Breaking News

Membina Hubungan Menantu Dengan Mentua | Married, Couple, Health care, Family Planning, MALAYSIA

Membina Hubungan Menantu Dengan Mentua | Keluarga & Perkawinan | Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat| www.e-keluarga.com| www.lppkn.gov.my|  KELUARGA v.2 | Rahsia Keluarga Bahagia | Gambar Keluarga Fasha Sandha | Yayasan Pembangunan Keluarga  | Married, Couple, Health care, Family Planning, MALAYSIA
Bagi sesetengah pasangan, permasalahan hubungan antara menantu dengan
mentua seringkali menjadi punca timbulnya konflik antara suami dengan isteri.
Meskipun di zaman ini sudah banyak pasangan yang tidak lagi tinggal serumah
dengan mentua, namun hal tersebut bukan bererti bahawa masalah menantu –
mentua tidak lagi terjadi. Hal ini mengingatkan kita bahawa sebagai anggota
dari sebuah keluarga, maka mentua dan menantu pasti akan selalu bertemu dan
saling berinteraksi, contohnya ketika pulang berhari raya atau ketika si datuk
atau nenek berkunjung ke rumah anaknya untuk menjenguk cucu mereka.

Mentua dan ertinya dalam kehidupan berumah tangga
Suami atau isteri kepada seseorang adalah hasil daripada perkongsian hidup
mentuanya di mana keadaan pasangan (suami ataupun isteri) yang terbentuk
pada hari ini adalah hasil daripada proses sosialisasi yang telah dilalui oleh
seseorang itu semasa bersama-sama dengan ibu bapanya.

Fungsi mentua ini sebenarnya sangat penting dalam kehidupan kerana
daripada merekalah berbagai-bagai panduan dan nasihat berhubung dengan
soal-soal rumah tangga boleh didapati. Ini kerana mereka terlebih dahulu
menjalani kehidupan berumah tangga. Banyak pengalaman mereka yang boleh
dijadikan panduan kepada anak-anak ataupun menantunya dalam mencapai
kebahagiaan hidup berumah tangga.

Fenomena masyarakat pada zaman kini menunjukkan bahawa bilangan
wanita telah berumah tangga dan bekerja terus meningkat. Isteri-isteri yang
bekerja sering kali menghadapi masalah untuk mendapatkan pembantu rumah
bagi menjaga anak-anak dan menguruskan kerja-kerja rumah. Maka, bagi
menyelesaikan masalah tersebut, ramai yang telah meminta bantuan mentua
mereka yang masih sihat untuk menjaga anak-anak mereka. Oleh itu, selain
dapat mengurangkan beban, risiko keselamatan anak-anak juga akan terjamin
apabila berada di bawah jagaan mentua.

Selain itu mentua juga merupakan pembantu terdekat apabila pasangan
suami isteri itu menghadapi masalah mengenai kos perbelanjaan keluarga. Hal
ini berlaku terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah atau pasangan
baru mendirikan rumah tangga. Mereka menjadikan mentua sebagai sumber
atau tempat mendapatkan bantuan kewangan. Malah tidak kurang juga dalam
masyarakat kita mentua yang menghulurkan bantuan kewangan kepada anakanak
mereka yang telah berumah tangga demi menjamin kebahagiaan anakanak
mereka meskipun tidak dipinta.

Mentua: punca krisis rumah tangga?
“Siapa itu kasim selamat? Loyar? Majistret?” “Ahli musik, mak.” “Pantang
keturunan aku ahli musik!” Dialog ini memang begitu popular di mana ia dipetik
daripada kisah “ibu mertuaku” lakonan allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Ia jelas
menceritakan tentang sikap tidak baik seorang mentua terhadap menantunya.

Ya, tidak dinafikan mentua juga boleh menjadi punca perselisihan antara
suami isteri. Ada mentua yang cerewet dan selalu mencampuri urusan rumah
tangga anak-anak mereka sehingga anak dan menantu bercerai-berai. Namun
tidak dilupakan juga ia adalah berpunca daripada sikap anak itu sendiri yang
terlalu bergantung dengan ibu bapa mereka sekalipun telah berumah tangga.
Kebergantungan tersebut sering membuat pasangan merasa, jengkel, marah,
kesal, iri hati, cemburu serta bermacam emosi negatif lainnya di mana hal-hal
kecik sekali pun dirujuk kepada mentua dan mengikut pilihan mentua. Pasangan
tentu sekali akan merasa diabaikan, disingkirkan dan tidak dihargai kerana selalu
berada di bawah bayang-bayang mentuanya. Pasangan akan merasa bahawa
posisinya hanyalah sebagai pelengkap yang tidak penting dalam menentukan
arah kehidupan keluarganya sendiri.

Dalam beberapa keadaan, kebergantungan si anak tersebut bersifat dua
arah. Maksudnya, anak menjadi sumber sense or self dari orang tua (kerana
kewujudan anak membuatkan dirinya merasa berguna, diperlukan) sehingga
mereka intim terus berperanan sebagai orang tua yang menentukan kehidupan
anaknya meskipun si anak tersebut telah dewasa dan berkeluarga.

Kemungkinan juga, seseorang itu sejak anaknya masih kecil telah menanamkan
sikap kebergantungan terhadap diri mereka sehingga anak mereka tidak tahu
berdikari. Mereka telah bersikap over-protective dan terlalu dominan sehingga
menimbulkan rasa kurang percaya terhadap diri sendiri dalam jiwa anak-anak.
Mereka memandang bahawa dirinya tidak dapat berbuat apa-apa tanpa orang
tua mereka.

Sikap mentua yang begini lambat laun boleh mengakibatkan berlakunya
perceraian. Keadaan ini akan lebih ketara sekiranya pasangan tinggal serumah
dengan mereka. Walau bagaimanapun kemungkinan mentua boleh
menimbulkan kesan negatif ke atas diri pasangan tidak seharunya dijadikan
alasan untuk tidak mewujudkan hubungan yang baik dan mesra antara menantu
dengan mentua memandangkan kebaikan yang boleh diperolehi daripada
mentua itu banyak sekali di mana terdapat kajian-kajian yang telah membuktikan
hubungan baik dengan mentua boleh menyumbang ke arah mencapai
kebahagiaan rumah tangga. Persoalannya bagaimana cara menanganinya
sehingga hubungan antara menantu dengan mentua dapat berlangsung secara
harmoni?

Cara mewujudkan hubungan baik
Pada dasarnya penyelesaian sesuatu masalah adalah bergantung pada diri kita
sendiri. Kitalah yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang
sedang kita hadapi. Jika hanya menunggu pihak lain untuk bertindak,
kemungkinan besar penyelesaiannya akan menjadi lebih rumit. Maka bagi
mereka yang mengalami masalah dengan mentua atau menantu, ada baiknya
meereka mempertimbangkan beberapa saranan berikut:

1. Berdamai dengan diri sendiri – ertinya menciptakan suasana
tenang dalam diri sendiri dengan mendekatkan diri pada Allah SWT
dan mengenepikan sebarang buruk sangka terhadap mentua. Alihkan
fikiran secara total pada hal-hal yang positif. Ingatlah bahawa setiap
perselisihan pasti melibatkan lebih dari seorang dan dalam hal ini tidak
ada manusia yang dapat lari daripada melakukan kesilapan. Oleh
sebab itu, jika sebelumnya kita cenderung memikirkan setiap hal
secara negatif dan selalu menyalahkan orang lain, maka sekarang
belajarlah sedikit demi sedikit melihat sesuatu permasalahan secara
objektif. Mulakan dengan mengubah pola pemikiran kita sendiri.
Ingatlah ungkapan yang mengatakan: “change your thoughts and
you will change your world”. Hal ini berkait rapat kerana pasangan
yang mempunyai sikap prejudis di dalam diri mereka akan terpengaruh
dengan sikap tersebut di mana terdapat pasangan yang dari awal-awal
perkahwinan lagi telah menunjukkan sikap yang negatif terhadap
mentua. Sebagai contoh masyarakat selalu melemparkan persepsi
yang salah terhadap mentua seperti: mentua harus dijauhi dan tidak
perlu diwujudkan hubungan baik dengannya, mentua tidak boleh
dibawa tinggal bersama ataupun menantu tidak boleh tinggal di rumah
mentua dan berbagai-bagi prasangka yang lain. Persepsi yang tidak
baik ini jika tertanam dalam pemikiran seseorang akan menyebabkan
mentua mereka berkecil hati dan mudah tersinggung.

2. Mulailah belajar untuk memahami beberapa perkara seperti:
Setiap keluarga mempunyai budayanya sendiri begitu juga antara
menantu dan menantu dan mentua tentunya memiliki budaya keluarga
yang berbeza. Yang dimaksud dengan budaya keluarga di sini adalah
latar belakang yang seringkali sangat jauh berbeza, sama ada yang
menyentuh hal-hal berkenaan tempat tinggal atau pun pengalaman
peribadi yang selama ini menjadi pegangan, didikan dan kebiasaan
dalam sesebuah keluarga di mana segalanya ini tentu sekali akan
membentuk karaktor, sikap dan pembawaan seseorang individu dalam
menjalani kehidupan sehariannya dan dalam menghadapi sesuatu
masalah.

Dengan lain perkataan, asuhan orang tua atau pun kualiti hubungan
yang terjalin antara orang tua dengan anaknya merupakan faktor
penting yang boleh mempengaruhi kualiti perkahwinan seseorang di
masa akan datang. Hal ini mencakupi perihal pemilihan pasangan,
pola interaksi komunikasi suami-isteri dan anak-anak, sikap terhadap
pasangan dan persepsinya terhadap peranannya dalam keluarganya.
Dengan itu jika proses sosialisasi dengan orang tuanya tidak begitu
baik, segala emosi negatif dari mas lalu akan terbawa-bawa dalam
kehidupan rumahtangganya, baik terhadap diri sendiri, pasangannya
dan terhadap makna perkahwinan itu sendiri.

3. Menyamakan pasangan dengan ibu atau bapa sendiri –
Seringkali tanpa sedar seseorang akan mencari pasangan dan mentua
yang seperti ibunya dan bapanya. Mereka mengharapkan agar
pasangannya dan mentuanya memperlakukan dirinya seperti
perlakuan ayah dan ibu terhadapnya. Harapan tersebut pada
dasarnya tidaklah wajar kerana ia akan mendatangkan masalah yang
besar dalam rumahtangga. Sebaliknya menantulah yang harus
mengalah dan melayani mentua mereka seperti ibu bapa mereka
sendiri selaku orang yang lebih tua daripada mereka bahkan
kedudukan mentua sebenarnya adalah sama seperti ibu dan bapa
sendiri. Menderhaka kepada mentua samalah seperti menderhaka
kepada ibu bapa sendiri. Menantu juga hendaklah menunjukkan sikap
bertolak ansur dengan mentua. Mentua seperti individu lain tentunya
memiliki sifat kekurangan dan kelebihan tersendiri. Segala sifat
mentua ini hendaklah diterima oleh menantu dengan lapang dada.

Kesimpulan
Sesungguhnya mentua adalah orang tua yang membesarkan pasangan kita dan
mempunyai pengaruh yang besar dalam hidupnya. Mentua kitalah yang
membentuk pasangan kita hingga menjadi peribadi yang mahu mencintai dan
menerima diri kita. Oleh itu keserasian dengan mentua adalah antara faktor
penting dalam mewujudkan kebahagiaan rumahtangga. Hormatilah mentua
sebagaimana kita menghormati kedua-dua ibu bapa kita iaitu dengan
mewujudkan sistem komunikasi yang baik. Ini penting kerana ia bakal menjadi
contoh kepada anak-anak apabila mereka menjalani kehidupan berumahtangga
kelak. Janganlah membalas sakit hati kita dengan melakukan sesuatu yang tidak
baik kepada mentua. Percayalah rasa hormat yang kita tunjukkan itu akan
membuatkan mereka merasakan diri mereka dihargai dan diterima oleh menantu
mereka. Dengan demikian hubungan baik dan mesra antara menantu dengan
mentua akan mudah terjalin.

Oleh : Mohamad Yusoff Dasuki
Majalah Sinar Rohani, September 2005



Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]

No comments