Breaking News

Mengandung Luar Rahim | WOMAN, sexy, beautiful, matured, health Wanita MALAYSIA

MENGANDUNG LUAR RAHIMUNTUK persenyawaan biasa, pertemuan di antara benih telur dan sperma berlaku di tiub fallopian. Telur yang difertilisasikan ini sepanjang tiub fallopian akan bertambah bilangan selnya sehingga ke satu bentuk yang dinamakan blastosis, dengan bilangan selnya di antara 70 hingga 100. Penanaman blastosis berlaku di endometrium di dalam rahim puan, ianya akan membesar. Mengandung di luar rahim berlaku apabila penanaman (implantasi) terjadi di tempat lain selain dinding dalaman rahim, kadar tumbesaran kandungan terbantut dan perlu didiagnosa dan dirawat dengan segera.

Tentulah apabila puan terlepas haid bulanan yang sepatutnya dan ujian air kencing menjadi positif, persoalan yang timbul, apakah kandungan ini berada di dalam ataupun di luar rahim?

Langkah untuk mengesan kandungan di luar rahim:

1) Terdapat rungutan yang lazim sekiranya kandungan puan di luar rahim.

2) Cara mendiagnosa kandungan luar rahim.

3) Kaedah perawatannya.

Kebanyakan kandungan di luar rahim berlaku di tiub fallopian, namun begitu, implantasi juga boleh berlaku di tempat-tempat lain seperti di rongga abdomen, ovari dan sebagainya. Disebabkan ruang untuk membesar terhad di dalam tiub fallopian, tiub tersebut boleh pecah dan menyebabkan pendarahan yang banyak dan ini menggugat nyawa. Keadaan ini genting serta getir dan rawatan segera perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawa.

Sekiranya dikesan awal dan tiub masih lagi utuh dan tidak pecah serta tahap hemodinamik puan yang stabil,mungkin puan boleh dirawat dengan ubat ataupun sekiranya pembedahan diperlukan, pembaikian serta restoratif tiub dapat dilakukan.Ini penting sekiranya puan masih ingin menambah bilangan ahli keluarga pada masa hadapan. Sekiranya tiub terpaksa dikorbankan, bermakna puan hanya bergantung pada satu tiub untuk keupayaan reproduksi.

Mereka yang berisiko

Sekiranya puan terdedah kepada hubungan kelamin, bermakna puan berisiko untuk mengandung di luar rahim. Statistik di barat menyatakan mengandung di luar rahim berlaku setiap 50 ibu mengandung. Kebelakangan ini, insiden mengandung di luar rahim meningkat.

Tiub fallopian yang abnormal memberikan risiko yang tinggi untuk implantasi kandungan yang abnormal. Kejadian tiub fallopian abnormal berlaku di kalangan mereka yang mempunyai faktor risiko berikut:

1) Mempunyai jangkitan di organ rahim, tiub fallopian dan juga organ-organ pelvik berhampiran. Secara kolektif, jangkitan ini dipanggil jangkitan keradangan pelvik.

2) Sejarah lampau mengandung di luar rahim.

3) Sejarah kemandulan.

4) Sejarah pembedahan di pelvis dan juga abdomen.

5) Endometriosis

6) Penyakit tularan seksual.

7) Pembedahan yang melibatkan tiub fallopian seperti sterilisasi tubal. Keadaan ini menyebabkan pergerakan telur yang telah difertilisasi terencat dan implantasi berlaku di tempat lain.

8) Merokok

9) Mengandung pada umur yang lanjut.

Pendiagnosaan serta rungutan lazim

Ada yang mengandung di luar rahim tetapi tidak mempunyai rungutan. Ada pula yang tidak tahu yang beliau mengandung. Lazimnya simptom-simptom yang dialami serupa dengan simptom mengandung seperti mual,loya,letih tidak bermaya dan sebagainya.Kerana itulah pentingnya syak wasangka terhadap mengandung sekiranya puan terdedah pada hubungan kelamin.Ujian air kencing serta pemeriksaan ultrasound awal seeloknya dilakukan. Ini bertujuan supaya dapat menyelamatkan tiub fallopian serta menambahkan kebarangkalian kejayaan mengandung pada masa hadapan.

Mungkin simptom-simptom berikut timbul sebelum puan tahu yang diri puan mengandung. Sekiranya puan berjumpa dengan doktor, pemeriksaan lanjutan boleh dilakukan seperti:

1) Pemeriksaan bimanual melalui faraj.

2) Pemeriksaan petanda vital seperti tekanan darah dan juga denyutan nadi.

3) Pemeriksaan ultrasound, lebih elok sekiranya pemeriksaan ultrasound dilakukan melalui faraj.

4) Pemeriksaan darah untuk tahap biokimia hormon human chorionic gonadotropin(hCG). Ujian ini akan dijalankan secara berkala dan sekiranya peningkatan parasnya diragui, mungkin puan berisiko untuk mengandung di luar rahim.

5) Ujian pencairan berganda air kencing, cara ini lebih cepat keputusannya jika dibandingkan dengan ujian darah. Setiap pencairan mempunyai nilaian hCG berpadanan dengan minggu serta kemajuan kandungan. Mengandung di luar rahim serta keguguran menyebabkan paras hormon hCG tidak berpadanan dengan usia kandungan. Puan mungkin perlu berada di wad untuk diamati supaya diagnosa dapat dipastikan serta kaedah rawatan yang sewajarnya.

Rawatan

Berdasarkan kestabilan petanda vital dan juga tempat berlakunya implantasi abnormal, rawatan mungkin secara pembedahan ataupun tanpa pembedahan.

Tanpa pembedahan

Sekiranya puan stabil dan saiz kandungan kecil dan masih utuh, ubat methotrexate, sejenis ubat anti neoplastik kanser digunakan. Ubat ini menyebabkan sel-sel berhenti bilangannya, menyebabkan kandungan berhenti dan diserap oleh badan puan. Bukan semua dapat menerima kaedah perawatan ini. Mereka yang menyusu badan serta masalah kesihatan lain tidak dibenarkan perawatan secara kaedah ini.

Biasanya ubat ini diberikan sekali sahaja, dan proses penyerapan kandungan memakan masa sehingga 4-6 minggu.Darah puan diamati paras hormon hCG sebelum,selepas tiga hari dan juga selepas seminggu. Paras hormon ini sepatutnya menurun dan sekiranya keadaan sedemikian tidak berlaku, puan dinasihatkan menjalani pembedahan.

Mungkin dalam tempoh tersebut, puan perlu berada di wad untuk diamati perkembangan petanda vital badan.

Methotrexate adalah satu ubat yang merbahaya, semasa dan juga seketika selepas perawatan, puan dinasihatkan supaya mengelakkan daripada:

1) Meminum alkohol

2) Vitamin yang mengandungi asid folik

3) Ubat tahan sakit jenis NSAID(non steroidal antiinflammatory drugs)

4) Hubungan kelamin(hentikan sementara).

Kaedah tanpa pembedahan mungkin menyebabkan puan mengalami sakit-sakit di bahagian abdomen dan mungkin juga pendarahan faraj. Juga simptom-simptom lain seperti loya-loya dan muntah-muntah, kekerapan membuang air besar dan juga pening-pening. Beritahu doktor serta jururawat sekiranya puan dirawat secara tanpa pembedahan dan tiba-tiba mengalami kesakitan abdomen yang amat sangat ataupun tahap kesakitan bertambah, pendarahan melalui faraj bertambah, rasa pening serta macam nak pitam dan juga degupan jantung dirasi bertambah. Mungkin implantasi abnormal ini pecah dan berdarah, kaedah rawatan lain perlu dilakukan.

Rawatan melalui pembedahan

Terdapat dua cara pembedahan, iaitu secara pembedahan terbuka dan juga secara laparoskopik. Apa jua kaedah pembedahan ini, tujuan asas mereka adalah untuk membuang implantasi abnormal yang berlaku, menghalang pendarahan selanjutnya daripada memudaratkan nyawa puan.

dipetik dari Utusan Malaysia



Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]

No comments