728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

21 April 2009

Pasangan muda abai rancang kehamilan | Married, Couple, Health care, Family Planning, MALAYSIA

Pasangan muda abai rancang kehamilan
GELARAN untuk menjadi ibu bapa adalah satu pilihan, bukan kebetulan. Justeru, perancangan keluarga adalah penting kerana kehamilan yang tidak dirancang boleh menjejaskan kesejahteraan pasangan, termasuk dari segi emosi dan juga perancangan hidup.

Dalam hal ini bukan wanita atau isteri saja, lelaki juga bertanggungjawab untuk mengetahui mengenai perancangan keluarga dan pencegahan kehamilan. Tanggungjawab sebagai ibu bapa hendaklah dipikul bersama.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Premitha Damodaran, berkata pada masa kini wanita perlu memenuhi pelbagai tanggungjawab, maka itulah perancangan keluarga amat penting. Perancangan keluarga memberi ruang kepada wanita bagaimana untuk memenuhi semua tugas itu.
Beliau berkata, dalam masyarakat moden hari ini kesihatan seksual dalam pelbagai aspek sudah diberikan keutamaan tinggi. Tetapi malangnya, penekanan terhadap pencegahan kehamilan dan jarak kehamilan tidak diberikan perhatian.

“Sebagai perunding sakit puan, adalah perkara lazim yang saya temui kebanyakan wanita sama ada sebagai individu atau bersama pasangannya terjejas emosi dan psikologi akibat kehamilan yang tidak dirancang. Perasaan itu berpanjangan dan kekal sehingga memberi kesan pada kehidupan masa depan mereka.

“Oleh itu, amat penting sama ada lelaki dan wanita, pasangan muda serta tua, yang berkahwin atau tidak diberikan didikan dan prihatin terhadap kepentingan kesihatan seksual serta perancangan keluarga,” katanya pada kempen kesedaran, Hari Pencegahan Hamil Sedunia yang pertama dilancarkan di Malaysia dan diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kempen kesedaran antarabangsa itu dianjurkan julung kalinya untuk mengurangkan kehamilan tidak dirancangkan yang semakin meningkat setiap tahun. Antara yang terbabit ialah agensi kesihatan seksual dan reproduktif terbesar di dunia, Marie Stopes International, Majlis Pencegahan Hamil Asia Pasifik, FFPAM dan syarikat farmaseutikal Bayer Schering Pharma.

Pelancaran kempen itu di Malaysia serentak dengan lebih 50 negara di seluruh Eropah, Amerika Latin dan Amerika Tengah serta rantau Asia Pasifik.

Dr Premitha berkata, terdapat banyak pilihan kaedah perancangan kehamilan pada zaman sekarang dan pasangan boleh mendapatkan bentuk pencegahan yang paling sesuai untuk mereka.

Bagaimanapun, katanya apa yang paling penting selain pilihan kaedah ingin digunakan pasangan juga perlu memilih masa paling sesuai iaitu tidak terlalu awal, tidak terlalu rapat jaraknya dan tidak terlewat untuk menimang cahaya mata.

“Jika baru berkahwin, bukan bermakna sebulan selepas itu pasangan mesti menimang cahaya mata kecuali itulah yang mereka mahukan. Sebaik-baiknya, fikirkan soal kewangan dulu khususnya bagi pasangan yang masih muda. Bagi perancangan kehamilan yang sesuai untuk tidak terlalu awal menimang cahaya mata, pasangan bolehlah memilih bentuk pencegahan secara semula jadi iaitu tidak mengadakan hubungan seks atau pun penggunaan kondom ketika melakukan hubungan seksual. Selain itu, pasangan berkenaan juga boleh mengamalkan pengambilan pil perancangan keluarga secara oral,” katanya.

Beliau berkata, pengambilan pil perancang keluarga dengan nasihat doktor selain dapat mengelakkan kehamilan turut memberi beberapa kebaikan kepada wanita yang mengambilnya seperti memperbaiki masalah darah haid yang banyak, mengurangkan kesan sampingan tidak dikehendaki seperti jerawat, sista ovari dan kesakitan pada payu dara, mengurangkan risiko barah ovari serta endometriosis.

Bagi yang ingin menjarakkan kehamilan selain perancangan kehamilan yang dinyatakan di atas, kaedah lain boleh digunakan ialah pemakaian alat intrauterin (IUD), implan atau pun suntikan. Kaedah perancangan keluarga menggunakan IUD dikatakan, berkesan 98 sehingga 99 peratus bagi mengelakkan kehamilan.

Pemakaian alat pencegahan kehamilan IUD juga lebih mudah dan boleh bertahan antara tiga hingga lima tahun berbanding pengambilan pil perancang yang mesti diambil setiap hari. Malah, sering terjadi wanita yang sibuk dengan rutin harian selalu terlupa untuk mengambil pil berkenaan.

Bagaimanapun, IUD mempunyai beberapa kelemahan termasuk, menyebabkan pendarahan haid yang banyak dan panjang serta boleh menyebabkan jangkitan.

Dr Premitha berkata, pasangan yang sudah mempunyai dua atau tiga anak bolehlah memikirkan untuk mengamalkan pencegahan kehamilan jangka panjang. Ini termasuklah, pemakaian Intrauterine System (IUS) yang mempunyai kelebihan berbanding IUD kerana penggunanya akan mengalami haid yang sedikit dan tempohnya lebih pendek di samping, berkesan 99.8 peratus mencegah kehamilan.

Begitu juga penanaman implanon yang boleh bertahan tiga tahun dan baik untuk wanita yang menyusukan badan. Tetapi implanon sering kali dikaitkan dengan kenaikan berat badan dan perubahan mood.

Sementara, Pengurus Negara Bayer Schering Pharma, Ashraf Al-Ouf dalam ucapannya berkata, Hari Pencegahan Hamil Sedunia adalah kempen yang sangat diperlukan untuk memperkasa wanita dan lelaki dengan pengetahuan yang akan membolehkan mereka membuat keputusan berasaskan pengetahuan mengenai masa sesuai untuk mereka menjadi ibu bapa dan juga memahami kesan serta risiko dihadapi dalam hubungan seksual.

Beliau berkata, kehamilan yang tidak dirancang adalah satu masalah yang luas dan kurang mendapat perhatian di seluruh dunia, bukan saja di negara berpendapatan rendah, tetapi juga di negara maju.

FAKTA: Perangkaan kehamilan bagi Asia/Pasifik
# Kira-kira satu dalam tiga atau 30 peratus kelahiran di Asia tidak dirancangkan.

# Pada 1995, 27 juta pengguguran kandungan dilakukan di Asia iaitu lebih separuh (58 peratus) daripada kadar pengguguran dunia.

# Kadar pengguguran di kalangan wanita Asia yang boleh melahirkan anak dalam usia sekitar 15 hingga 44 tahun adalah setinggi 33 setiap 1,000.

# Asia juga mencatatkan angka pengguguran tidak selamat yang tertinggi di dunia iaitu 10.5 juta pada 1995.

# Daripada jumlah pengguguran tidak selamat itu, 30 peratus berlaku ke atas wanita berusia kurang 25 tahun dan 60 peratus ke atas wanita bawah usia 30 tahun.

# Ocenia/Pasifik mencatat kadar pengguguran paling rendah di dunia iaitu 0.1 juta dengan kadar purata 21 pengguguran setiap 1,000.


Oleh Nor Affizar Ibrahim




Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dalam
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pasangan muda abai rancang kehamilan | Married, Couple, Health care, Family Planning, MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top