Breaking News

Kehadiran kami tidak diterima

SETIAP wanita yang berpeluang mendirikan rumah tangga buat kali kedua pastinya mengharapkan rumah tangga yang dibina itu akan kekal sampai ke akhir hayat.

Pada masa yang sama harapan tinggi menggunung agar kehadiran bersama anak-anak hasil perkahwinan terdahulu akan diterima baik oleh keluarga suami yang baru.

Malangnya tidak semua harapan akan menjadi kenyataan. Rupanya kehadiran tidak diterima sehingga mencetus ketegangan dalam hubungan.

Demikian kisah sedih yang dialami wanita ini yang menamakan dirinya Puteri Balqis kepada saya.

Membaca kisahnya hati saya turut tersentuh. Nyata wanita ini tabah menghadapi ujian walau terpaksa menanggung tekanan perasaan.

Kata Puteri Balqis, dia mahu berkongsi perasaan dan pengalamannya sebagai teladan dan sempadan kepada pembaca.

Bukan niat mengguris perasaan sesiapa tetapi sebagai panduan kepada mereka yang mungkin terjebak dalam masalah yang sama.

Begini pengakuan Puteri Balqis; “Setelah pernikahan pertama gagal kerana orang ketiga, saya bertemu jodoh buat kali kedua dengan seorang duda yang mempunyai tiga orang anak pada pada 2005.

Dianiaya

“Kami hanya berkenalan lebih kurang sebulan, ketika itu suami berumur 48 tahun dan saya 34 tahun.

‘’Merasakan saya akan bahagia di sampingnya setelah dianiaya suami pertama, saya nekad menerima Amin (bukan nama sebenar) dalam hidup saya. Anak-anak walaupun masih kecil merestui pernikahan saya kerana mereka juga perlukan ayah untuk menumpang kasih.

“Tidak seperti pasangan lain, kami bercinta selepas kahwin. Saya nampak ada bezanya dengan cinta sebelum kahwin dan cinta selepas kahwin setelah hidup bersama Amin.

“Walaupun hidup kami tidak mewah tetapi sarat dengan kasih sayang. Suami seorang yang penyabar dan saya rasa bahagia sekali menjadi isterinya.

“Namun, kebahagiaan itu hanya sementara. Saya mula nampak sikap dingin keluarga suami terhadap saya dan anak-anak. Mereka seperti memulau kami, enggan bertegur sapa dan mula menabur fitnah terhadap saya.

“Paling menyedihkan hati, mereka menuduh saya dan anak-anak membebankan suami. Saya juga dituduh berkahwin dengan suami kerana hartanya.

“Tidak pernah terlintas di hati saya untuk mengaut harta suami dan keluarganya. Apa yang saya pentingkan adalah tempat untuk saya dan anak-anak berlindung dan menumpang kasih dalam meneruskan kehidupan kami.

“Anak-anak saya berusia lima dan lapan tahun. Masih kecil dan tidak faham erti kehidupan yang sukar ini terutama dengan masalah yang saya hadapi.

“Tapi mereka anak yang baik, mendengar kata dan pandai membawa diri. Bayangkan bagaimana perasaan anda melihat anak-anak sebaya itu tidak dibenarkan oleh keluarga suami bermain bersama anak-anak mereka.

“Air mata saya mengalir apabila melihat keadaan ini. Sedih sangat. Anak-anak pula bertanya kenapa mereka tidak dibenarkan bermain dengan anak-anak saudara suami yang mereka panggil ayah.

“Apa yang boleh saya katakan melainkan memujuk mereka dengan menyuruh mereka bermain di dalam rumah sahaja.

“Mujur Amin memahami dan berjanji akan menjaga saya dan anak-anak seperti mana dia menjaga dirinya dan anak-anaknya juga.

“Anak-anak tiri saya pula berusia dari 15 hingga 25 tahun. Mereka tidak suka kepada saya sebab dihasut oleh ibu dan bapa saudara mereka supaya jangan berbaik-baik dengan saya. Mereka juga dilarang tinggal bersama saya kerana saya dituduh kuat main bomoh.

“Bagaimanapun anak tiri perempuan terpaksa tinggal dengan saya kerana dia akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) hujung tahun ini.

“Saya berusaha melakukan yang terbaik untuk melayaninya dan mencurah kasih sayang sedaya mungkin. Biarpun ada masa dia buat perangai tapi saya sabar dan berdoa agar satu hari nanti dia akan berubah.

“Perasaan saya semakin terluka apabila adik-beradik dan ipar duai yang tinggal berdekatan juga tidak mahu menegur saya biarpun saya telah berusaha untuk mengalah dengan mereka.

“Mungkin kerana terlalu sayangkan saya, Amin sehingga kini tidak bertegur sapa dengan adik-adiknya yang tinggal di belakang rumah kami. Puncanya dia marah sebab mereka mengata saya dan anak-anak menyusahkan hidup abang mereka.

“Di sebalik sikap tolak ansur yang saya tunjukkan, sehingga kini mereka masih berusaha memburuk-burukkan saya. Namun Allah Maha Berkuasa, ketika mengandung saya dipanggil temuduga. Syukur akhirnya rezeki memihak kepada saya, pekerjaan itu menjadi milik saya.

“Selain mendapat kerja, saya juga selamat melahirkan seorang anak lelaki yang kini berusia tiga bulan. Manisnya lagi saya juga telah membeli sebuah kereta.

Tertekan

“Di sebalik kegembiraan itu saya terus terluka dengan sikap keluarga suami. Saya sedih sangat, luaran nampak saya tersenyum tapi di jauh di sudut hati saya tertekan dengan sikap mereka.

“Bagaimanapun saya akan berusaha untuk menangani masalah ini tanpa berputus asa. Apa yang menggembirakan, Amin sentiasa memberi sokongan terhadap saya.

“Saya amat berterima kasih dan menghargai pengorbanannya untuk saya dan anak-anak walaupun terpaksa berselisih faham dengan keluarganya.

“Sebagai menantu saya berharap mentua akan menerima saya satu hari nanti begitu juga keluarga suami yang lain.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa daripada suami jauh sekali mengaut hartanya. Itu janji saya. Cukuplah seadanya. Apa yang saya inginkan adalah kasih sayang dan perhatiannya untuk membahagiakan rumah tangga kami sehingga ke akhir hayat. Insya-Allah saya akan menjadi isteri yang baik dan menghargai suami seperti mana dia menghargai saya dan anak-anak,’’ kata Puteri Balqis menamatkan ceritanya.

Begitulah yang tersurat dalam hidup Puteri Balqis. Kisah ini baik dijadikan iktibar kepada isteri yang pernah gagal dalam rumah tangga tetapi diberi peluang kedua untuk hidup dalam rumah tangga.

Saya pasti impian dan harapan Puteri Balqis cukup tinggi terhadap suaminya. Namun seperti biasa, ujian dan cabaran pasti akan datang. Tidak dapat dielak.

Di sinilah letaknya kekuatan Puteri Balqis untuk menghadapinya. Soal kasih sayang terhadap suami baru mungkin satu perkara mudah untuk dilakukan tetapi cabaran menghadapi mentua dan ipar duai juga satu masalah besar.

Ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk menangani perasaan dihina, dicaci dan disindir keluarga suami.

Kepada Puteri Balqis, ingin saya tegaskan, bukan mudah mengharungi dugaan rumah tangga. Pun begitu saya pasti anda mampu mengharunginya. Pesanan saya, jangan putus asa. Biarpun mereka enggan menegur, beralah dan tunjukkan muka manis.

Yang penting, jangan hampakan orang, jangan patahkan hati orang.

Menutup kata, jadikan rumah tangga mu sebagai syurga yang sarat dengan kasih sayang dan ketegangan, bukan kalut dengan masalah. Sesungguhnya ketenangan itu satu nikmat. Sebaiknya, kenangkan segala kegembiraan dan kejayaan yang telah dilalui dan lupakan kesulitan dan kesengsaraan. Sesungguhnya, masih ada bahagia yang menanti.’’

artikel dipetik dari Utusan

SUKA AKAN BLOG INI ? UNDILAH KAMI...UNTUK KAMI IMPROVE RANGKING KAMI LAGI...

Best Malaysian Sites
Malaysian Topsites - Top Web Sites in Malaysia

No comments