






KUALA LUMPUR 15 Mac - Meskipun pernah berdepan dengan episod cinta penuh luka, ia bukan penghalang untuk pelakon dan penerbit, Nasreen Ngasri, 26, yang popular dengan panggilan Darling menemui cinta baru.
Apa yang lebih menggembirakan Darling apabila cinta yang dijalin selama empat bulan itu berakhir dengan ikatan pertunangan yang berlangsung di rumah keluarganya di sini hari ini.
Ternyata, keikhlasan dan kejujuran hati Nur Azlin Rahmat, 34, atau Azlin yang merupakan seorang pegawai pemasaran telah berjaya membuka hati Darling untuk menerima jejaka itu sebagai bakal suaminya.
"Saya bukanlah seorang yang mementingkan harta dan rupa tetapi lebih kepada hati kerana itulah yang akan membahagiakan kita.
"Walaupun perkenalan kami berlaku secara singkat, saya percaya semua ini ada hikmahnya dan saya sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri
"Apa yang telah berlaku saya simpan sebagai sejarah dan kini saya mempunyai seorang teman yang menerima diri saya seadanya," kata Darling sejurus selepas majlis pertunangannya.
Darling yang manis berkebaya moden kuning tersenyum manis apabila cincin pertunangan, emas bertatahkan berlian disarungkan oleh ibu Azlin, Badariah Abu Bakar sambil disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak.
Dalam majlis itu, anak kepada bekas juruhebah RTM, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar itu menerima lima dulang hantaran termasuk sebahagian daripada wang hantaran berjumlah RM22,222.22, sirih junjung, senaskhah al-Quran, coklat serta sepasang kain persalinan.
Sebagai balasan, Darling menyerahkan tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada butang baju Melayu, sirih junjung, songket, manisan dan coklat.
Menerusi hasil perbincangan kedua-dua belah pihak, masing-masing telah sepakat memilih 30 Mei ini sebagai tarikh pernikahan mereka.
Majlis persandingan pihak perempuan pula akan diadakan di rumah keluarga Darling di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan diikuti majlis menyambut menantu di rumah keluarga Azlin di Bukit Katil, Melaka seminggu selepas itu.
[sumber]
[gambar]
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]
direncana oleh
rahsia perkahwinan
16 March 2009












0 comments