Breaking News

BUKAN SEMUA SUAMI EGO DAN TAK BERTANGGUNGJAWAB...




ISNIN lalu saya menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan lama yang ingin menemukan saya dengan kawan karibnya yang menghadapi masalah rumah tangga.

Seingat saya teman saya ini tidak berkahwin lantaran pernah kecewa kerana kekasihnya yang juga teman sekolah kami bernikah dengan orang lain selepas belajar di luar negara.

“Sesekali berilah peluang orang lelaki pula mencurah perasaan tentang hal rumah tangga. Baru adil,” katanya berulang kali.

Dua hari kemudian saya menelefonnya mengatakan setuju memandangkan mungkin kisah kawan karibnya itu boleh menjadi bahan menarik untuk saya siarkan di ruangan ini.

Seperti dijanji, kami bertemu di sebuah restoran di ibu kota. Sebaik melihat saya, dia berkata, “aku tidak ada masalah, sebab tak kahwin. Ini ha banyak problem…’’ katanya bergurau sambil menunjukkan kepada kawannya.

Memandangkan masa terhad dan tempat itu terbuka saya mengharapkan kawan kepada kawan saya itu akan menamatkan ceritanya seperti yang saya harapkan. Kisahnya mudah saja, isteri yang tidak menghormati suami dan ego dengan kedudukan dan kejelitaan yang dimiliki.

Kepada saya, lelaki itu yang saya panggil Wan meluahkan segala isi hatinya untuk dikongsi dengan pembaca. Inilah kisah Wan.

“Saya mahu kisah ini dipaparkan kepada umum kerana tidak mahu masyarakat menganggap semua lelaki di dunia ini tidak bertanggungjawab, ego dan tidak berperi kemanusiaan. Masyarakat khasnya kaum wanita bergelar isteri dan ibu sepatutnya sedar bahawa mereka juga yang menjadi punca masalah dalam rumah tangga.

“Saya tidak nafikan kebanyakan lelaki tidak bertanggungjawab tetapi ada juga wanita yang begitu. Sebenarnya, wanita dan lelaki sama-sama ada kekurangan dan kelebihannya. Ada sifat negatif dan positif.

“Saya telah 18 tahun berumah tangga. Ada anak tiga orang berumur dari 12 hingga 17 tahun. Isteri seorang pegawai tinggi di sebuah syarikat swasta dapat kereta dan selalu ke luar negara. Maknanya saya dan anak-anak sering ditinggalkan. Tapi saya tidak kisah kerana itu kerjayanya.

“Yang menjadi masalah, wanita ini bila sudah ada jawatan tinggi, hidup mewah dan ada rupa, riaknya lain macam sikit. Lupa alam keliling. lupa tanggungjawab dan lupa suami dan anak-anak. Kita dibuat macam budak pejabat. Disuruh itu ini, diarah buat itu buat ini. Tanya lain jawab lain. Urusan rumah terbiar di tangan pembantu seratus peratus. Keluar masuk rumah macam hotel. Tergerak hati nak balik, balik, kalau tidak tidur di kelab dengan kawan-kawan.

“Bukan kita tidak tegur, tapi pertengkaran yang terjadi. Lama-lama kita bosan. Demi anak-anak dan demi rumah tangga, terpaksa diam tapi merobek dalam dada menahan geram.

“Itu hal kerjaya. belum masuk bab jamuan makan malam, kursus dan sebagainya lagi. Pendek kata, kerjaya lebih utama daripada rumah tangga, suami dan anak-anak.

“Jangan cakap pasal seimbang rumah tangga dengan kerjaya, karut semuanya itu. Dalam sepuluh seorang pun payah nak cari wanita dan isteri yang macam itu.

“Anak-anak kadang kala merungut juga. Mak orang lain ada rumah hujung minggu, mama tak pernah ada, sibuk dengan kerja. Mak orang lain sempat juga masak makan, gosok baju dan sebagainya, mak kita masuk dapur pun jarang.

“Bayangkan anak-anak dah besar panjang. Membesar dengan kasih sayang pembantu rumah. Sakit demam saudara mara, mentua, ipar duai, langsung tak pernah nak jenguk. Balik kampung saya dan anak-anak sahaja yang terhegeh-hegeh. Tidak kira kampung dia atau kampung saya, tidak pernah nak balik. Sampai saya naik malu dengan keluarga, bila tanya kenapa isteri tak balik… Sekarang ini, semua adik beradik tidak akan tanya lagi kalau kami balik tanpa dia.


“Sekarang ini saya hanya bertahan atas ikatan pernikahan, yang lain macam dah tak ada apa-apa lagi. Kemesraan, jauh sekali. Layanan zahir batin, memang dah lama tak ada. Duduk satu bumbung macam orang asing. Saya juga tidak kuasa lagi hendak bertanya apa-apa. Biar keadaan jadi penentu.

“Saya sudah bagi amaran, kalau apa-apa terjadi dalam rumah tangga jangan salahkan saya. Jangan menyesal kalau saya kahwin satu lagi. Anak-anak pun dah bosan dengan sikap mak mereka. Anak yang sulung berusia 17 tahun, akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini (SPM).

“Dia kasihan kepada saya dan berkata, kalau papa rasa sunyi, papa kahwin seorang lagi. Biar mama rasakan! Saya juga benci dengan sikapnya, kalau di rumah asyik penat dan nak berehat. Tapi kalau di luar dengan kawan-kawan tak kira la perempuan ke lelaki gediknya tak boleh nak cakap. Saya pernah tengok sendiri. Mesranya dengan teman dan klien lelaki macam anak dara baru jumpa lelaki. Itu semua dosa saya yang saya kena tanggung. Mereka ingat semua suami boleh dibeli dengan kemewahan yang mereka ada. Sorry la! tidak semua suami bodoh.

“Saya berharap kalau isteri saya terbaca kisah ini minta dia sedar dan insaf. Saya beri dia peluang terakhir. Berubah atau terima keputusan saya. Tidak ada maknanya ada isteri tetapi suami dibuat macam tunggul dalam rumah.

“Perempuan ini kalau diberi muka inilah padahnya, kalau dilarang kata kita tidak faham. Habis ikhtiar mengadu ke pejabat kadi, kata tidak sehaluan dan sefahaman dengan suami. Kalau dalam kes saya siapa yang hendak dipersalahkan?’’ tanya Wan mengakhiri ceritanya.

Saya tersenyum melihat gaya Wan bercerita. Emosinya sekejap marah, sekejap sejuk. Saya boleh faham masalah yang Wan hadapi. Tapi saya katakan kepada Wan kalau bertahun-tahun dia boleh sabar, kenapa sekarang tidak.

Kata Wan sebab tak boleh sabar dia ingin kisahnya disiarkan kerana dia mahu masyarakat tahu tidak semua isteri bekerja melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan ada suami yang memendam rasa kerana perangai isteri yang keras kepala.

Saya tersenyum mendengar kata-kata Wan. Apa pun saya mengharapkan Wan berfikir masak-masak sebelum mengambil keputusan. Tidak bermaksud memihak kepada Wan, saya akur dengan senario masa kini, era wanita bergelar isteri yang punya kedudukan dan pelajaran dan kemewahan menghabiskan masa di luar rumah yang semakin hebat.

Malah kebanyakan mereka lebih rela menghabiskan masa di pusat kecantikan, gimnasium dan kelab-kelab karaoke, menari poco-poco semata-mata hendak menghilangkan tekanan kononnya. Sedangkan di rumah, banyak kerja yang menanti termasuk suami dan anak-anak.

Wan dan sahabat saya itu meninggalkan restoran tersebut dengan wajah girang, salah satu sebab kerana berjaya mendedahkan kisah isteri yang ego kerana mereka hebat.

Sebelum berpisah, saya katakan kepada Wan, jadilah seperti lebah, hinggap di atas bunga-bunga yang semerbak harum dan ranting-rantingnya. Lalu fikirkan sejenak, di dunia ini tiada seorang insan pun diberi kebahagiaan yang sempurna dan mendapat apa yang mereka inginkan.

Wan tersenyum dan meminta saya menghuraikan maksudnya. Saya beritahu dia supaya mencari jawapannya sendiri. Pada saya, masih belum terlambat untuk Wan memulihkan hubungan dengan isterinya. Seorang suami yang baik dan beriman, tahu di mana tanggungjawabnya. Dia juga tahu di mana kelemahan isterinya. Sebagai pemimpin rumah tangga yang baik, pastinya ada jawapan yang menanti.

Sambil mengingatkan diri sendiri, saya titipkan pesanan telus buat renungan kita bersama: Fitrah wanita menentukan mereka sebagai nadi dalam rumah tangga tempat suami, anak-anak bergantung harap dan kasih sayang. Jangan sia-siakan fitrah tersebut kerana kejayaan dan kemewahan di dunia tidak sama dengan kenikmatan yang bakal disediakan Allah s.w.t di akhirat kelak!

Sumber : Utusan Malaysia 23 Mac 2007

1 comment:

  1. Fitrah wanita adalah nadi pengerak kehidupan berumah tangga tempat suami dan anak-anak bergantung harapan dan kasih sayang termasuk agama dan menjadikan rumah ku shurga ku dan keluarga yang sollehah. Sesiapa sahaja yang menlanggar fitrah Allah adal kufur nikmat...Kufur nikmat adalah ahli neraka.

    Banyak lagi fitrah manusia yang kita patut fahami dan amalkan..terutama yag bersangkutan dengan iman dan takwa.

    Contoh nya bagi saya...ini adalah istri durhaka..dayus kalau dibiarkan...lapur nusuz...

    1. Fitrah manusia yang mempercayai ada kuasa aib...
    2. Fitrah wnaita yang menggandung dan melahir kan anak..
    3. Fitrah manusia yang berkehendakan hubungan suami dan isteri..
    4. Fitra anak-anak yang suka dimanjaka olih ibu dan babak...
    5. Fitrah manusia yang akan makan dan minum...

    Banyak lagi..tapi cuba renungkan..peristiwa diatas yang kita bolih ambil pengajaran dan memimplimantasikan nya..jadilah lebah..hinggap lah di atas bunga yang bermadu..banyak lagi..

    ReplyDelete