam kereta ayah, dia tak izinkan. Ayah memang kedekut.

``Satu lagi sikap pelik ayah dia tidak mahu berinteraksi dengan anak-anak. Dia tak mahu tanya satu soalan pun atau menegur kami dalam sehari! Ini perangai pelik ayah saya sejak kami kecil lagi. Malang bagi ibu kerana bila ayah marahkan kami, dia akan menengking ibu dan suruh ibu menyampaikannya kepada kami apa yang dia tak suka.

``Masalah paling serius tambah pelik ialah ayah kata dia tidak perlu sembahyang. Dia juga tak suka dengar orang mengaji atau ada rancangan agama di TV. Tapi kami bernasib baik ibu berkeras hantar kami ke sekolah agama. Kalau tidak kami pun buta huruf tak tahu sembahyang apa lagi bab-bab agama. Saya rasa ini semua berlaku kerana ayah saya merasakan dirinya pandai dalam banyak hal.

``Bila memikirkan masalah ini saya rasa diri saya amat malang. Kerana kalau anak orang lain berfikir untuk mewarisi harta ayah mereka, tetapi saya pula terpaksa mewarisi dan menanggung hutang ayah. Inilah yang membuatkan saya semakin rimas dengan hidup saya. Masih muda lagi terpaksa mewarisi hutang ibu dan ayah.

``Lebih sedih lagi setiap pagi bila bangun tidur saya terpaksa dengar keluhan ibu tentang masalah duit, hutang belanja dapur dan sikap ayah yang lepas tangan. Bayangkan selama 25 tahun ibu berkahwin hutang sentiasa bermain dalam kepalanya, sedangkan suaminya bukan orang susah. Saya kasihan ibu, tapi dalam hati saya geram juga kerana sikap ibu yang lebih sanggup menderita sepanjang hayat daripada bercerai yang telah merosakkan hidup kami anak-anaknya. Ibu bapa lain sibuk mencari IPT terbaik untuk anak-anak, nak kahwinkan anak, nak timang cucu dan nak tambah harta. Tapi ayah kedekut habis.

``Dulu semasa belajar dan semasa di U saya terpaksa buat muka tebal meminjam duit kawan-kawan, kini dah kerja terpaksa pula mewarisi hutang dan mengambil alih tanggungjawab ayah. Waktu itulah saya berazam belajar kuat supaya dapat kerja dan saya tidak perlu lagi bergantung pada ayah di samping membantu ibu. Tapi saya tak sangka pula begini teruknya. Kadang tu hujung bulan duit saya cuma tinggal RM10 saja.
``Saya kasihan adik-adik terpaksa membesar dalam keadaan penuh krisis dan pelbagai kepayahan. Kalaulah ibu saya bekerja dulu walaupun terpaksa jadi ibu tunggal tentu nasib kami tak sesusah seperti ini, hingga sampai tua pun nasib ibu tak berubah.
``Betul kata Irena kami macam nasib merekalah pandai-pandailah berusaha untuk mencorakkan hidup dan masa depan. Ini semua kerana ayah tidak tahu tanggungjawab, membimbing apatah lagi memberi kasih sayang. Manakala ibu pula cukup terbeban dengan sikap ayah yang amat berkira dengan duit ringgit.

``Di sini saya ingin mengingatkan semua golongan suami bahawa tanggungjawab mereka amat berat. Jika tidak mahu kehabisan wang, tak payah kahwin atau mempunyai ramai anak. Jangan salahkan anak kerana anak tidak minta dilahirkan. Sementara kepada kaum wanita pula bukankah perceraian lebih baik daripada mengorbankan masa hadapan anak-anak? Saya tahu ramai yang tak sependapat dengan saya tapi cuba fikirkan dan cerminlah diri anda, adakah anda sudah melaksanakan tugas sebagai ibu dan ayah yang baik.

``Agaknya sebab itulah saya belum berminat nak kahwin lagi. Sebab takut saya akan jadi macam nasib ibu. Saya tidak cantik dan tidak manja, kerana seumur hidup saya terpaksa berdikari. Sebenarnya wanita yang tabah boleh hidup dalam semua keadaan malangnya sering menjadi mangsa lelaki yang tak tahu bersyukur!'' Demikian cerita Lina.

sumber : Utusan Malaysia

No comments