728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

09 July 2008

Majlis kahwin biar sederhana, tepati syariat

APABILA sepasang anak muda selamat diijabkabulkan, maka menangislah syaitan. Itulah antara kalimah yang sering kita dengar setiap kali berlangsungnya perkahwinan. Tetapi apakah mungkin tangisan itu akan berakhir di situ atau berlarutan hingga tamatnya majlis berkenaan? Hanya Tuhan saja yang mengetahui dan semuanya bergantung kepada majlis yang kita laksanakan.

Sempena cuti persekolahan mulai minggu ini, biasanya ramai pasangan anak muda merancang untuk diijabkabulkan. Bagi mereka, musim cuti itu masa paling sesuai memastikan saudara mara dan sahabat handai berkumpul untuk sama-sama meraikan majlis mereka.

Tentunya, yang paling sibuk ialah ibu bapa pasangan pengantin. Mereka membuat pelbagai persediaan untuk memastikan majlis anak mereka itu menjadi majlis paling hebat dan tidak ada cacat celanya.

Untuk itu, tidak dinafikan majlis perkahwinan anak mereka kan dibuat dengan penuh meriah dan ada pula secara besar-besaran.

Mereka tidak peduli soal wang. Kalau anak tidak cukup simpanan, pelbagai cara mereka lakukan dan ada antaranya meminta anak mereka membuat pinjaman bank atau koperasi.

Yang penting, majlis itu mesti diadakan. Harga minyak yang naik baru-baru ini dan tarif elektrik pada Jun ini, yang memberi kesan kepada kenaikan harga barang keperluan, tidak dipedulikan. Bagi mereka itulah sekali seumur hidup untuk anak mereka.

Memang diakui mengadakan kenduri kahwin adalah sunnah Rasulullah, hukumnya sunat dan mendapat pahala. Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk kita membazir atau bersuka-suka. Yang penting, mendapatkan keberkatan-Nya.

Majlis perkahwinan sebenarnya boleh mendatangkan berkat apabila suasana keberkatan itu dijaga sungguh-sungguh, iaitu dengan menjaga batas syariat seperti tidak melakukan pembaziran.

Oleh itu amat sesuai kalau kita berusaha berjimat dalam keadaan ekonomi sekarang. Untuk berjimat, mungkin kita tidak perlu mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran seperti di hotel atau dewan masyarakat yang diserikan pelbagai acara istimewa, iaitu muzik dan tarian.

Begitu juga kita tidak perlu mengadakan persandingan yang selama ini dianggap sebagai sesuatu yang wajib oleh sesetengah ibu bapa. Kita perlu sedar, setiap persandingan memerlukan kos yang tinggi, berbanding jika kita hanya mengadakan kenduri. Bagaimanapun, kita tetap mengadakannya kerana ingin menjaga status atau imej kita.

Kita mahu anak kita bersanding di atas pelamin yang dihias indah dan di tepinya diletakkan pulut kuning, pulut manis dan bunga telur walaupun ia sebenarnya hanya satu budaya yang berasal daripada pengaruh Hindu.

Kita juga mengundang pemuzik yang kononnya untuk meraikan pasangan pengantin baru.

Akhirnya kita terjebak pelbagai perkara mungkar kerana majlis perkahwinan anak kita itu dicemari dengan sesuatu yang melalaikan. Majlis yang sepatutnya syaitan menjerit dan menangis, bertukar kepada syaitan ketawa dan gembira kerana menganjurkan upacara karut dan sesat. Renungkanlah.

Sumber; Berita Minggu ( 28 Mei 2006 )



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Majlis kahwin biar sederhana, tepati syariat Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top