Breaking News

Suami risau air mani tiada sperma

SAYA berusia 33 tahun dan sudah berkahwin beberapa tahun lalu. Sehingga kini saya masih belum dikurniakan anak.

Baru-baru ini saya bersama isteri menjalani pemeriksaan kesuburan. Isteri saya mempunyai tahap kesuburan normal, bagaimanapun doktor mendapati air mani saya tidak mengandungi sperma.

Bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Bolehkah doktor cadangkan cara lain bagi kami untuk mendapatkan zuriat sendiri?

HAS | Terengganu.

APABILA berkahwin, perkara mendapatkan zuriat sememangnya menjadi agenda utama. Selagi isteri belum hamil, sudah tentu dua pihak rasa tertekan terutama si isteri yang menjadi tumpuan dalam penghasilan zuriat.

Sehubungan itu, daripada menunggu dengan penuh tanda tanya adalah lebih baik berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesuburan.

Bagi suami, doktor akan menjalankan ujian air mani dan isteri perlu menjalani ujian kemampuan menghasilkan telur dan pengenalan mengenai kedudukan rahim serta salur telur sama ada tersumbat atau bermasalah.

Jika ujian air mani tidak menunjukkan sperma, istilah perubatan yang digunakan ialah ‘Azoospermia’. Ujian air mani perlu diulangi beberapa minggu dan jika sudah melakukan sekurang-kurangnya tiga kali tetapi keputusannya masih sama, ia terbukti sperma memang tiada.

Sehubungan itu, ujian susulan perlu dilakukan kepada suami untuk mengenalpasti sebab ia berlaku dan memberi rawatan sewajarnya.

Selain ujian air mani, pemeriksaan perlu dilakukan kepada buah zakar untuk mengenalpasti isi padunya (mengukur buah zakar dengan alat pengukur Orkidometer) dan meneliti sama ada terdapat apa yang luar biasa seperti kebenjolan, angin atau air pasang atau varikosel (pembuluh darah ven bepintal).

Selain pemeriksaan, ujian hormon untuk mengenalpasti tahap hormon kesuburan dan testosteron dijalankan untuk mengetahui sekiranya ada kekurangan atau peningkatan.

Jika tahap hormon tinggi bermakna ada kerosakan pada kilang buah zakar. Mungkin sebagai cara terakhir, pembedahan kecil perlu dilakukan pada kedua-dua buah zakar untuk mengambil secebis tisu buah zakar. Ia bertujuan untuk mengkaji tisu bagi meneliti kilang sperma kedua- dua buah zakar sama ada bermasalah atau sebaliknya.

Rawatan sewajarnya akan diberikan jika masalah sebenar dikenali. Jika situasi menjadi buntu, kemungkinan pasangan kelamin itu boleh mengambil anak angkat.


SAYA berusia 33 tahun dan sudah berkahwin beberapa tahun lalu. Sehingga kini saya masih belum dikurniakan anak.

petikan dari HARIAN METRO

No comments