728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

08 July 2008

Mufti tegur hantaran mewah

KUALA LUMPUR: Trend meletakkan nilai mas kahwin dan hantaran mewah pada masa ini dikhuatiri menjadi budaya tidak sihat sehingga boleh menimbulkan keaiban di kalangan golongan berpendapatan rendah.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata dari sudut agama memang tidak menjadi kesalahan bagi mereka berkemampuan, namun perkara itu akan dinilai sebagai perbuatan menunjuk-nunjuk oleh masyarakat.

Beliau berkata, bakal pengantin tidak sewajarnya menjadikan matlamat perkahwinan berasaskan hantaran tinggi sebaliknya perlu mengutamakan kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga pada masa depan.

Katanya, beliau juga khuatir jika perkara itu terus menjadi ikutan, matlamat perkahwinan mungkin disalah erti terutama bagi generasi muda.

"Tidak dinafikan soal meletakkan nilai hantaran terpulang kepada rundingan kedua-dua pihak yang terbabit dalam perkahwinan itu tetapi kita tidak boleh bersikap riak atau menunjuk-nunjuk.

"Malah, dalam hadis Rasulullah menyatakan sebaik-baik wanita adalah yang meletakkan nilai maharnya (mas kahwin) paling rendah. Kita bukan hendak berbangga dengan mas kahwin tinggi tetapi kerukunan rumah tangga lebih penting," katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.

Kenyataan itu sebagai mengulas laporan akhbar semalam mengenai wang hantaran dan mas kahwin tertinggi di negara mencecah hampir RM500,000 yang diterima bekas model tempatan, Puteri Shahanaz Hazlin Hamdan bersama Pengerusi Eksekutif Ghaz Properties Sdn Bhd, Datuk Roslan Hashim.

Perkahwinan itu juga disifatkan menandingi kehebatan majlis perkahwinan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K dengan penyanyi nombor satu negara, Datin Siti Nurhaliza Taruddin.

Mohd Tamyes berkata, ketika ini mas kahwin yang ditetapkan Majlis Agama Islam Selangor adalah kekal sejak 1960 iaitu RM80 bagi gadis, manakala janda RM40.

"Purata nilai hantaran di Selangor adalah lebih kurang RM5,000 hingga RM8,000 dan biasanya bergantung kepada pendapatan dan persetujuan bersama kedua-dua pihak," katanya.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Datuk Dr Mohammad Yusoff Hussin, berkata jika budaya menetapkan mas kahwin tinggi diamalkan penduduk negara ini, dikhuatiri jumlah lelaki yang berpendapatan rendah tidak mendirikan rumah tangga semakin meningkat.

Sehubungan itu, katanya, perkara berkenaan akan mengundang peningkatan masalah sosial berikutan kesukaran mendirikan rumah tangga disebabkan faktor wang hantaran dan mas kahwin yang dituntut sebelah pihak wanita sangat tinggi.

"Islam sememangnya menggalakkan umatnya bersederhana. Justeru, sebaik-baik majlis perkahwinan adalah lebih afdal jika ia dilaksanakan secara sederhana," katanya.

Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, berkata trend mas kahwin dan hantaran mewah boleh dilakukan jika mampu, tetapi tidak perlu dihebahkan kerana dibimbangi boleh menimbulkan pelbagai impak negatif dalam masyarakat.

"Dengan perkembangan trend itu sekarang, kita khuatir wanita muda hanya akan mengejar lelaki berusia yang berstatus tinggi dan banyak wang sekali gus meningkatkan kuantiti lelaki yang tidak berkahwin.

"Ia juga boleh menimbulkan prasangka, hasad dengki dan iri hati di kalangan masyarakat. Memandangkan kita hidup bermasyarakat, kita perlu mengambil kira sensitiviti golongan kurang berkemampuan dan miskin," katanya.

Harussani berkata, masyarakat Melayu mudah terpengaruh dengan trend semasa sebaliknya budaya itu tidak berlaku dalam masyarakat bangsa lain walaupun ramai di kalangan mereka menjalankan upacara perkahwinan besar-besaran dengan perbelanjaan mewah.

Sumber: Berita Minggu ( 10 Sept 2006 )




  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Mufti tegur hantaran mewah Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top