728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

15 October 2009

NABI MUHAMMAD MANUSIA PALING BERPENGARUH

Nabi Muhammad manusia paling berpengaruh | Rahsia , Al-Islam, Muslim, Sejarah, Ceramah ISLAM
BUKU yang paling menjadi bacaan di seluruh dunia, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. (Terbitan New York: Carol Publishing Group/Citadel Press) karya Michael H. Hart yang diterbitkan pada 1978 telah menimbulkan kejutan apabila penulis meletakkan Nabi Muhammad SAW menduduki tempat paling teratas sebagai individu yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia!

Ramai yang mempersoalkan pemilihan beliau itu lebih-lebih lagi sebagai penulis Barat beliau sewajarnya menobatkan Nabi Isa a.s yang dikatakan mempunyai lebih ramai pengikut yang menganut Kristian.

Alasan Hart, Rasulullah melebihi Nabi Isa apabila didapati Baginda tidak sahaja sebagai pesuruh Allah dan nabi terakhir di muka bumi. Namun yang jelas Baginda mempunyai ketokohan yang sangat tinggi sebagai diplomat, ahli perniagaan, ahli falsafah, pemidato, pakar undang-undang, ahli pembaharuan dan pemimpin tentera serta ketua keluarga.

"Saya memilih Muhammad bagi mengetuai senarai manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah mungkin mengejutkan sesetengah pembaca dan dipersoalkan oleh sesetengah yang lain.

"Akan tetapi Baginda merupakan satu-satunya dalam sejarah dunia yang mencapai kejayaan yang paling gemilang yang tidak sahaja dalam agama malah di peringkat sekular (dunia)," kata Hart.

Jika Hart mampu mengenali Rasulullah sebegini dekat, bermakna penulis buku ini begitu mengkaji seluruh sejarah riwayat hidup sehingga kewafatan Baginda.

Lebih-lebih lagi kepada umat Islam itu sendiri yang setiap kali mengucapkan kalimah syahadah mengakui sepenuh hati bahawa Baginda adalah pesuruh Allah, adakah mereka sendiri mengenali Baginda?

Belum terlambat apatah lagi dengan adanya sebuah buku yang diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada 2004 yang kemudian di ulang cetak pada 2006 dan 2008.

Buku Sirah Nabawiyyah SAW setebal 733 halaman muka surat ini diterbitkan selepas memenangi Johan Sayembara Penulisan Sirah Nabawiyyah anjuran Rabitah Al Alam Al Islami.

Buku ini pada asalnya ditulis oleh pensyarah di Universiti Salafiyyah al Sheikh Safiyyu al Rahman al Mubarakfuri yang diterbitkan oleh Dar al Basyir Tanta, Mesir yang kemudian diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Muhammad Ramzi Omar.

Tugas menterjemah sesungguhnya bukan mudah, tidak ramai yang sanggup mendepani cabaran dengan tanpa meninggalkan sepatah perkataan pun untuk diterjemah.

Namun ternyata Muhammad Ramzi mampu melaksanakan tugas sukar ini bagi membuktikan demi kecintaan kita terhadap Rasulullah, buku ini akhirnya berjaya dihasilkan.

Buku ini tidak menceritakan mengenai Baginda Rasulullah dari detik kelahirannya di muka bumi ini.

Namun penulis buku menjelaskan kepada pembaca mengenai peri pentingnya kepada mereka untuk mengetahui sejarah Tanah Arab itu sendiri terlebih dahulu.

Penulis perlu mengambil 'masa' sedikit, terutama mengenali bangsa Arab dan kerajaan-kerajaan awal yang memerintah di pelbagai wilayah di Semenanjung Arab.

Ini membawa kepada gambaran mengenai keadaan politik, ekonomi dan sosial bangsa tersebut sebelum kelahiran Nabi Muhammad.

Ini semua bagi membolehkan para pembaca menjadi lebih jelas dan memahami siapa sebenarnya bangsa Arab dan peristiwa-peristiwa yang sehingga membawa kepada turunnya agama Islam secara rasmi.

Begitupun di peringkat permulaan bagi mengambil apa yang disifatkan sebagai yang wajib tahu mengenai sirah Rasulullah dari buku ini, mungkin perlu dinukilkan terlebih dahulu mengenai Rasulullah secara fizikal.

Walaupun ramai mengetahui gambaran-gambaran wajah, tubuh dan keperibadian Baginda seperti diceritakan dari mulut ke mulut atau bahan bacaan, namun jarang terdapat ia diungkap dari mulut mereka yang pernah menemui atau yang sezaman dengan Rasulullah itu sendiri.

Anak angkat, menantu yang juga merupakan antara sahabat-sahabat besar Rasulullah dalam satu riwayat menceritakan mengenai Baginda.

Saidina Ali bin Abi Talib, berkata Nabi Muhammad, orangnya tidak tinggi melampai dan tidak terlalu rendah, ketinggiannya sederhana di kalangan orang lain. Rambut lebatnya tidak kerinting dan tidak juga lurus tetapi antara keduanya, tidak bermuka cengkung dan tidak tembam.

Mukanya bulat dan putih kemerahan.

Kalau dia berjalan di tanah maka diangkat kakinya tanpa menyeret ke bumi bagaikan sedang berjalan di tanah yang cerun.

Kalau Baginda berpaling maka beliau akan berpaling berserta badannya.

Antara dua belikatnya ada cap kenabian yang menunjukkan Baginda penyudah segala nabi, sebagaimana yang diceritakan oleh seorang rahib Nasrani, Bahira ketika baginda berusia 12 tahun dibawa bapa saudaranya, Abu Talib berdagang di Syam. "Sesungguhnya aku mengenalinya dengan cap kenabian di bawah tulang belikatnya seperti buah epal. Kami dapatinya ada disebutkan dalam kitab-kitab kami".

Sementara Ummu Ma'bad al Khuzaiyyah menceritakan mengenai Baginda kepada suaminya tatkala Rasulullah singgah di khemah mereka dalam hijrahnya.

"Seorang yang ketara keseriannya, putih mukanya, baik akhlaknya, tidak merasai beban oleh badan yang besar, tidak boleh diperlekehkan kerana kepalanya yang kecil, indah rupa paras dan menarik perhatian, luas dan tampak jelas mata putih dan mata hitamnya, rambutnya lebat, suaranya serak-serak basah, lehernya jinjang, mata hitamnya sangat ketara, tampak urat lengannya, alisnya nipis, kening bercantum dan rambutnya sangat hitam.

"Kalau Baginda diam nampak nyata kehebatannya dan kalau dia berbicara nampak nyata keterampilannya, manusia paling menawan dan paling menarik jika dipandang dari jauh, paling cantik dan manis dari dekat..." kata Ummu Ma'bad.

Al Barra berkata, Baginda ialah orang yang paling tampan wajahnya dan paling indah akhlaknya.

Al Rubayyi binti Mu'awwidh berkata; "Kalau engkau melihat Baginda, bagaikan engkau melihat matahari yang terbit".

Abu Hurairah pula berkata; "Tidak pernah ku melihat sesuatu pun yang lebih indah daripada Rasulullah bagaikan matahari berarak di mukanya. Tidak pernah aku lihat seorang yang lebih cepat berjalan daripada Rasulullah bagaikan bumi dilipatkan untuknya dan kami terpaksa mengagahi diri kami sedangkan Rasulullah berjalan bersahaja".

Tulisan yang diambil sebahagian daripada banyak lagi cerita mengenai gambaran fizikal Rasulullah dari bab terakhir di buku ini, tidak bertujuan memberikan ilham kepada mana-mana pihak untuk menggunakan kepakaran dalam seni lukis bagi menghasilkan lukisan Rasulullah secara fizikal.

Ini kerana sebaik mana atau sehebat manapun potret yang dilakar tidak akan menyamai mengenai gambaran sebenar Rasulullah.

Selain perkara ini diharamkan dilakukan oleh mana-mana pihak.

Namun tidak lebih gambaran ini bagi menambahkan kecintaan kita kepada Rasulullah sebagaimana yang sering diungkap; "Dari mana datangnya cinta, dari mata jatuh ke hati!"

Terkadang sebelum kita berkongsi kepayahan yang terpaksa dilalui oleh Rasulullah dalam tugas Baginda menyebarkan Islam perlu 'menampakkan' terlebih dahulu siapa Baginda.

Sirah Rasulullah bukan sebarang catatan memoir. Ini kerana jika Baginda diiktiraf sebagai manusia paling berpengaruh di muka bumi ini bererti penceritaan kisah dan sejarah Baginda bukan sebarangan.

Ini kerana al-Quran turut memaparkan segala kisah Rasulullah bagi mengesahkan segala kebenaran mengenai pesuruh Allah ini dan buku ini memperkayakan lagi khazanah pengetahuan mengenai Baginda.

dipetik dari http://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/681/muhammad-manusia-paling-berpengaruh


sales@rahsiaperkahwinan.com

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]

sales@rahsiaperkahwinan.com
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: NABI MUHAMMAD MANUSIA PALING BERPENGARUH Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top