728x90 AdSpace

Rahsiaperkahwinan.com dimiliki penuh oleh RP Network dan ianya ditubuhkan sejak tahun 2005

Latest News

05 August 2009

Rahsia disebalik kanta lekap | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA


Mahu bergaya atau undang bahaya?

KETIKA mula diperkenalkan, kanta lekap tidak lebih daripada pengganti kaca mata. Golongan berkaca mata yang rimas menyarung 'teropong' mereka ini, boleh beralih kepada kanta lekap untuk mencari kelainan biarpun sukar melakukannya kali pertama.

Seiring perkembangan bidang optometri dan fesyen, kanta lekap sudah berubah fungsinya. Sekarang, kanta lekap berwarna makin popular digayakan ramai orang - baik golongan selebriti mahupun individu yang teringin tampil berbeza.

Kanta lekap kini sudah dianggap aksesori berbanding fungsi asalnya. Kanta lekap berwarna makin digemari pelbagai peringkat usia dan mudah didapati pada harga murah.

Akibat permintaan tinggi, ada pihak memandang mudah soal penjualan kanta lekap. Menurut prosedur betul, penjualan kanta lekap perlu dilakukan optometris bertauliah yang memeriksa mata pengguna terlebih dulu bagi menentukan kesesuaian penggunaan kanta lekap.

Namun, berbeza pula keadaannya sekarang. Kebanyakan pengguna lebih mementingkan produk murah berbanding aspek keselamatan dalam penggunaan kanta lekap. Rata-rata mereka tidak merujuk kepada optometris sebelum mendapatkan kanta lekap. Malah ada yang membeli kanta lekap melalui internet dan pasar malam.

Bagi individu yang menggunakan kanta lekap tanpa merujuk optometris, risiko mengalami masalah mata adalah tinggi. Antara masalah yang boleh dihadapi pengguna kanta lekap ialah jangkitan, alahan hingga lebih kronik, risiko menjadi buta.

Sehubungan itu, individu yang ingin menggunakan kanta lekap, sama ada untuk pembetulan penglihatan atau tidak, perlu membuat pemeriksaan mata dengan optometris bertauliah.

sales@rahsiaperkahwinan.com

Bagi memberi penjelasan lanjut mengenai pemakaian kanta lekap, kolum Tanya Pakar menemubual Perunding Optometris, Prof Madya Dr Bariah Mohd Ali dari Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kata Prof Bariah, penjualan kanta lekap oleh pihak tidak bertauliah dalam bidang kesihatan mata cukup membimbangkan. Lebih teruk, katanya, ada pihak berkongsi kanta lekap dan menyewakannya kepada individu berbeza tanpa menyedari langkah itu mengundang padah.
Apakah fungsi kanta lekap sama dengan cermin mata?

Seperti cermin mata, kanta lekap adalah sejenis alat bantuan penglihatan. Cuma, berbeza dengan cermin mata yang berbingkai dan pemakaiannya boleh dilihat, kanta lekap pula diperbuat daripada plastik, lebih kecil, nipis, ringan dan melekap pada mata.

Bukan itu saja, ada juga kanta lekap yang berwarna. Kebanyakannya bukan hanya digunakan sebagai alat bantuan penglihatan sebaliknya sebagai kosmetik. Ini bertujuan menampakkan warna iris yang berbeza daripada asal.

Kanta lekap juga digunakan untuk tujuan terapeutik (rawatan) bagi sesetengah masalah mata. Antaranya myopia (rabun jauh), perbezaan tahap ketinggian rabun antara kedua-dua belah mata yang jauh berbeza (anisometropia) atau masalah mata silau yang agak serius.

Penyakit begini lebih sesuai dirawat dengan penggunaan kanta lekap khusus.

Apakah jenis kanta lekap yang ada di pasaran sekarang?

Secara ringkasnya, ada dua jenis kanta lekap iaitu kanta lekap lembut dan keras. Kebanyakan kanta lekap yang ada di pasaran sekarang adalah dari jenis lembut. Kanta lekap keras turut dipanggil RGP (rigid gas-permeable) yang diperbuat daripada plastik keras dan lebih tahan lama.

Kanta lekap jenis ini membenarkan oksigen melalui kanta dan tempoh hayatnya lebih lama. Cuma, ia tidak sesuai untuk dipakai ketika melakukan aktiviti fizikal lasak.

Kanta lekap lembut pula kebanyakannya jenis pakai buang, sama ada harian, mingguan atau bulanan. Kanta lekap begini lebih selesa, boleh mengubah warna mata dan boleh dipakai ketika melakukan aktiviti fizikal lasak manakala tempoh jam pemakaiannya lebih lama.

iklan@rahsiaperkahwinan.com

Adakah semua orang sesuai memakai kanta lekap?

Kanta lekap memang selamat selagi pengguna mendapat nasihat daripada optometris serta mengamalkan rutin penjagaan yang baik. Bagi yang mempunyai mata yang sihat, tidak ada masalah bagi mereka menggunakan kanta lekap.

Dari segi usia juga, tidak ada had usia untuk seseorang menggunakan kanta lekap. Ini kerana dari segi rawatan perubatan, ada kes di mana bayi diberikan kanta lekap terapeutik untuk merawat masalah pada mata mereka.

Namun, bagi sesetengah individu, misalnya mereka yang mempunyai mata jenis kering, menghidap sebarang jenis penyakit okular (mata), wanita mengandung atau mereka yang sedang mengambil ubat-ubatan untuk penyakit yang serius, tidak sesuai menggunakan kanta lekap. Ini kerana dalam keadaan seperti yang dinyatakan, mata mereka biasanya lebih sensitif, mudah berlaku edema dan sebagainya.

Sehubungan itu, pemakaian kanta lekap mungkin boleh menimbulkan komplikasi kepada mata mereka. Penilaian untuk menentukan penggunaan kanta lekap perlu dilakukan menggunakan lampu celah biomikroskop serta pemeriksaan dan nasihat mengenai penjagaan daripada optometris. Ini penting bagi mendapatkan pemasangan kanta lekap yang optimum.
Apakah penyebab masalah mata berpunca daripada pemakaian kanta lekap?

Antara punca yang lazim dilihat ialah amalan penggunaan kanta lekap itu sendiri. Ada individu menggunakan kanta lekap lebih daripada tempoh yang sepatutnya termasuk memakainya ketika tidur malam.

Memang dari segi keadaan fizikal, kanta lekap nampak masih elok tapi dari segi fungsi dan material, ia mungkin tidak lagi selamat digunakan. Ramai yang masih menggunakan kanta lekap biarpun tamat tempoh atas alasan tidak merasai apa-apa perubahan atau masalah.

Mereka seharusnya tahu, kesan masalah ini tidak dapat dilihat dalam tempoh yang singkat. Kesannya akan berlaku dalam jangka panjang. Selain pemakaian yang melebihi tempoh sepatutnya, masalah juga boleh timbul daripada cucian dan simpanan kanta lekap yang tidak sempurna.

Bekas simpanan kanta lekap yang kotor juga boleh mengundang jangkitan bakteria. Oleh itu, bekas kanta lekap mesti dicuci setiap minggu dan diganti sekurang-kurangnya setiap tiga bulan.

Justeru, bagaimanakah cara penjagaan kanta lekap yang betul?

Paling utama dalam penggunaan kanta lekap adalah kebersihan. Ini termasuklah tangan, kuku, bekas simpanan dan apa saja yang terbabit dengan pemakaian kanta lekap.

Kanta perlulah dicuci dengan larutan khusus dan disimpan dalam larutan yang khusus untuk kanta lekap. Penggunaan ubat titis mata juga mesti digunakan mengikut keperluan.

Jangan pakai kanta lekap melebihi tempoh yang sepatutnya dan dari semasa ke semasa, jumpa optometris untuk melakukan pemeriksaan mata walaupun anda pengguna kanta lekap yang tidak mempunyai kuasa untuk pembetulan penglihatan.


iklan@rahsiaperkahwinan.com
Bagaimana jika seseorang memakai kanta lekap ketika berenang?

Sebenarnya, pemakaian kanta lekap ketika berenang tidak digalakkan kerana keadaan air kolam yang tidak begitu bersih boleh menyebabkan jangkitan. Sehubungan itu, mereka disaran memakai kanta lekap berserta dengan gogel.

Jika tidak mahu memakai gogel, mereka boleh memakai kanta lekap dengan syarat ia perlu ditanggalkan sebaik saja keluar dari kolam. Kanta lekap berkenaan perlu dicuci manakala mata pula perlu dibiarkan berehat sebelum memakai kanta semula.

Apakah rawatan yang biasanya diberikan kepada mereka yang mengalami masalah mata akibat penggunaan kanta lekap?
Ini bergantung kepada masalah yang dihadapi pesakit. Apabila berjumpa optometris, mereka harus ceritakan masalah mata yang mereka hadapi dan rutin pemakaian kanta lekap supaya punca boleh dikesan.

Bagi kebanyakan kes, pesakit biasanya akan diberikan ubat titis atau diberikan produk kanta lekap yang bersesuaian.

Akhir sekali, apakah nasihat kepada pengguna atau bakal pengguna kanta lekap?

Mata adalah organ yang penting dalam kehidupan kita. Oleh itu, amat penting bagi kita untuk memeliharanya dengan baik. Jika anda ingin memakai kanta lekap, dapatkan maklumat secukupnya terlebih dulu sebelum membelinya.

Pastikan anda mendapatkan kanta lekap daripada pihak yang bertauliah dan lakukan pemeriksaan bagi mendapatkan kanta lekap sesuai. Seperkara lagi, amalkan rutin penjagaan yang betul dan berdisiplin untuk mengelak komplikasi yang boleh menimbulkan masalah pada penglihatan anda kemudian hari.

Pihak bertanggungjawab juga diharap dapat memantau dan mengawal penjualan kanta lekap oleh pihak tidak bertauliah.
Tip

# Bagi pengguna baru, ada tentu keliru bahagian dalam atau luar kanta lekap. Perbezaan mungkin tidak ketara tetapi pastikan ia kelihatan seperti separuh bola. Letakkan kanta lekap pada jari hingga terlihat bentuk yang dikatakan. Kemudian, bawa kanta dengan bahagian ‘dalam cawan’ menghadap mata anda. Jika kanta yang dipakai berbentuk U sempurna, bermakna itulah posisi betul.

Sesetengah kanta lekap mempunyai tanda laser, misalnya jenama produk. Ini juga boleh membantu menentukan bahagian dalam atau luar kanta lekap.

# Pastikan anda membasuh tangan dengan sempurna sebelum memakai kanta lekap. Elak menggunakan sabun yang terlalu banyak kandungan pewangi, minyak atau produk yang mengandungi lanolin yang boleh melekat pada permukaan kanta lekap. Sesetengah doktor menasihatkan supaya memakai kanta lekap yang sama pada mata sama.

# Sentiasa pastikan anda mencuci tangan sebelum mengeluarkan kanta lekap. Jika anda berdiri di depan sinki, pastikan anda menggunakan tisu yang bersih untuk menutup lubang saluran sinki bagi mengelak kanta lekap terjatuh ke dalamnya.

# Untuk mengeluarkan kanta lekap, pandang atas atau sisi sambil menarik bahagian bawah mata. Dengan menggunakan jari, gerakkan kanta lekap secara perlahan-lahan dan berhati-hati ke bahagian putih mata anda. Dari situ, kepit kanta lekap perlahan-lahan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari dan keluarkan dari mata.

# Peringatan, jangan sesekali berkongsi kanta lekap. Ini boleh mengundang padah pada mata anda.

sumber berita harian

Ingin Letak Iklan ANDA di RAHSIA PERKAHWINAN ?
EMAIL KEPADA admin@rahsiaperkahwinan.com

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Rahsia disebalik kanta lekap | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top