Subscribe to web2feel.com
Subscribe to web2feel.com
direncana oleh rahsia perkahwinan 21 May 2009

Penjernihan makna perkahwinan | perkahwinan, malam pertama, pengantin, Wedding Ideas
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

SEJAK kebelakangan ini kita disajikan dengan pelbagai berita sensasi mengenai perkahwinan. Daripada kisah kahwin duda, harga mas kahwin yang tinggi, nilai hantaran yang mewah hinggalah kepada isu-isu yang menyentuh soal peribadi turut menjadi bahan polemik masyarakat segenap lapisan.

Dalam keriuhan media berpesta melaporkan kisah-kisah perkahwinan golongan kenamaan ini, tanpa disedari fikrah masyarakat mengenai perkahwinan semakin dicelarukan. Perkahwinan kini seolah-olah ditanggapi sebagai suatu wahana memperagakan kemewahan dan kekayaan diri hinggakan semacam wujudnya persaingan mengenai harga mas kahwin, nilai hantaran hatta dalam aspek penganjuran majlis-majlis walimah.

Lebih menggusarkan penulis, apabila makna dan falsafah perkahwinan sendiri semakin disongsangkan seolah-olah kebahagiaan dalam perkahwinan hanya mampu terjelma apabila pasangan merupakan golongan hartawan atau model-model rupawan.

Persoalannya apakah sebenarnya matlamat dan falsafah perkahwinan menurut Islam? Adakah kayu ukur kebahagiaan dalam perkahwinan tergantung kepada kekayaan dan kejelitaan semata-mata? Atau apakah sesuatu perkahwinan itu sekadar memenuhi serakah nafsu manusiawi yang tidak mempunyai makna apa-apa?

Yang pasti kayu ukur kebahagiaan perkahwinan bukanlah terletak kepada ketampanan mahupun kejelitaan pasangan semata-mata. Ia juga bukan tergantung kepada kekayaan dan keberadaan pasangan. Amat malang lagi sekiranya masyarakat berterusan dimomokkan dengan persepsi betapa kehebatan perkahwinan diukur sejauh mana gahnya upacara keraian yang dianjurkan ataupun nilai hantaran yang disediakan.

Sebaliknya prinsip-prinsip dan nilai-nilai keagamaanlah yang seharusnya mendasari perhitungan dan menerusi cita rasa umat dalam membentuk perkahwinan yang sempurna dan penuh barakah. Agama semestinya menjadi kayu ukur terpenting dalam memperhitungkan neraca kebahagiaan dan memastikan sesuatu perkahwinan berkekalan hingga ke penghujung hayat insan.

Sebab itulah dalam konteks perkahwinan ini Rasulullah s.a.w. dengan jelas melarang pasangan berkahwin tanpa memperhitungkan faktor agama. Baginda turut memberi amaran tentang natijah buruk sekiranya sesuatu perkahwinan itu berteraskan ketampanan rupa paras ataupun kekayaan harta benda semata-mata:

“Janganlah kamu mengahwini perempuan semata-mata kerana kejelitaannya, kerana mungkin ia akan membawa mereka kepada keburukan. Dan jangan kerana kekayaannya, kerana mungkin ia akan mendorong mereka kepada kezaliman. Sebaliknya kahwinilah perempuan kerana agamanya” (Ibn Majah).

Hadis ini bukanlah bermakna Rasulullah s.a.w. mengharamkan berkahwin dengan pasangan yang tampan dan jelita. Bukan juga bermaksud Islam lebih memperhitungkan perkahwinan dengan pasangan yang papa kedana. Bahkan dalam hadis yang lain kecantikan dan kekayaan juga merupakan sebahagian daripada empat faktor yang perlu diambil kira selain agama dan keturunan dalam memilih pasangan hidup.

Namun faktor agamalah yang lebih utama berbanding keutamaan-keutamaan lain dalam perkahwinan. Ini kerana hanya dengan agama, kebahagiaan hakiki mampu dikecap dalam realiti hidup berkeluarga. Ini sejajar dengan maqasid atau matlamat perkahwinan iaitu untuk mencapai kerahmatan dan keberkatan Allah sebagaimana terungkap dalam surah Ar-Rum ayat 21.

Kesedaran bahawa perkahwinan itu anugerah Allah akan menumbuhkan rasa keterikatan dengan hukum dan nilai ketuhanan. Perkahwinan dengan cara yang halal berteraskan aturan agama pasti akan membawa barakah atau keberkatan. Ulama mendefinisikan barakah sebagai nikmat Allah yang dikurniakan dalam dua bentuk.

Pertama, as-Sa’adah iaitu nilai kebahagiaan hakiki yang mampu menatijahkan ketenteraman jiwa, keharmonian rumah tangga dan sikap bekerjasama hingga tersemai rasa kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah) di antara suami isteri. Kedua, az-Ziadah iaitu penambahan nikmat berterusan oleh Allah, hinggakan tidak pernah timbul perasaan tidak cukup atas segala rezeki pemberian Allah kepadanya.

Barakah adalah nilai yang dapat mendisiplinkan seseorang. Hanya yang halal, berteraskan norma-norma agama membawa barakah, sedang yang haram atau curang pada prinsip Islam hanya menempah padah.

Keinginan mengecap barakah Allah akan membentuk budaya perkahwinan yang lebih kudus. Umpamanya dalam isu mas kahwin, seseorang pasti akan bersandarkan sunah Nabawi yang menyebut: “Sesungguhnya sebesar-besar berkat perkahwinan ialah yang sedikit mas kahwinnya.” Justeru tidak timbullah polemik kecelaruan nilai yang melingkari budaya perkahwinan hari ini yang kadangkala melewati batas hukum, akhlak dan tradisi.

Inilah hakikat sebenar falsafah perkahwinan yang sememangnya menjadi antara matlamat terpenting sebagaimana digariskan syarak atau disebut sebagai Maqasid as-Syariah dalam aspek perkahwinan. Perkahwinan yang diberkati akan menjelmakan sebuah keluarga yang sempurna sekali gus menjana pembentukan masyarakat yang kukuh dan utuh berlandaskan prinsip dan norma-norma Islam sejati.

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]








Related Posts by Categories



0 comments

Post a Comment

Mutira Kata Minggu Ini

Bermula pada hari ini, jadikan DIRIMU bagai pohon yang rendang di mana setiap insan dapat berteduh. JANGANLAH jadi seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api.

video minggu ini

Jadilah Yang PERTAMA membaca!

Langgani Pelbagai Artikel Rahsia Perkahwinan Terus Ke Email Anda!! !:

By FeedBurner

Twitt RP !

RP's Fan Box

Rahsia TERBARU !