Breaking News

Musykil bela kucing, arnab jejas janin dalam kandungan | FAMILY, romance, separation, soulmate, Sexuality, KELUARGA

SAYA berumur 24 tahun dan sudah berkahwin kira-kira setahun. Ketika kehamilan pertama, saya keguguran iaitu pada Ogos lalu dengan usia kandungan tiga bulan.

Kandungan itu dikatakan tidak mempunyai degupan jantung dan hanya kelihatan sarung. Saya tidak melakukan prosedur dilation and curettage (D&C) tetapi ia gugur sendiri.

Kini saya hamil lagi dan kandungan sudah berusia 12 minggu. Kali ini kelihatan degupan jantung dan bayi.

Persoalannya, adakah membela arnab atau kucing di rumah membahayakan janin dalam kandungan? Adakah keguguran sebelum ini disebabkan peliharaan arnab atau kucing terbabit? Sebelum ini saya kerap membelai dan memegang mereka tetapi kini disebabkan keraguan, saya memegang mereka menggunakan sarung tangan. Adakah langkah itu memadai untuk mengelakkan saya terkena sebarang jangkitan?
FARAH, Kuala Lumpur.

JAWAPAN



KANDUNGAN yang tidak mempunyai jasad (hanya sarung atau kantung saja yang terbentuk) bukanlah kandungan normal dan tidak dapat bertahan atau berkembang.

Pada awal kehamilan, kantung kandungan struktur yang paling awal dapat dilihat menggunakan ultrabunyi. Kemudian, struktur ‘kantung yolk’ yang berbentuk cincin kecil pula dapat kelihatan di dalam kantung kandungan ini.

Setelah itu, barulah jasad janin dapat dilihat berserta degupan jantungnya.

Mesin ultrabunyi jenis doppler pula dapat menunjukkan aliran darah dalam janin ini serta bunyi degupan jantung janin.

Lazimnya, kadar degupan jantung melebihi 90 degupan seminit bersifat ‘sihat’ dan berkembang, manakala yang kurang daripada 90 degupan seminit pula lazimnya akan berakhir dengan keguguran.

Kadangkala, perkembangan ini lambat dilihat walaupun sebenarnya ia disebabkan salah tarikh haid atau disebabkan kejadiannya yang lambat misalnya bagi wanita yang mengalami kitaran haid yang panjang.

Namun, secara amnya, jasad janin sepatutnya sudah kelihatan jika saiz kantung mencapai 25 milimeter atau lebih.

Dalam keguguran pertama anda, berkemungkinan ia jenis kehamilan tidak normal (blighted ovum) dan hanya kantung saja terbentuk, cuma ia lambat keguguran.

Keadaan ini disebabkan oleh kejadian atau pembentukan telur wanita yang tidak sempurna (tiada gen) dan disenyawakan oleh sperma membentuk blighted ovum. Ia bukanlah disebabkan oleh haiwan peliharaan anda.

Keguguran akibat jangkitan kuman haiwan peliharaan, terutama kucing disebabkan parasit toxoplasmosis gondii yang ada dalam najis kucing dan kemudian berpindah ke tangan manusia serta masuk ke dalam sistem pemakanan apabila tercemar dan tidak dibersihkan.

Ini bermakna amalan membersihkan tangan lebih penting agar sisa kuman ini tidak berpindah ke dalam sistem penghadaman anda dan menjangkiti anda serta kandungan.

Jangkitan toxoplasmosis boleh menyebabkan kecacatan teruk kepada janin dan keguguran (terutama dalam trimester kedua). Bagi yang tidak memelihara kucing juga tidak bermakna mereka terlindung daripada penyakit ini.

Ini kerana mereka mungkin berjabat tangan atau menyentuh orang lain yang tercemar oleh kuman toxoplasma ini. Ujian mengesan antibodi toxoplasma boleh dilakukan di kebanyakan klinik.

Sekiranya anda didapati menghidap penyakit toxoplasmosis, rawatan ubatan (pil spiramycin) perlu diambil, bagaimanapun kosnya tinggi. Ultrabunyi juga dapat membantu mengesan sifat fi zikal janin anda.


Kemuskilan ini dijawab oleh

Dr. Adilah Ahmat

Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan dan Rawatan Kesuburan, Pusat Rawatan Islam, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur

artikel dipetik dari HARIAN METRO



Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





rahsia clickbank


1 comment:

  1. klu sy blm hamil..tp setiap hari sy slalu bedebar..kadar denyutan jantung dlm 80-90..adakah sy hamil?

    ReplyDelete