Breaking News

Duda di Britain kaya raya | MAN, macho, body, matured, health LELAKI MALAYSIA

Duda di Britain kaya raya
Semakin ramai lelaki hidup mewah lepas cerai

ADA satu fenomena pelik dan tidak seimbang membabitkan golongan lelaki dan wanita di Britain ketika ini, yang berkemungkinan besar turut berlaku di pelusuk lain dunia.

Fenomena kewujudan semakin ramai duda kaya atau lelaki yang menjadi kaya raya selepas bercerai. Ini bukan andaian semata-mata tetapi hakikat yang semakin ketara di negara maju itu seperti dibuktikan satu kajian terbaru Institut Penyelidikan Sosial dan Ekonomi Britain.

Malah antara contoh yang terbentang di depan mata adalah perceraian penyanyi terkenal Madonna dengan pengarah Britain, Guy Ritchie, akhir tahun lalu yang menyaksikan Ritchie dilaporkan bakal menerima antara £50 juta (RM350 juta) dan £60 juta (RM420 juta) termasuk rumah pasangan itu.

“Percaya atau tidak, hakikatnya, semakin ramai lelaki Britain, terutama kalangan bapa menjadi kaya raya selepas bercerai. Pendapatan mereka meningkat kira-kira 25 hingga 30 peratus berbanding ketika masih memegang status sebagai suami,” kata Pengarah institusi itu, Profesor Stephen Jenkins yang juga Pengerusi Majlis Persatuan Penyelidikan Pendapatan dan Kekayaan Antarabangsa yang dipetik media tempatan, baru-baru ini.

Apa yang menyedihkan, senyuman lebar yang dilemparkan golongan suami itu sebaliknya menyaksikan wajah mencuka di kalangan isteri yang menjanda apabila pendapatan wanita ini susut lebih 20 peratus.

Lebih malang lagi, pendapatan wanita yang merosot itu terus susut buat beberapa tahun lamanya.

Kajian terbaru bertajuk Perceraian dan Perubahan Pendapatan Berbanding Tempoh Perkahwinan, adalah yang pertama untuk menjejaki aspek kekayaan dan pendapatan akibat perceraian.

Selain menggabungkan data berbeza Tinjauan Panel Isi Rumah bagi tempoh 1991 hingga 2004 dan membandingkannya dengan lima data kajian baru di Eropah. Ia menggunakan formula berasaskan kiraan kemiskinan bagi menghasilkan angka pendapatan per kapita.

Hasil kajian itu mendapati peningkatan mendadak hasil pendapatan duda dan berlaku secara berterusan selama beberapa tahun selepas bercerai.

Seorang lelaki yang bercerai tanpa anak, menyaksikan pendapatannya meningkat sebanyak 25 peratus. Pendapatan janda atau ibu tunggal itu pula berkurangan hingga lebih 27 peratus, malah sukar mencecah tahap ketika masih menjadi isteri. Malah, kadar kemiskinan janda itu hampir tiga kali ganda berbanding bekas suami mereka.

Ini diburukkan lagi dengan hanya 31 peratus ibu tunggal menerima bayaran saraan nafkah daripada bekas suami.

“Oleh itu, kita boleh katakan hanya ada dua faktor yang boleh menentukan kedudukan kewangan seseorang wanita itu - status kewangannya ketika dan selepas perhubungan itu berakhir. Kesan positif yang ada pun jika wanita itu memilih untuk berkahwin semula.”

Dalam pada itu, hasil kajian itu turut mendapat reaksi ramai, termasuk peguam kekeluargaan yang menyifatkannya sebagai bertentangan dengan kepercayaan masyarakat.

“Ramai yang percaya kononnya lelaki yang menjadi miskin selepas bercerai dan wanita sebaliknya kaya raya dan hidup mewah hasil perceraian itu,” kata peguam, Ruth Smallacombe.

Sukar sebenarnya untuk menggambarkan bagaimana trend atau aliran berat sebelah itu boleh berlaku. Biarpun lebih berkait rapat dengan status isteri sebagai wanita kaya, ia juga ada kaitan dengan peluang terhad diterima golongan janda berbanding duda, mendapatkan pekerjaan selepas bercerai.

Apa yang pasti, perceraian tidak hanya membabitkan soal keruntuhan rumah tangga semata-mata tetapi masa depan pasangan itu termasuk soal kocek masing-masing. Buat masa ini, seperti yang terbukti di Britain, lebih ramai duda tersenyum kerana kaya, manakala janda mencuka kerana kekurangan sumber pendapatan.

INFO: Perceraian

* Hampir separuh daripada perkahwinan di England dan Wales berakhir dengan perceraian
* Membabitkan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak bawah usia 16 tahun dan 53 peratus bawah 11 tahun
* Sejak 1997, purata usia perceraian bagi lelaki meningkat daripada 40.2 kepada 43.7 manakala bagi wanita, 37.7 kepada 41 tahun
* Kadar perceraian tertinggi antara lelaki dan wanita berlaku ketika mereka di usia lewat 20-an.[sumber]



Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dalam
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]

No comments