Breaking News

PUASA PERKUKUHKAN SILATURAHIM

Puasa perkukuh silaturahim islam | Rahsia , Al-Islam, Muslim, Sejarah, Ceramah ISLAM
Muslim wajib jaga tutur kata, pertingkat tingkah laku baik agar mendapat ganjaran pahala

Beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadan dengan berpuasa, bulan yang penuh barakah. Di mana permulaannya rahmat, manakala pertengahannya pengampunannya dan akhirnya merdeka daripada api neraka. Bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk untuk semua manusia. Bulan yang dibuka Allah SWT pintu syurga dan ditutup pintu neraka dan diikat semua syaitan. Bulan kemenangan Islam dalam peperangan Badar dan penaklukan Kota Makkah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Allah berfirman, Setiap amalan anak Adam adalah untuk-Nya melainkan puasa, sesungguhnya ia untukKu dan Akulah yang akan memberi ganjarannya, puasa itu adalah perisai. Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar. Jika seseorang mencacimu katakanlah kepadanya: "Saya berpuasa, saya berpuasa. Demi tuhan yang diri Muhammad di tangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan yang akan diraikannya, ia gembira ketika berbuka dan apabila bertemu Tuhannya ia bergembira dengan berpuasanya". (Riwayat Al-Bahari).

Sepanjang Ramadan kita dapati ikatan ukhwah di kalangan umat Islam amat kukuh melalui rasa bertanggungjawab dan sifat ambil tahu dengan menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan melampaui batasan geografi.

Puasa juga dilihat berkeupayaan merapatkan hubungan sesama insan, bukan hanya hubungan dalam kekeluargaan semata-mata. Persaudaraan yang kukuh mampu dibina apabila seseorang itu dapat mengawal tutur kata, tingkah laku, perbuatan untuk diberi perhatian agar ibadat puasa tidak menjadi sia-sia daripada mendapat ganjaran pahala.

Secara amalannya, ibadat puasa berupaya membentuk satu sistem pendidikan dan latihan bagi mendekatkan diri kepada Allah , ia bukan semata-mata menahan lapar dan dahaga, tetapi ia meliputi seluruh anggota tubuh badan seperti mata, telinga, mulut dan lain-lain anggota yang perlu dilatih dan dibentuk untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.

Selain daripada itu puasa berkeupayaan membina kesihatan yang lebih teratur, terurus dan mantap. Daripada aspek kesihatan, semua disebut itu adalah perkara asas bagi menjamin tahap kesihatan jasmani dan rohani seseorang.

Puasa melatih manusia supaya tidak gelojoh apabila menjamu selera terutama sekali ketika berbuka puasa, memilih makanan yang berzat seperti manisan dan makan hanya sekadar membina kekuatan untuk melaksanakan ibadat.

Dalam konteks berpuasa, seseorang itu dituntut mengawal perasaan marah dan banyak bersabar serta mengamal sikap bertolak ansur. Setiap individu digalak membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti berunsur amalan ibadat, seperti bertarawih dan bertahajud. Ketika berbuka puasa dan bersahur, ahli keluarga berpeluang berinteraksi antara satu sama lain secara produktif.

Kepada yang mudah hilang kawalan diri, seperti cepat marah dan menjadi panas baran, inilah bulannya untuk bertukar sikap bagi menjadi individu lembut hati dan penyayang. Rasulullah SAW bersabda, "Ramadan adalah bulan kesabaran. Justeru, semestinya Ramadan dijadikan bulan untuk mendisiplinkan diri supaya sahsiah dan personaliti kita menjadi lebih sempurna apabila tiba Syawal. Oleh itu, perlu diingat dalam kita beramal ibadah terutama dalam menyediakan jamuan dan menghulurkan sedekah atau apa-apa juga pemberian janganlah timbul perasaan di dalam hati untuk menunjuk-nunjuk atau ingin membanggakan diri kerana perbuatan sedemikian dilarang dan dimurkai oleh Allah SWT, bahkan boleh menyebabkan amalan yang kita lakukan itu menjadi sia-sia.

Peliharalah kesucian Ramadan dengan melaksanakan ibadat puasa disamping menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang boleh mengurang dan merosakkan ibadat puasa kita seperti mengumpat, bercakap bohong, melakukan perkara yang sia-sia, melihat perkara yang memberangsangkan nafsu syahwat, mendengar ucapan yang kotor dan keji, bertengkar sesama insan yang membawa kepada perkelahian dan perbalahan serta apa juga perbuatan atau amalan yang membawa dan mendorong kepada kejahatan, perbuatan yang keji dan dosa.

Pastikan diri kita tidak meninggalkan kewajipan puasa Ramadan sebaliknya orang yang meninggalkan kewajipan puasa Ramadan tanpa sebab dan alasan, ingatlah pesanan Rasulullah SAW, "Rugilah seseorang yang datang kepadanya Ramadan, dia membiarkannya berlalu begitu saja sebelum dosanya diampunkan". ( Hadis Riwayat At-Tarmizi)

-Dewan Amal Islami (DAMAI)-

No comments