Breaking News

KASIH SAYANG, CINTA DAN HORMAT BERUBAH...

SIAPA SANGKA PERKAHWINAN YANG DILIMPAHI DENGAN KASIH SAYANG, CINTA DAN HORMAT BERUBAH...

SIAPA sangka perkahwinan yang dilimpahi dengan kasih sayang, cinta dan hormat akhirnya berubah setelah didatangi orang ketiga. Setelah anak-anak dewasa dan sepatutnya mereka pula memasuki alam rumahtangga,'' kata Norezara membuka cerita.

''Saya sudah berkahwin lebih 20 tahun, ada lima anak, dua di IPT, yang lain bersekolah menengah. Dahulu saya ikuti kisah suka duka kehidupan wanita di ruangan ini dan jadikannya iktibar. Tanpa diduga, masalah sama menimpa saya kini.

''Kami bercinta sejak di bangku sekolah hinggalah ke IPT dan sepakat berkahwin. Saya rasa bertuah memiliki suami seperti Jeff yang penyayang dan amat memanjakan saya dan anak-anak.

''Pendek kata saya tak pernah rasa kekurangan dalam kasih sayang dan layanannya. Di kalangan keluarga kami dikenali sebagai pasangan sangat secocok dan romantis. Jeff juga tidak pernah meninggikan suara kepada saya.

''Namun siapa menduga, langit tidak cerah selamanya. Pada awal tahun lepas saya dapat merasakan perubahan dan kelainan dalam tingkah laku Jeff.

''Kalau biasanya dia jarang balik lewat, tapi dah pandai beri alasan balik lewat. Kalau ditanya banyak kerja, dia banyak berahsia. Nak jadikan cerita, secara tak sengaja saya mengesan nombor telefon seorang perempuan dalam telefon bimbitnya.

"Mulanya saya diamkan tunggu Jeff bercerita, akhirnya setelah hilang sabar saya tanya, siapa wanita tersebut. Kerana belum pandai berbohong agaknya, Jeff beritahu wanita itu meminatinya. Terkejut saya. Sejak itu Jeff langsung tidak boleh berenggang dengan telefon bimbitnya. Ke bilik air pun dibawa sama.

''Saya mula sangsi, tetapi saya anggap itu hanyalah gurauannya. Kerana sebelum peristiwa itu, dia sering bergurau dan bertanyakan pendapat saya sekiranya dia ingin berkahwin lagi. Ketika itu saya pun menjawab dalam bergurau bahawa saya beri keizinan dengan dua syarat. Pertama, dia mesti berterus-terang dan jangan tipu saya. Kedua, wanita itu mesti anak dara atau janda tapi tidak ada anak.

''Menjelang pertengahan tahun lalu, Jeff berterus-terang mengatakan dia dalam proses untuk menikah lagi. Gelap dunia saya kerana saya tak percaya Jeff yang baik mahu menduakan saya.

''Saya tanya Jeff apa kekurangan saya, katanya saya tiada kurang satu pun, cuma dia telah jatuh cinta dengan seorang perempuan. Dia mengaku hidupnya amat bahagia bersama saya dan anak-anak cuma kehadiran perempuan itu menambah bahagiakan lagi hidupnya. Saya pelik sebab setahu saya Jeff tidak rapat dengan perempuan.


Lebih bahagia''Jeff beritahu perempuan ini berjaya membuka pintu hatinya. Itu yang membuatkan dia lebih bahagia.

''Sebelum memberi keizinan, saya ajak Jeff berbincang. Tapi Jeff dengan tegas minta izin nak kahwin lagi, sudah tidak ada pintu perbincangan baginya. Dengan hati pilu dan deraian air mata saya kucup tangannya dan kedua-dua pipinya sambil merayu.

''Malam itu hingga ke pagi saya tak dapat tidur hanya menangis. Esoknya saya cuti kecemasan sebab mata bengkak, malu nak pergi kerja.

''Saya imbas semula peristiwa sejak Jeff sering pulang lewat lepas kerja. Akhirnya saya dapat rasakan bahawa Jeff sudah pun berkahwin sebelum dia bercerita kepada saya tentang hasratnya. Saya tertanya-tanya adakah dia terperangkap atau kena tangkap basah atau sebagainya.

''Sekali lagi saya ajak Jeff berbincang, saya mahu dia terus-terang sebab tak mahu ditipu. Dua soalan saya tanya. Pertama, adakah dia sudah berkahwin semasa dia minta keizinan saya. Jawapan Jeff, ya! Kedua, bilakah dia berkahwin? Dia kata semasa pergi outstation ke sebuah negeri di utara tanah air. Katanya bukan ada kerja, tetapi memang pergi untuk bernikah.

''Hancur luluh hati saya. Sungguh saya tak duga Jeff sanggup menipu dan berbohong, sedangkan selama ini dia amat kasihkan keluarganya. Adakah selama ini dia berpura-pura?

''Sungguh saya tak sangka Jeff selama ini bermain wayang. Sejak itu hidup saya tak tentu haluan, jiwa saya kacau dan perasaan saya amat terganggu. Kawan rapat perasan perubahan saya. Pekerjaan saya turut terganggu kerana saya sering hilang fokus.

''Walaupun hati saya sakit, kecewa dan rasa ditipu, namun saya berusaha agar rasa sayang saya pada Jeff tidak berubah, bagi membantu saya menerima kenyataan yang saya telah dimadukan.

''Saya berusaha menjaga hubungan kami dan saya minta Jeff berterus-terang dengan anak-anak supaya mereka tidak tertanya-tanya ke mana ayah mereka sering hilang.

''Tiga anak kami menangis dan mereka mengurung diri dalam bilik. Untuk tenangkan keadaan, saya mohon Jeff menetapkan giliran dan berlaku adil. Paling penting kami tak mahu tunjuk masalah depan anak-anak sebab tak mahu mereka hilang hormat pada ayah mereka. Tetapi dalam hati saya hanya Allah yang tahu. Air mata jadi teman setia bila Jeff tiada di sisi.

''Walaupun sejak peristiwa ini, Jeff masih rapat dengan anak-anak dan memanjakan saya tetapi hati ini masih tertanya-tanya kenapa Jeff berahsia tentang isteri barunya. Dia beritahu isterinya anak dara lewat 20an dan perkahwinan mereka tidak mendapat restu ibu bapa perempuan tersebut, sebab itu mereka kahwin lari.

''Tetapi saya dapat tahu isterinya janda anak satu berusia lewat 30an. Sekali lagi Jeff berbohong. Jeff juga minta perkahwinannya dirahsiakan daripada pengetahuan keluarganya yang saya tak tahu alasannya.

''Kini hidup saya tak seperti dahulu. Walaupun saya cuba menceriakan keluarga, tetapi saya gagal menceriakan hati sendiri. Saya terpaksa menelan derita ini hingga ke akhir hayat.'' Itu cerita Norezara yang menyangkakan 'panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari'.

Sumber : Utusan Malaysia

SUAMI ISTERI @ Rahsia Perkahwinan

No comments