Breaking News

Wanita boleh sumpah ‘al yamin’ jika tiada saksi | Rahsia , Al-Islam, Ceramah information about ISLAM

APABILA berbicara mengenai isu gender di Mahkamah Syariah, sering kali perkara yang diketengahkan sesetengah ahli masyarakat adalah undang-undang Islam menindas golongan wanita.

Idea ini pula diperbahaskan dengan terperinci oleh golongan yang kurang memahami falsafah undang-undang Islam itu sendiri sehingga dikatakan dengan jelas undang-undang Islam mengaibkan dan mendiskriminasi wanita menyebabkan mereka tidak mendapat keadilan di Mahkamah Syariah.

Contoh yang selalu digunakan adalah kenapa lelaki mendapat dua kali ganda berbanding wanita di dalam pembahagian pusaka (faraid). Mengapa dua orang saksi wanita hanya menyamai kesaksian seorang saksi lelaki.

Mengapa wanita perlu mendapat izin suaminya apabila ingin keluar dari rumah, kenapa ada peruntukan suami boleh memukul isteri yang nusyuz, kenapa al-Quran menggunakan ganti nama lelaki apabila merujuk kepada orang beriman dan pelbagai persoalan lain lagi.

Persoalan sebegini bukan hanya ditimbulkan orang bukan Islam, malah sebahagian orang Islam juga menimbulkan polemik ini seolah-olah agama Islam tidak mengambil kira kedudukan dan jasa wanita serta mengesampingkan peranan dimainkan golongan berkenaan.

Berhubung undang-undang keterangan Islam, adakah benar undang-undang Islam menindas wanita hingga menyebabkan keadilan tidak dapat dinikmati mereka di Mahkamah Syariah? Persoalan yang acap kali ditimbulkan ialah mengenai kesaksian di Mahkamah Syariah.

Berbeza daripada Mahkamah Sivil, di Mahkamah Syariah kesaksian boleh dibahagikan kepada dua kategori besar iaitu ‘syahadah’ dan ‘bayinnah’ selain ikrar. Untuk kesaksian dalam bentuk syahadah, sebenarnya bukanlah dengan membawa mana-mana lelaki untuk bersyahadah maka mahkamah akan membenarkan dan memberi kemenangan kepada pihak terbabit.

Setiap syahadah sama ada daripada lelaki atau wanita tertakluk kepada pemeriksaan ketat yang dipanggil ‘tazkiyah al syuhud’. Dalam Islam, sesuatu penghakiman mesti dibuat dalam keadaan hakim itu pasti mengenai penghakimannya.

Apatah lagi dalam kes jenayah membabitkan jenayah hudud umpamanya, ia hendaklah dibuktikan melampaui sebarang keraguan. Di mahkamah sivil pula, beban pembuktian hanyalah melampaui keraguan yang munasabah. Ini antara sebab kenapa elemen kesaksian amat dititikberatkan dalam Islam.

Adakah ini bermakna wanita yang berulang-alik ke Mahkamah Syariah yang membabitkan permohonan cerai, fasakh dan lain-lain akan dinafikan hak mereka kerana tidak dapat mengemukakan saksi lelaki?

Jawapannya tentulah tidak. Walaupun seseorang itu tidak mempunyai saksi atau pembuktian mencukupi, mereka masih berpeluang untuk menang kes. Perkara ini mustahil berlaku di Mahkamah Sivil.

Ada prosedur menurut hukum syarak yang dinamakan ‘al yamin’ atau sumpah, berbeza dengan sumpah yang ditadbir di Mahkamah Sivil ataupun sumpah apabila memberi keterangan di Mahkamah Syariah. Ia adalah sumpah khusus yang menggunakan nama Allah.

Untuk ini Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menggarap Arahan Amalan berhubung Amalan Sumpah Mahkamah Syariah. Arahan Amalan No 2 2006 itu berkuatkuasa 1 Jun 2006 dan dipakai ke atas segala prosiding tuntutan mal (sivil) di Mahkamah Syariah.

Arahan Amalan itu memperincikan antara lain hak yang boleh menerima pakai al yamin, cara bagaimana mentadbir sumpah al yamin, syarat dan pelaksanaannya serta kuasa hakim memerintahkan pihak bersumpah.

Dengan wujudnya arahan amalan itu, wanita yang gagal mengemukakan keterangan mencukupi boleh bersumpah mengikut kaedah yang ditetapkan dan hakim akan membuat keputusan berdasarkan sumpahnya.

Amalan sumpah diwujudkan bagi memudahkan pelaksanaan perbicaraan di Mahkamah Syariah kerana ia akan mengelakkan kes ditangguhkan kerana ketiadaan saksi. Ia juga akan menghindar daripada perbicaraan panjang yang sudah tentunya membabitkan kos dan perbelanjaan tinggi.

Sejak terpakainya arahan amalan itu, kes di Mahkamah Syariah dapat dipacu dengan kadar yang berkesan di samping tidak meminggirkan keadilan kepada mana-mana pihak. Cara sebegini tidak ada dalam tatacara di Mahkamah Sivil kerana Mahkamah Sivil bukan mahkamah yang diasaskan berpaksi kepada kepercayaan kepada Tuhan.

Dalam keadaan sedemikian, kita sering mendengar kisah orang yang berani memberi keterangan palsu di mahkamah. Tetapi jika keterangan palsu diberikan selepas al yamin di Mahkamah Syariah, maka laknat Allah akan melanda orang yang bersumpah itu.

Kegerunan terhadap Allah menjadi benteng untuk berkata benar. Sudah banyak kali terbukti di Mahkamah Syariah seseorang yang berbohong selepas bersumpah dilaknat Allah dengan pelbagai penghinaan.

Bagaimanapun, peruntukan yang diadakan itu tidak digunakan sepenuhnya oleh pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah. Adakah dalam keadaan seperti ini Mahkamah Syariah dan undang-undang Islam harus dipersalahkan?

Justeru, apabila kita membandingkan sesuatu, kita hendaklah membandingkannya dengan betul. Jangan hanya kerana dalam ’syahadah’ seorang saksi lelaki sama dengan dua orang saksi wanita kita melabelkan undang-undang syariah sebagai mendiskriminasi dan menindas wanita.

Ada jalan keluar yang digariskan hukum syarak bagi memastikan keadilan diberikan kepada semua orang dan hak diberikan kepada mereka yang berhak saja.

Oleh itu, apabila membicarakan isu gender, yang penting bukanlah kita berlumba antara golongan lelaki dan wanita untuk dianggap sama tara dalam semua keadaan. Keadilan itu sendiri bermaksud meletakkan sesuatu mengikut tempat sepatutnya.

Apa yang perlu diutamakan ialah untuk mendapat keredaan Allah. Di dalam mencari keredaan Allah tiada perbezaan antara lelaki dan wanita. Masing-masing mempunyai peluang yang sama dalam mencapai kasih sayang dan keredaan Allah.

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
exco_pgsm@yahoo.com.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PSM). Semua komentar boleh dikirim ke exco_pgsm@yahoo.com.

Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]

No comments