Breaking News

TALAK KUASA SUAMI

talak islam,jenis talak,cerai talak,hukum talakPerceraian - Talak,Divorce - TaLak,Prosedur Cerai Talak
SOALAN:

Saya menetap di Amerika Syarikat. Imam yang dirujuk untuk kes penceraian adalah dari mazhab Hanafi. Saya ingin bertanya tentang kes penceraian daripada segi mazhab Shafie.

Imam tersebut mengatakan selepas jatuh talak yang pertama, dua bulan kemudian jatuh talak ketiga (satu bulan satu talak) dan idah bermula untuk tempoh tiga bulan kemudian selepas talak tiga.

Bolehkah ustaz terangkan penceraian dalam mazhab Shafie.

JAWAPAN:

Molek kiranya saya mulakan ulasan soalan saudara dengan sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.

Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).

Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 229)

Dalam ayat di atas Allah menetapkan bahawa seseorang isteri yang dicerai dengan cerai raj’i (cerai yang boleh dirujuk) dengan talak yang paling maksimum adalah dua, kalau tiga tidak boleh dirujuk melainkan dikahwini oleh orang lain sebelum dikahwininya.

Ayat ini juga sekali gus menjelaskan adanya bilangan talak yang dilafaz bukan ikut bilangan bulan.

Persoalannya sekarang, saudara telah diberitahu oleh imam di sana mengenai talak. Sebenarnya apa yang jelaskan oleh imam tersebut tidak tepat.

Tidak ada mazhab yang menyebut seseorang isteri diceraikan dengan talak satu kemudian bila si suami tidak merujuk dalam bulan pertama dalam tempoh idahnya masuk bulan kedua talak yang asalnya satu jadi dua dan bagi bulan ketiga talak itu menjadi tiga.

Maksudnya kalau si suami gagal merujuk isteri dalam idah yang kebiasaannya dalam tempoh tiga bulan maka talak yang satu yang dilafazkan oleh suami menjadi tiga.

Pandangan ini sangat bercanggah dengan pandangan jumhur ulama termasuk Imam al-Syafie. Bilangan talak adalah apa yang dilafazkan oleh si suami ketika menceraikan isterinya.

Contohnya si suami kata, “aku ceraikan engkau dengan talak satu”, maka talak satulah sampai dirujuk dalam idah.

Kalau tidak rujuk sampai habis idah dan si suami ingin kembali maka hendaklah dinikahi dengan akad yang baru dan mas kahwin yang baru. Ini bermaksud bilangan talak tidak bertambah kerana kelewatan merujuk.

Cara mengira bilangan talak yang dilafazkan oleh suami adalah sama ada menyebut dengan jelas jumlah bilangan talak seperti: “Aku cerai/talak dikau dengan talak satu atau dua atau tiga”. Maka jatuh talak mengikut bilangan yang ditentukan atau disebut oleh suami.

Cara lain pengiraan talak adalah suami menceraikan isteri dengan talak satu kemudian rujuk semula, tetapi perceraian berlaku lagi selepas itu.

Setelah dua kali bercerai (dengan talak satu), kemudian berlaku perceraian lagi dengan suami melafazkan cerai talak satu maka ia dikira telah jatuh talak tiga.

Pasangan ini tidak boleh rujuk kecuali bekas isteri berkahwin dengan orang lain, bersetubuh dan bercerai.

Talak mesti dijatuhkan mengikut aturan kiraan Islam memberikan kepada seorang muslim tiga talak untuk tiga kali, dengan suatu syarat tiap kali talak dijatuhkan pada waktu suci, dan tidak disetubuhinya.

Kemudian ditinggalkannya isterinya itu sehingga habis idah. Kalau nampak ada keinginan merujuk sewaktu masih dalam idah, maka dia boleh merujuknya.

Sekiranya dia tetap tidak merujuknya sehingga habis idah, dia masih boleh untuk kembali kepada isterinya itu dengan akad dan mahar (mas kawin) baru. Kalau dia tidak lagi berhasrat untuk kembali, maka si wanita boleh berkahwin dengan orang lain.

Jika si lelaki tersebut kembali kepada isterinya sesudah talak satu, tetapi tiba-tiba terjadi suatu peristiwa yang menyebabkan jatuhnya talak yang kedua, si lelaki masih boleh rujuk semula dalam tempoh idah.

Dan kalau suami kembali dan menceraikan isterinya buat kali ketiga, maka ini merupakan suatu bukti nyata, bahawa perceraian antara keduanya itu harus dikukuhkan, sebab persesuaian antara keduanya sudah tidak mungkin.

Oleh kerana itu dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah tidak lagi halal buat si lelaki tersebut, sehinggalah dia kahwin dengan orang lain secara syarie. Bukan sekadar menghalalkan si perempuan untuk suaminya yang pertama tadi.

sumber : Utusan Malaysia 18/06/2010

No comments