Breaking News

NABI IBRAHIM ISMAIL DIRIKAN KAABAH

Nabi Ibrahim , Ismail dirikan Kaabah | Rahsia , Al-Islam, Muslim, Sejarah, Ceramah ISLAM
“DAN bacakanlah di dalam Kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya dia adalah benar janjinya, dan dia seorang Rasul lagi berpangkat nabi.” (al-Quran, surah Maryam:54)

Nabi Ismail a.s adalah putera kepada Nabi Ibrahim a.s melalui Hajar yang dilahirkan di Palestin ketika bapanya itu berusia 87 tahun, tetapi kemudian dibesarkan di Makkah al-Mukarramah.

“Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kepadaku ketika tua, Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar doa permohonan.” (al-Quran, surah Ibrahim:39)

Kelahiran baginda sangat menggembirakan hati bapanya, sebagaimana kesyukuran yang dipanjatkan bapanya, Nabi Ibrahim dalam petikan ayat di atas.

Makkah, tempat baginda dibesarkan dahulunya kawasan lembah yang tandus, tetapi bertukar menjadi subur dan terus mencapai kemakmuran berpunca daripada doa Nabi Ibrahim dan sehingga hari ini menjadi tumpuan dunia.

Di situ jugalah permulaan kemunculan mata air zam-zam, selepas Hajar berusaha mencari air untuk diberikan kepada puteranya, Nabi Ismail.

Nabi Ismail berkahwin dengan wanita puak Jurhum.

Baginda dan bapanya manusia yang mula-mula membina Kaabah.

Bapanya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Ismail, sesungguhnya Allah memerintahkan kepadaku dengan suatu perintah.”

Lalu Nabi Ismail berkata: “Terangkanlah kepadaku.”

Nabi Ibrahim menerangkan: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kepadaku supaya membangunkan sebuah rumah di sumber zam-zam.”

Dua beranak itu kemudian gigih membina rumah Allah (Baitul Atiq). Nabi Ismail membawa batu sedang Nabi Ibrahim menjadi tukangnya.

Kata Nabi Ibrahim berkata kepada Nabi Ismail: “Bawakan batu yang baik kepadaku untuk aku letakkan di satu sudut supaya ia menjadi tanda kepada manusia.”

Selepas itu Nabi Ismail mendapat ilham daripada Jibril supaya mencari batu hitam untuk diserahkan kepada bapanya.

Setiap kali bangun, mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Dalam satu lagi kisah, Nabi Ibrahim singgah di rumah Nabi Ismail untuk bertanya keadaan anak menantunya.

Disebabkan Ismail tiada, Nabi Ibrahim hanya bercakap dengan menantunya (isteri Ismail).

Menantunya berkata, mereka sekeluarga berada dalam kesempitan. Lalu Nabi Ibrahim berkata: “Apakah kamu mempunyai jamuan, makanan dan minuman?”

Jawab isteri Nabi Ismail: “Aku tidak mempunyainya, malah apa pun tiada.”

Kelakuan isteri Nabi Ismail itu tidak manis dipandang Nabi Ibrahim kerana kelihatan tidak reda terhadap nikmat Allah dan jemu hidup bersama suaminya, malah bersifat kedekut kerana tidak mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Nabi Ibrahim berpesan kepada menantunya itu: “Jika suamimu kembali, sampaikanlah salamku kepadanya dan katakan kepadanya supaya dia menggantikan pintunya.”

Sejurus kemudian, Nabi Ismail pulang lalu bertanya kepada isterinya: “Apakah ada orang datang menemui kamu?”

Isterinya berkata: “Ya, ada orang tua mengunjungi kita.”

Nabi Ismail berkata: “Apakah dia mewasiatkan sesuatu kepadamu?”

Isterinya berkata: “Ya, dia menyuruhku menyampaikan salam kepadamu dan memintaku mengatakan kepadamu supaya menggantikan pintumu.”

Nabi Ismail berkata: “Dia adalah bapaku. Sesungguhnya dia menyuruhku supaya menceraikanmu, maka kembalilah kepada keluargamu.”

Selepas menceraikan isterinya, Nabi Ismail berkahwin lain dan kali ini dengan seorang lagi wanita daripada puak Jurhum.

Isteri baru itu mendapat reda bapanya kerana pandai menghormati tetamu, tidak menceritakan perkara yang menjatuhkan maruah suami kepada orang lain dan bersyukur dengan nikmat Allah.

Nabi Ismail hidup bersama isteri barunya itu hingga melahirkan beberapa orang anak.

Baginda mempunyai 12 anak lelaki dan seorang anak perempuan yang dikahwinkan dengan anak saudaranya iaitu Al-‘Ish bin Ishak.

Semua anak lelakinya menjadi pemimpin kabilah dan nama mereka diterangkan dalam Taurat.

Daripada keturunan Nabi Ismail mewujudkan bangsa Arab terkenal dengan keturunan Mustakribah, kemudian sampai kepada kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Pada satu ketika, Nabi Ibrahim bermimpi menyembelih Ismail, lalu disampaikan perkara itu kepada anaknya. Dijawab Nabi Ismail: “Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapati aku termasuk orang yang sabar.”

Al-Quran menjelaskan perintah sembelih terhadap Ibrahim itu adalah Ismail.

Kemudian Allah memberikan khabar gembira kepada Ibrahim dengan kelahiran seorang lagi putera iaitu Ishak.

Walaupun menjadi korban, Nabi Ismail sempat menjalani kehidupan selama 137 tahun.

Baginda wafat di Makkah lalu dimakamkan di sisi kubur ibunya di al-Hijr.

Tetapi Taurat menerangkan, baginda meninggal dunia di Palestin dan dimakamkan di situ.

Bagaimanapun, menurut ahli sejarah Arab, Nabi Ismail meninggal dunia dan dimakamkan di Makkah.

-myMETRO -

No comments