728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

24 May 2010

KAHWIN MUDA TAK BAHAGIA?



KIRA-kira 10 tahun dahulu ketika saya ingin mendirikan rumahtangga dengan kekasih hati, kawan-kawan menasihatkan supaya saya fahami dahulu isi hati bakal suami supaya perjalanan rumahtangga teratur dan lebih harmoni. Saya cuma tertawa sahaja.

''Ketika itu usia saya dan bakal suami baru 22 tahun. Masih muda. Kami menuntut di universiti tahun akhir. Emak suruh tamatkan pengajian dulu baru kahwin, begitu juga bakal mertua. Tetapi kami rasakan perkenalan sudah terlalu lama. Kami mula kenal ketika menuntut di sekolah menengah berasrama penuh. Kemudian sama-sama masuk universiti jadi kami sudah saling faham memahami. Bukan cinta monyet.'' Demikian cerita Rosadila dalam e-melnya.

''Kerana hubungan terlalu erat kami bimbang terlanjur. Jadi demi menjaga maruah keluarga lebih baik cepat kahwin. Lagi pun tak lama lagi kami akan keluar dan bekerja. Tentu tak ada masalah.
''Namun disebabkan keluarga kami bukanlah kaya sangat, maka majlis perkahwinan kami dibuat biasa-biasa sahaja. Hantaran cukup RM2,000, itupun Hazri terpaksa pinjam duit emaknya dahulu, kecuali duit upah nikah dan mas kahwin. Lebih daripada itu semuanya tanggungan mertua saya.
''Begitu juga saya, saya cuma siapkan badan, hinggakan andaman, pakaian pengantin, pelamin, bunga telur dan kenduri semua emak siapkan. Memang emak tak berduit, tetapi demi anak supaya tidak mencontengkan arang ke muka, emak berkorban sanggup berhutang berbaris demi kebahagian saya.

''Lepas kahwin kami masih tidak dapat tinggal serumah, sebab segalanya memerlukan wang. Dan kami tak cukup wang. Sekali sekala balik bercuti barulah kami dapat bersama. Masa nak kahwin bukan saja kawan-kawan emak pun bagi nasihat supaya bersabar sebab masalah kekengan kewangan. Tapi kami tak boleh sabar.

''Nak jadikan cerita habis belajar saya dapat kerja dulu dapatlah saya sewa rumah di bandar. Itupun pinjam duit emak sebagai permulaan. Pergi dan balik kerja naik motor dengan Hazri. Dah enam bulan bekerja saya masih tak dapat ganti duit emak, sebab Hazri masih menganggur. Dua bulan lepas itu baru dia dapat kerja. Itupun bukan kerja pilihannya. Tapi saya nasihatkan jangan pilih kerja kerana saya dah mengandung.

''Dipendekkan cerita lepas bersalin baru kami dapat beli kereta kecil, sebab masalah nak hantar ke rumah pengasuh. Awal perkahwinan baru kami faham masalah perkahwinan. Kami tak boleh salahkan sesiapa, ini pilihan kami. Susah senang tanggunglah sendiri.

Hutang
''Dah dapat dua anak hutang emak masih tak dapat saya bayar lagi, saya cuma dapat beri emak RM50 sebulan, memang tak padan, tetapi itulah yang saya mampu. Hazri pula sering bertukar kerja kerana katanya tak sesuai. Dan masalah lain yang dia sendiri sahaja boleh menjawabnya.
''Oleh kerana saya kekal bekerja, dan rezeki anak-anak, pendapatan saya bertambah. Dapatlah saya tambah duit saguhati dan ganti duit emak secara beransur-ansur. Lebih istimewa akhirnya Hazri dapat juga kerja yang dia minat. Legalah sikit hidup kami. Dan saya tak susah hati lagi kerana Hazri tidak lagi bertukar-tukar kerja.

''Saya bersyukur setelah lima tahun berkahwin, hidup kami bertambah baik dan saya lebih gembira dalam umur belum pun 30 tahun saya mendapat segala-galanya, ada sepasang anak, dapat pekerjaan yang baik dan sudah bersuami. Sedangkan ada kawan saya yang masih terkial-kial belum ada jodoh lagi, apa lagi anak.

''Tetapi sebagai manusia, kita boleh berusaha dan memohon, tetapi hanya Allah yang menentukan segala-galanya. Saya fikirkan langit sentiasa cerah rupanya mendung mula menjelma. Mula-mula saya melihat perubahan dalam gaya hidup Hazri.

''Ketika saya sibuk uruskan anak yang bertambah jadi tiga orang, dia sibuk dengan aktiviti luar. Sentiasa ada saja kawan yang dia nak jumpa. Keluar selepas waktu maghrib jam 11 baru pulang. Waktu itu makanan di rumah sudah tidak membuka seleranya lagi. Tak payah masak katanya dia makan dengan kawan di luar.

''Kalau seminggu sekali masuk akal juga, tapi kalau sepanjang minggu, siapa tak sakit hati. Rumah bukan lagi syurganya. Kita tegah dia melenting. Suasana dalam rumah waktu itu memang sentiasa panas. Bila tidur lewat bangun pagi pun lewatlah. Solat subuh selalu cicir. Lebih teruk kelewatannya mengganggu jadual saya menghantar anak ke rumah pengasuh dan ke tempat kerja.

''Kerana selalu bertengkar dia suruh saya beli kereta lain supaya tidak mengganggunya. Bila segalanya berasingan, maka hubungan kami pun semakin renggang. Dia sibuk dengan urusannya, saya pula dengan urusan anak-anak dan rumah.

''Pada kesempatan inilah dia mengambil peluang mempunyai kekasih baru. Setahun lamanya saya tak tahu akhirnya rahsianya terbongkar apabila saya terjumpa bil hotel di Melaka. Bila saya tanya dia kata milik kawannya. Tapi kenapa dia yang tandatangan dan ada dalam poketnya. Bila saya selidik waktu itu hari dia bekerja.

''Bila perasaan ragu-ragu bertakhta di jiwa, selidik dan siasatan mula saya jalankan. Kerana kita ada ramai kawan. Masalah ini segera terbongkar. Rupa-rupanya bukan itu kali pertama dia berjalan ke Melaka. Dah banyak kali dia kata bekerja sedangkan kawan pejabatnya beritahu waktu itu dia bercuti.

''Hubungan kami yang sejak dua tiga tahun semakin tegang menjadi bertambah parah. Saya sudah hilang kepercayaan padanya. Kalau dulu dia kata jumpa kawan lelaki sekarang saya syak tentulah kawan perempuan.

''Apa yang amat saya kesalkan. Ketika kami susah dahulu, hubungan kami begitu erat, saling kasih mengasihi, percaya mempercayai dan sayang menyayangi antara satu sama lain, kini segala-galanya sudah berubah. Hidup sudah tidak aman. Walaupun dia mati-matian mendakwa apa yang diperkatanya semuanya benar. Tetapi semuanya terbukti tidak benar. Hazri pandai berbohong. Pengorbanan saya selama ini sia-sia saja.

''Apa yang menyedihkan, ketika saya bahagia dengan tiga orang anak sedangkan ada kawan-kawan saya masih belum kahwin, tiba-tiba rumahtangga saya dilanda ribut taufan. Binasa semua rancangan yang selama ini kami susun bersama. Hazri lari daripada tanggung jawabnya. Malah semua urusan rumahtangga dia lepaskan pada saya.

''Apabila saya minta duit untuk belanja bulanan makan minum kami anak-beranak terutama susu dan duit pengasuh, katanya dia tak makan di rumah dan duitnya habis kerana bayar sewa rumah dan ansuran kereta. Sedangkan saya juga bayar ansuran kereta. Ini tak adil.
''Bila keadaan begini, saya ingat semula nasihat kawan-kawan, bahawa berkahwin di awal usia amat rapuh, tidak dapat bertahan lama.

''Kini pada usia 32 saya sudah bergelar ibu tunggal anak tiga. Memang saya boleh berdikari dan hidup bersendirian, tetapi saya takut bila iman tercabar dalam keadaan usia muda seperti ini. Lagi pun fitnah terlalu banyak. Namun saya Berjaya mengatasinya, selama hampir setahun ini. Demikian cerita Rosadilah panjang lebar tentang perjalanan hidupnya.

sumber : utusan malaysia 23/05/2010
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

4 comments:

  1. Anonymous4:02 AM

    aiseh..menakutkan.

    ReplyDelete
  2. Anonymous12:28 AM

    tak semua mcm ni kot..
    semuanya di tangan Allah :)

    ReplyDelete
  3. maybe tak semua akan jadi begini, yang pentingt adalah keikhlasan dan ketabahan dalam rumah tangga.. :)

    ReplyDelete
  4. Anonymous11:47 AM

    saya pon berkahwin muda.. harap sgt sumenyer kekal hingga akhir hayat.. aminn...

    ReplyDelete

Item Reviewed: KAHWIN MUDA TAK BAHAGIA? Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top