728x90 AdSpace

ARTIKEL BARU

29 June 2008

Isteri mahu tuntut cerai


SAYA berkahwin 12 tahun lalu dan ada tiga anak kecil. Sejak suami berkahwin lagi tiga tahun lalu, dia jarang pulang ke rumah. Malah nafkah untuk anak semakin lama semakin susut, ada kalanya tidak diberi langsung.

Pada mulanya saya marah dengan tindakannya berkahwin di sempadan secara rahsia kerana terasa dikhianati. Bagaimanapun, demi anak, saya cuba buang perasaan marah, asalkan dia tidak melupakan tanggungjawabnya.
Namun, kini selepas mempunyai anak dengan isteri kedua, dia semakin jarang balik ke rumah. Jika balik pun hanya untuk menjenguk anak tanpa memberi nafkah kerana katanya, saya mempunyai pendapatan yang baik, sedangkan isteri keduanya tidak bekerja.

Sudah banyak kali saya menimbang untuk menuntut cerai kerana tidak tahan hidup dalam keadaan begini, tetapi timbul pula konflik dalam diri sendiri; saya tidak mahu anak membesar tanpa bapa (walaupun suami hanya balik sekali sekala).

Saya cuba berlembut dan mengalah, dengan harapan suami dapat menjadi suami yang adil, setidak-tidaknya dalam soal pembahagian masa.

Namun, saya dapati semakin saya mengalah, saya seolah-olah dipijak. Kini saya nekad mahu menuntut cerai dan berasakan lebih baik saya hidup sendiri kerana selama ini pun saya yang menanggung semua perbelanjaan anak.

Adakah saya berdosa untuk menuntut cerai kerana perkara ini? Apakah tindakan yang boleh saya ambil untuk menuntut nafkah anak dan apakah cara yang boleh dilakukan bagi memastikan suami membayar nafkah itu secara tetap?

SHA
Pulau Pinang


Dalam masalah puan, jika segala usaha puan tidak memberi kesan atau kesedaran kepada suami, cara terakhir ialah menuntut fasakh.

Fasakh ialah membatalkan ikatan perkahwinan melalui kuasa kadi dengan sebab-sebab tertentu tanpa ucapan talak.

Kedua-dua suami isteri tidak sanggup lagi untuk meneruskan perkahwinan dan jika diteruskan juga, ia boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga.

Fasakh diharuskan untuk kebaikan kedua-dua pihak, sama ada pihak suami mahupun isteri. Isteri boleh menuntut fasakh daripada suaminya di mahkamah syariah.

Jika berlaku beberapa perkara, antaranya:

> Suami tidak bertanggungjawab menanggung nafkah zahir atau nafkah batin

> Suami menghilangkan diri tanpa berita setelah sekian lama

> Suami tidak berlaku adil terhadap isterinya (jika suami beristeri lebih daripada satu)

> Suami menghidap penyakit berbahaya yang sukar diubati

> Suami tidak taat pada ajaran Islam dan suka melakukan maksiat

> Suami melakukan kezaliman ke atas dirinya (diri isteri) seperti memukul

Puan boleh merujuk kepada mahkamah syariah untuk mengetahui prosedur menuntut nafkah anak dan bagi memastikan suami puan membayar nafkah itu secara tetap.

Dijawab oleh
Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri


artikel dipetik dari HARIAN METRO
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Isteri mahu tuntut cerai Description: Rating: 5 Reviewed By: rahsia perkahwinan
Scroll to Top