Breaking News

GADIS TERJEBAK DALAM MAKSIAT TETAPI TIDAK MELAKUKAN ZINA




Soalan

BAGI seorang gadis bercinta dan terjebak dalam maksiat tetapi tidaklah sehingga melakukan zina, adakah dikira berdosa?

Apakah dosa seseorang diampunkan selepas dia sedar melakukan banyak dosa dan mengaku kesilapan dan menyesal daripada segala yang dilakukan sebelum itu?

JAS,
Kedah

JAWAPAN

MELAKUKAN maksiat kepada Allah dengan mengingkari suruhan dan larangan Allah tetap berdosa. Bagaimanapun, apabila seseorang insaf dan bertaubat kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, dosanya akan terampun.

Bagi dosa kecil boleh terhapus dengan beristighfar, iaitu memohon keampunan kepada Allah. Mengambil wuduk juga dapat menghapuskan dosa kecil.

Dalam bercinta, nasihat saya supaya anda tidak keluar berdua-duaan kerana boleh menjurus kepada dosa besar iaitu zina.

Sebagai ingatan, zina termasuk dalam dosa besar yang perlu dijauhi. Ini kerana ia mempunyai akibat buruk di dunia dan akhirat. Akibat dosa zina, amalan baik tidak dikira kecuali dia kembali bertaubat, beriman dan melakukan amal seterusnya.

Ini jelas apabila Allah berfirman: "Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan digandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan dengan kebaikan; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Furqan (25): 68-70).

DIJAWAB oleh
Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

No comments