728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

20 August 2009

KEBERKATAN BULAN RAMADHAN


Kedatangan bulan Ramadan menandakan telah berakhirnya bulan Syaaban. Ramadan adalah bulan yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam di dunia ini.

Bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan yang mempunyai pelbagai kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Bulan yang juga dikenali sebagai bulan untuk kita berpesta ibadah.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada kita bagaimana untuk kita menghayati kedatangan bulan ini . Apakah kelebihan bulan ini sehingga dinanti-nanti oleh sesetengah umat Islam, khususnya mereka yang ingin meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Bulan Ramadan adalah bulan yang disebut oleh Allah s.w.t dengan jelas sekali di dalam firmannya yang bermaksud: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran. (al-Baqarah: 185).

Di dalam ayat ini bukankah Allah s.w.t dengan jelasnya menyebut tentang bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan Islam lain yang tidak disebut secara nyata oleh Allah s.w.t. Ini adalah sebagai pengiktirafan Allah s.w.t di dalam al-Quran tentang kelebihan bulan ini.


RAIHAN feat. MAN BAI | HARAPAN RAMADHAN | DOWNLOAD LAGU | MP3

Panduan

Al-Quran adalah petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi panduan yang memperjelaskan antara yang benar dan yang batil. Al-Quran adalah sumber untuk mencari ketenangan di dunia dan mencari keredaan Allah s.w.t di akhirat seperti mana maksud firman Allah s.w.t: Menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 185).

Sebagai bulan yang penuh dengan kerahmatan, maka Allah s.w.t memilih Ramadan sebagai bulan yang diturunkan kitab yang paling mulia ini sebagai panduan kepada manusia. Kelebihan ini telah diperkukuhkan dengan maksud firman Allah: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran. (al-Baqarah : 185).

Bulan Ramadan juga mengandungi satu malam yang lebih baik dari seribu malam. Malam tersebut dikenali sebagai Lailatul Qadr. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (Al-Qadr: 1-3)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah s.w.t menurunkan al-Quran pada malam Lailatul Qadr, dan al-Quran pula jika kita rujuk kepada ayat 185 surah al-Baqarah diturunkan pada bulan Ramadan.

Maka ini juga merupakan satu kelebihan yang dianugerahkan pada bulan Ramadan. Ibadah puasa merupakan ibadah yang diwajibkan kepada umat Islam dan umat terdahulu, perkara ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam firmannya yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh baginda s.a.w, ibadah puasa telah difardukan kepada umat sebelumnya. Tetapi cara perlaksanaan tidak sama seperti ibadah puasa umat nabi Muhammad. Sesungguhnya Allah s.w.t telah memilih bulan Ramadan sebagai bulan yang diwajibkan kepada umat Islam untuk berpuasa.

Bulan-bulan Islam lain hanyalah untuk kita berpuasa ganti atau nazar. Ibn Abbas meriwayatkan: Rasulullah s.a.w tidak pernah berpuasa satu bulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Ini merupakan kurniaan Allah s.a.w kepada umat Islam di bulan Ramadan. Maka sama-sama kita berusaha untuk melaksanakannya dengan sempurna.

Pada bulan Ramadan juga umat Islam disunatkan solat tarawih secara berjemaah di masjid. Solat tarawih merupakan ibadah khusus yang disyariatkan oleh Allah s.w.t pada malam bulan Ramadan sahaja.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang malam pada bulan Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu. (riwayat Muslim).

Solat ini kenali sebagai solat tarawih kerana setiap empat rakaat, jemaah akan berehat seketika. Jika kita perhatikan jemaah pada zaman ini, selepas empat rakaat, jemaah akan berselawat ke atas nabi s.a.w. Allah s.w.t juga telah membuka semua pintu-pintu syurga pada bulan Ramadan.

Sabda nabi s.a.w : “Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga”. Hadis ini membawa kepada maksud yang tersurat dan tersirat.

Seperti yang kita maklum, jika dilihat secara zahirnya, hadis di atas menunjukkan antara tanda apabila datangnya bulan Ramadan, maka Allah s.w.t akan membuka pintu syurga kepada orang- orang yang beriman.

Maksud yang tersirat pula, sesungguhnya pada bulan Ramadan Allah s.w.t memperluaskan keampunannya, di samping melipat gandakan ganjaran kepada hamba-hambanya yang yang melaksanakan ibadahnya dengan sempurna. Selain membuka kesemua pintu syurga, Allah s.w.t juga menutup semua pintu-pintu nerakanya.

Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka. (Riwayat Muslim).

Tujuan Allah s.w.t menutup pintu neraka dan menghentikan seketika azabnya adalah bagi memperlihatkan kepada umat Islam betapa bulan ini dimuliakan oleh Allah s.w.t.

Pada bulan Ramadan juga Allah membelenggu syaitan, seperti mana sabda nabi s.a.w: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. (riwayat Muslim).

Syaitan-syaitan ini dibelenggu supaya memudahkan umat Islam melakukan ibadah tanpa ada gangguan. Ketika itu hanya nafsu yang berperanan dalam menentukan hala tuju ibadah kita dan membolehkan kita menilai sejauh mana tahap keimanan diri kita tanpa ada gangguan syaitan.

Maka tidak mustahil mengapa kedatangan bulan Ramadan ini amat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Bersama-masalah kita menyambut kedatangan Ramadan ini dengan mengerjakan sebanyak mungkin ibadah yang dituntut.

Semoga dengan bermula Ramadan kali ini akan memantapkan keimanan kita sehinggalah Ramadan menjelang lagi.

- utusan malaysia-
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KEBERKATAN BULAN RAMADHAN Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top