Breaking News

Panduan memilih suami | Persediaan kahwin, adab dan adat, rukun kahwin, bakal pengantin

Panduan Memilih bakal suami dan isteri | Persediaan kahwin, adab dan adat, rukun kahwin, bakal pengantin
Mereka yang pernah gagal dalam perkahwinan pertama kemudian mendirikan rumah tangga untuk kesekian kalinya, disaran melakukan rutin berbeza dengan sebelumnya. Ini termasuk tinggal di rumah baru, melakukan aktiviti baru dan tidak harus menimbulkan nostalgia lama jika inginkan kebahagiaan berpanjangan.

Pandangan itu dilontarkan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Azhar Zain ketika diminta mengulas mengenai perkahwinan seterusnya sesudah gagal dalam perkahwinan sebelumnya.

Beliau berkata, memulakan fasa perkahwinan untuk kali kedua atau seterusnya memerlukan kekukuhan jiwa yang kuat antara pasangan demi mengelak sebarang kemungkinan yang boleh mengganggu gugat kebahagiaan yang baru dibina.
Menurutnya, masalah akan timbul apabila salah seorang pasangan terkenang-kenang perkara lama yang mungkin menjadi salah satu punca tercetusnya permasalahan seterusnya dan boleh menjadi bibit kehancuran.

Dalam usaha membina perhubungan suami isteri yang baru dan diharap berpanjangan tanpa mengulangi kesilapan lalu, pasangan dinasihatkan bermuhasabah diri dan benar-benar mengenali pasangan sebelum mengambil sesuatu keputusan.

“Sepanjang mengendalikan kaunseling di kalangan pasangan, ada wanita yang memilih calon suami itu atas faktor lelaki itu kacak kerana mahu memuaskan hati. Sikap atau perwatakan pasangan yang mata keranjang tidak diselidik terlebih dulu.

“Apabila berlaku perselisihan faham, tentunya sukar untuk si isteri menerima hakikat yang dirinya dipermainkan sekali lagi. Untuk itu, dalam soal memilih pasangan selain jodoh dan ketentuan, seboleh-bolehnya jangan memilih lelaki itu hanya kerana paras rupa semata-mata.

“Tidak salah memilih lelaki yang kurang kacak tetapi ada ciri-cirinya yang istimewa, bukan buaya darat tetapi si dia amat menyenangkan hati serta bertanggungjawab. Sekiranya memilih lelaki kacak sedangkan dia meneruskan sikap lama sehingga membuatkan pasangan menderita, dibimbangi isteri akan mengambil jalan keluar untuk bercerai lagi,” katanya.

Dr Azhar tidak menafikan dalam kajiannya, hampir 80 peratus lelaki yang berkahwin menjurus untuk berlaku curang atau ada hubungan dengan perempuan lain. Untuk itu, katanya, penting bagi wanita yang pernah hancur rumah tangganya dan ingin berkahwin lagi berhati-hati selain menanam rasa curiga terhadap suami demi mengelak keruntuhan berulang.

“Apa yang penting, luahkan atau senaraikan kebaikan serta keburukan masing-masing sebelum berkahwin. Putuskan segala perhubungan supaya tidak timbul masalah di luar jangkaan. Selebihnya, setiap orang harus melihat diri sendiri akan keburukan atau mengkaji punca perceraian lalu sebagai iktibar. Pastikan punca perceraian sebelumnya tidak menjadi titik hitam dalam rumah tangga.

“Sekiranya matlamat perkahwinan kedua atau seterusnya ini hanya sebagai jalan keluar atau mengisi kekosongan semata-mata, tidak mustahil akan mengundang petaka jika tidak berwaspada,” katanya.

Beliau tidak menafikan kemungkinan bercerai untuk perkahwinan seterusnya itu jika hanya melihat kesilapan di satu pihak. Misalnya, jika si wanita memilih untuk bergelar isteri kedua, dikhuatiri si suami masih ada isteri pertama dan tanggungjawabnya terhadap anak-anak dan isterinya masih ada tetapi dia mengabaikan satu pihak yang pasti menimbulkan banyak rentetan masalah.

“Lazimnya, masalah dalam perkahwinan bukan hanya berpunca daripada ketidakmampuan untuk berlaku adil dalam soal nafkah zahir dan batin tetapi punca segala permasalahan yang dikenal pasti adalah pentadbiran kewangan.

“Ada kes membabitkan suami ada wanita lain atau banyak perkara lain yang melanda. Namun apabila diselidik, kebanyakannya berpunca daripada masalah kewangan misalnya apabila suami berkahwin lagi.

“Mungkin kebahagiaan yang dirasa hanya pada permulaan perkahwinan tetapi lama-kelamaan masalah yang melanda suami seperti tuntutan nafkah oleh isteri pertama atau masalah berkaitan anak-anak turut tercetus sehingga akhirnya diambil jalan singkat.

“Berdasarkan kes yang berlaku, perkahwinan kedua juga dirasakan tidak selamat jika cepat hilang pertimbangan. Kajian di Barat mendapati, 60 peratus perceraian berlaku selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga. Jadi, harus ditanamkan sikap bahawa kegembiraan itu tidak berterusan, perkahwinan tidak sama masa bercinta. “Realiti hidup berumah tangga tidak selamanya gembira bahkan, ia sesuatu yang subjektif,” katanya.

Nasihatnya, mereka yang pernah gagal harus lebih berhati-hati dan berbincang sebaiknya jika tidak mahu kegagalan berulang.

Mengenai soal persefahaman, beliau tidak menafikan bahawa persamaan minat atau cita rasa pasangan mampu membuatkan sesebuah perhubungan itu bertahan lama.

“Tidak dinafikan jika anda dan pasangan punya minat atau kecenderungan sama, ia bakal mengekalkan kelangsungan perhubungan berbanding mereka yang tidak sefahaman dalam pelbagai aspek. “Ini kerana sukar untuk mencapai kata sepakat jika kedua-duanya membawa haluan berbeza dalam rumah tangga yang baru dibina walaupun ia kali kedua atau kali ke berapa sekalipun,” katanya.

1 comment:

  1. utk membina rumahtangga mudah.. tp untuk menjaganya amat payah kerana ada saja masalah yang menimpa.. jika tidak kene.. silap2 boleh bergegar arasy... selalula berdoa minta keberkatan daripada Yang Maha Esa... amin

    ReplyDelete