728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

21 April 2009

Glaukoma jejas penglihatan | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA

Glaukoma jejas penglihatanMasalah rabun lazimnya dikaitkan dengan penyakit mata utama tanpa menyedari bahawa wujudnya degenerasi makula akibat penuaan (ARMD), katarak dan glaukoma. Glaukoma dikenal pasti antara masalah penglihatan yang berlaku secara senyap serta boleh menyebabkan kebutaan kekal, jika tidak dirawat.

Kajian yang dilakukan Pfizer Malaysia Sdn Bhd terhadap kira-kira 117 responden membabitkan rakyat tempatan mendapati, sebanyak 70 peratus daripada mereka tidak mengetahui langsung apa yang dimaksudkan dengan glaukoma.


Kajian itu juga mendapati hanya satu daripada lima penduduk Malaysia pernah mendengar mengenai penyakit yang menjadi punca kerosakan saraf optik itu tetapi tidak mengetahui ia boleh menyebabkan buta. Malah, amat mengejutkan penduduk Malaysia antara negara yang kurang beri perhatian terhadap masalah itu jika dibandingkan dengan beberapa lagi negara Asia yang lain.

Penasihat Kanan Perubatan Pfizer Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr Vicknesh Welluppillai, berkata glaukoma adalah penyakit mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik dalam jangka masa panjang.

“Glaukoma sering disalah anggap sebagai penyakit mata yang biasa. Hakikatnya penyakit yang dicirikan sebagai kehilangan penglihatan itu berlaku kerana adanya tekanan terlalu tinggi dalam mata bermula dengan penglihatan kabur sebelum beransur menjadi buta.

“Hampir separuh (45 peratus) daripada responden dalam kaji selidik itu mempunyai risiko glaukoma kerana penglihatan sempit, pernah mengalami kecederaan mata dan mempunyai tekanan darah tinggi. Selain itu, mereka yang berusia lebih 40 tahun dilihat lebih berhati-hati terhadap pemeriksaan tekanan darah dan bukan tekanan mata,” katanya ketika membentangkan kaji selidik pada bengkel kempen bersama media bertajuk All Eyes on Glaucoma di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Malaysian Medical Association Ophtalmology Society, Prof Dr Muhaya Mohamad.

Kempen kesedaran All Eyes on Glaucoma itu diadakan bertujuan membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit membabitkan mata. Penyakit mata adalah impak utama yang boleh membantutkan tugas harian. Saraf optik yang menghubungkan mata dengan otak terbentuk daripada lebih kurang satu juta gentian saraf. Ia sangat penting untuk penglihatan kerana ia menghantar mesej dari mata ke otak

Tahun lalu, akhbar ada melaporkan glaukoma adalah penyakit progresif yang menyebabkan punca utama kebutaan di Malaysia. Beban rawatan dan pembedahan akibat glaukoma dijangka terus meningkat pada 2020 dengan 11 juta pesakit di seluruh dunia.

Penyakit berkenaan antara masalah membimbangkan, namun, masih ramai lagi yang mengabaikan kesihatan mata berbanding penyakit yang menyerang tubuh badan seperti tekanan darah tinggi, penyakit kencing manis dan sebagainya. Ini berikutan, kaji selidik berkenaan mendapati kebanyakan responden jarang atau langsung tidak pernah membuat pemeriksaan mata berbanding pemeriksaan penyakit lain.

Dr Vicknesh berkata, pemeriksaan tekanan mata juga didapati sangat kurang dilakukan yang mana kira-kira 74 peratus daripada responden tidak pernah melakukan pemeriksaan mata sedangkan kebanyakan mereka berisiko tinggi diserang penyakit bahaya berkenaan.

“Saya percaya, kebanyakan masyarakat lebih kerap berjumpa doktor mengenai pemeriksaan tekanan darah tinggi berbanding melakukan pemeriksaan tekanan mata,” katanya.

Sementara itu, Prof Muhaya berkata, dalam kebanyakan kes glaukoma, terdapat tekanan tinggi di dalam mata yang biasanya terjadi apabila cecair di dalam mata tidak dapat disalirkan keluar melalui terusan saliran mata danlama kelamaan boleh menyebabkan buta.

“Glaukoma bukan disebabkan oleh faktor pemakanan, tetapi ia boleh berpunca daripada latar belakang keluarga yang pernah menghidap penyakit berkenaan. Bagaimanapun, mereka yang berisiko untuk menghadapi glaukoma ialah berusia 45 tahun ke atas, mengalami tekanan tinggi dalam mata dan menghidap kencing manis.

“Bagi yang rabun dan pernah mengalami kecederaan mata serta menggunakan ubat steroid untuk jangka masa panjang juga berpotensi menghidap glaukoma,” katanya.

Beliau berkata, ada dua jenis glaukoma iaitu sudut tertutup dan terbuka. Sudut terbuka ialah jenis paling biasa ditemui. Sekatan terusan berlaku sikit demi sedikit yang boleh menjejaskan kedua belah mata. Sementara itu, bagi sudut yang terbuka pula ia berlaku dengan tiba-tiba menyebabkan tekanan mata meningkat.

“Glaukoma sudut tertutup ini sering berlaku di kalangan masyarakat Cina berbanding Melayu dan India kerana mereka mempunyai mata yang kecil dan sepet. Jika tidak diubati segera ia boleh menyebabkan buta. Penyakit bahaya dalam senyap ini tiada tanda-tanda awal yang boleh dikenal pasti.

“Dalam glaukoma sudut terbuka pula, mereka yang mengalami glaukoma tidak akan rasa sakit langsung sehingga penglihatan sudah terjejas. Glaukoma sudut tertutup biasanya menyerang salah satu mata dan bukan kedua-duanya. Mata berkenaan akan rasa sakit dan merah. Kadangkala ia diiringi sakit kepala, penglihatan kabur dan rasa hendak muntah,” katanya.

Prof Dr Muhaya berkata, glaukoma tidak boleh disembuhkan seperti penyakit kencing manis, namun boleh diubati dengan melakukan terapi perubatan bagi mengurangkan tekanan dalam mata.

Penggunaan ubat titisan mata atau pil berfungsi mengurangkan pengeluaran cecair dalam mata dan juga meningkatkan saliran cecair keluar dari mata.

Katanya, ada juga pesakit yang memerlukan terapi laser atau pembedahan jika ubat titisan tidak cukup berkesan mengurangkan tekanan dalam mata.

INFO

Glaukoma Kongenital

# Berlaku di kalangan kanak-kanak sewaktu dilahirkan.

# Ia jarang berlaku iaitu satu bagi setiap 5,000 sehingga 10,000 kelahiran hidup.

# Diwarisi dan lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak lelaki dengan anggaran 60 hingga 70 peratus. 80 peratus membabitkan kedua-dua belah mata dan 40 peratus menunjukkan gejala pada bulan pertama kelahiran.

Risiko umum:

# Mempunyai ibu, bapa atau saudara terdekat mengalami glaukoma.

# Penyakit lain seperti rubela.

# Mata tidak berkembang apabila memasuki usia tujuh tahun.

Ciri klinikal:

# Bola mata yang membesar akibat tekanan tinggi (Buphthalmus).

# Mata berair dan silau.

Penyebab glaukoma:

# Kencing manis.

# Katarak yang terbiar atau tidak dirawat.

# Kecederaan mata.

# Pengambilan steroid tanpa kawalan dalam bentuk ubat titis, oral atau ubat tradisional.

# Penggunaan kanta sesentuh yang kurang penjagaan kebersihan.

Ciri klinikal:

# Sama seperti glaukoma lain.

Panduan

# Jalani saringan pemeriksaan mata terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

# Semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko menghidap glaukoma.

# Individu yang mempunyai sejarah ahli keluarga terdekat yang pernah menghidap glaukoma, mengalami rabun jauh atau myopia, penghidap kencing manis, migrain atau yang sering berdengkur ketika tidur perlu menjalani pemeriksaan lebih awal.

Oleh Hidayah Mohammad




Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dalam
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Glaukoma jejas penglihatan | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top