728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

19 July 2010

Suami kahwin lain isteri diburu Ah long | Married, Couple, Health care, Family Planning, MALAYSIA


TUJUAN saya menghantar kisah perjalanan hidup saya yang amat pahit ini bukan hendak memburukkan suami apa lagi adik-beradik, tetapi sekadar ingin berkongsi pengalaman hidup supaya kita boleh membuat perbandingan bukan saja untuk diri sendiri, tetapi mengingatkan anak-anak supaya mereka mengambil iktibar daripada kesalahan yang kita lakukan.

''Bukan tujuan saya juga untuk mendoakan anda melalui seperti yang saya lalui, tetapi mempersiapkan diri supaya hidup tidak kecundang seperti saya. Bayangkan 23 tahun berkahwin, hidup saya jadi haru-hara yang tak pernah diduga selama ini.

''Seperti kebanyakan pasangan lain hidup sudah pasti susah pada awalnya. Kami sama-sama merangkak untuk meneguhkan ekonomi, setelah 10 tahun dan seterusnya pastilah kita dapat bertatih laju, walaupun belum boleh berlari. Begitulah kehendak alam selepas 15 tahun dan seterusnya saya sudah boleh berasa bangga dengan hidup kami.

''Dari menyewa rumah flat kami beli rumah teres dua tingkat kemudian beli banglo. Kalau dulu kami bercuti cuma ke Port Dickson, kemudiannya menjejakkan kaki ke luar negara. Memang hidup kami bahagia dan membanggakan.

''Sedang berada di kemuncak setelah 20 tahun berkahwin corak kehidupan kami berubah. Tanpa diduga badai menimpa, entah di mana silapnya perniagaan suami jatuh bankrap.

''Namun disebabkan kuatnya azam, dia berusaha menaikkan perniagaannya semula, tetapi dia tersalah langkah. Dia pinjam duit 'ah long' untuk menyelesaikan hutang tanpa saya ketahui. Memang malang, hidup yang susah menjadi lebih susah. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Lama-kelamaan nyawa jadi taruhan.

''Untuk menyelamatkan nyawa suami, kami terpaksa buat keputusan, suami berhijrah ke selatan tanah air. Tinggallah saya bersama empat orang anak hidup dalam ketakutan dan kesusahan yang datang bertimpa-timpa. Nasib saya masih lagi ada pekerjaan dapatlah saya terus menyara hidup kami anak-beranak.

''Ketika itu dua buah rumah dan tiga buah kereta kena lelong dan ditarik. Penagih hutang datang silih berganti menyerang dan menyergah kami anak-beranak. Yang pasti suami dan saya menjadi buruan mereka.

''Berkali-kali saya terpaksa mengusung anak-anak berpindah rumah lari dari dikejar ah long. Suami yang lari sudah pasti tidak dapat menghulurkan nafkah, hanya rakan-rakan yang bersimpati membantu kami.

''Namun apa yang menyedihkan sedang kami berendam air mata keluarga pula datang memarahi kami kerana menyusahkan mereka. Mereka turut dikejar ah long.

''Sedihnya tak sampai dua tahun dengar-dengar cerita suami saya pula termakan budi yang ditabur oleh seorang janda. Maklum orang tengah nak tenggelam dihulurkan tali tentulah dia berpaut untuk menyelamatkan diri. Suami pula tidak ceritakan masalahnya. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, dia terima pelawaan wanita tersebut untuk bernikah melalui khidmat ejen. Selepas setahun baru saya tahu melalui kenalan yang terserempak dengan mereka. Mana nak menyorok?

''Hancurnya hati hanya Allah saja yang tahu. Saya panggil suami pulang untuk berbincang. Peliknya suami minta saya dan wanita tersebut berkongsi tenaga untuk menjaganya. Pelik sungguh. Siapa suami siapa isteri?

''Kepadanya saya beri kata putus, kalau nak hidup susah baliklah kepada keluarga, tetapi kalau nak hidup senang kembalilah kepada wanita tersebut. Ketika itu wanita tersebut merayu-rayu suami supaya segera kembali kepadanya.

''Akhirnya suami buat keputusan kekal bersama kami. Mereka bercerai. Saya memang tak faham. Nikah tak berdaftar jadi nak daftar cerai macam mana?

''Kerana diceraikan wanita itu membuat pelbagai tuntutan. Mana saya nak cari duit. Berpuluh ribu duit saya habis menyelesaikan hutang suami yang tak pernah habis . Suami saya diisytihar muflis menjadikan hidup kami sekeluarga bertambah susah dan menderita.

''Nasib baik juga ketika kami ditimpa masalah anak-anak cekal dan terus belajar. Kini yang sulung dapat tawaran belajar masuk universiti. Bertambah lagi bebanan saya, tapi saya bersyukur semoga masa depan anak-anak lebih terjamin.

''Saya tak kisah hidup susah, Allah tebarkan rezeki kita cuma perlu rajin mengutipnya. Dan saya beri peluang kedua kepada suami. Saya tak salahkan dia 100 peratus kerana saya tahu dia susah dan dia terperangkap dalam kesusahannya itu. Silapnya dia ambil kesempatan atas peluang yang terhidang tanpa berfikir hidup kami.

''Buat masa ini saya tak mahu fakir panjang tentang wanita tersebut, kerana hidup saya memang susah. Lagi pun tak ada apa-apa yang boleh saya kongsi dengan suami, kalau ada pun mungkin seluar dalamnya. Makan minumnya pun saya tanggung. Dia cuma duduk menung fikirkan kesusahan hidupnya.

''Saya salahkan janda tersebut kerana dia sanggup ambil suami orang dengan menabur kesenangan dan wang yang dimilikinya. Namun pada saya mereka berdua tetap bersalah kerana menipu saya lebih setahun dan membiarkan saya hidup sendirian menghadapi kesusahan hidup, hutang dan ketakutan dikejar ah long.

Demikian cerita Salamiah, fikirannya masih terganggu kerana pengorbanannya tidak dihargai oleh suaminya.

Sumbre : Utusan Malaysia 18/07/2010

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Suami kahwin lain isteri diburu Ah long | Married, Couple, Health care, Family Planning, MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top