728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

05 July 2008

Unsur lucah dalam kursus perkahwinan | FAMILY, romance, separation, soulmate, Sexuality, KELUARGA


KANGAR 9 Ogos – Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mendedahkan terdapat sesetengah pengendali kursus perkahwinan di negara ini yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata kerana menyelit unsur lucah tanpa memikirkan sensitiviti serta kualiti pengisian kursus.

Menurutnya, ini dapat dilihat apabila ada di kalangan mereka yang menyelitkan perkara tidak sepatutnya ketika mengendalikan kursus itu termasuk berkaitan unsur-unsur lucah.

‘‘Ramai pihak mengadu kepada saya mengenai perkara ini. Terbaru, seorang saudara baru yang bakal berkahwin mengadu kursus perkahwinan yang dihadirinya di sebuah negeri menyelitkan cerita-cerita mengenai adegan seks.

‘‘Saya rasa perkara ini perlu diberikan perhatian. Walaupun adegan seks yang dinyatakan dalam kursus dianggap gurauan tetapi ia seharusnya tidak dijadikan sebagai satu bahan hiburan,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd. Asri berkata, berikutan itu, pihaknya menggesa Jabatan Agama Islam setiap negeri supaya menjalankan pemantauan dan menyemak semula pengisian kursus perkahwinan yang kebanyakannya dikendalikan oleh swasta.

Dipendekkan

Beliau turut mencadangkan agar tempoh waktu kursus perkahwinan yang ketika ini dijalankan selama berhari-hari dipendekkan kepada hanya beberapa jam sahaja.

‘‘Kursus yang baik tidak semestinya sampai dua atau tiga hari. Kalau berhari-hari, itu yang banyak diselitkan perkara tidak perlu,’’ ujarnya.

Jelas beliau, Islam adalah agama yang mudah difahami serta diamalkan namun kursus perkahwinan yang dijalankan selama berhari-hari, kadang-kadang dilihat menyusahkan sesetengah pihak.

‘‘Zaman sekarang ini, manusia sangat sibuk dengan pelbagai urusan. Oleh itu, adalah elok kursus perkahwinan dijalankan dua atau tiga jam sahaja.

‘‘Kursus lama-lama pun tetapi kes perceraian tinggi juga. Oleh yang demikian, Jabatan Agama Islam perlu melakukan sesuatu,’’ katanya.

Beliau menambah, bagi yang sudah memahami hukum syarak pula, mereka dicadangkan agar tidak diwajibkan menjalani kursus perkahwinan tetapi cukup sekadar diberikan ujian.

‘‘Beri mereka jawab beberapa soalan dan kalau lulus serta menunjukkan mereka memahami hukum syarak dengan baik, tidak perlulah pergi berkursus,’’ katanya.

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Unsur lucah dalam kursus perkahwinan | FAMILY, romance, separation, soulmate, Sexuality, KELUARGA Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top