Breaking News

Peluh berlebihan punca utama badan berbau | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA

Peluh berlebihan punca utama badan berbau | Health care, kesihatan, disease, medicine, MALAYSIA
Hyperhidrosis jejas mutu kehidupan pesakit sehingga ada yang terpaksa mengasingkan diri

KAJIAN terkini mendapati kira-kira 2.5 peratus daripada populasi masyarakat menderita hyperhidrosis atau peluh berlebihan yang bukan saja boleh mengakibatkan apa yang dipegang menjadi basah, sebaliknya bau badan tidak menyenangkan.

Antara punca bau badan ialah ketidakseimbangan hormon, diet, obesiti, menopaus dan pembiakan bakteria di tempat terpencil seperti bawah lengan. Puncanya, peluh berlebihan.

Tidak kita jantina, aroma yang kurang menyenangkan itu sering kali menimbulkan suasana kurang selesa sama ada kepada yang empunya badan mahupun orang yang berada di sekelilingnya.

Pengarah Urusan Riemann & Co, Anne Kirstine Riemann, berkata secara purata, seorang dewasa mempunyai kira-kira lima juta kelenjar peluh di seluruh tubuh, tetapi lebih banyak pada beberapa bahagian tubuh seperti dahi, tangan dan kaki.

Bagaimanapun, secara perbandingan, ketiak manusia mempunyai sejumlah satu peratus daripada keseluruhan kelenjar peluh.

“Bagaimanapun, peluh pada bahagian ketiak lebih ketara kerana peluh tidak mudah menyejat sebagaimana bahagian tubuh yang terdedah. Mengurangkan bau berkenaan, penggunaan bahan antipeluh dan deodoran sering kali menjadi pilihan yang mana ia mempunyai fungsi berbeza.

“Penggunaan bahan antipeluh mengurangkan peluh dengan mengawal aliran peluh pada ketiak sekali gus menutup bau badan. Deodoran pula menghalang bau menerusi penggunaan wangi-wangian dan mengurangkan tahap bakteria pada ketiak, namun ia tidak menghalang perpeluhan,” katanya ketika ditemui sempena pelancaran produk antipeluh PerspireX di ibu negara, baru-baru ini.

Katanya, melihat fungsi berkenaan menyebabkan ada yang menyatakan penggunaan bahan berkenaan boleh menyebabkan barah payu dara kerana didakwa memberi kesan kepada gen DNA yang mengawal pembentukan ketumbuhan barah.

Tegasnya tiada bukti mengenai hal ini kerana secara fisiologikal, sukar bagi bahan kimia menembusi buah dada kerana kelenjar limfa lazimnya menghapuskan sebarang toksin.

Katanya, produk antipeluh PerspireX mempunyai ciri unik kerana tidak perlu disapukan pada bahagian dikehendaki setiap hari, sebaliknya hanya dua kali seminggu sebelum tidur dan pastikan pada kulit yang benar-benar kering, diikuti mandi pada keesokannya.

Mengulas lanjut, Riemann berkata, Perspirex dihasilkan oleh bapanya kira-kira 28 tahun lalu bagi membantu beliau yang mengatasi masalah peluh berlebihan ketika remaja dulu.

“Ketika bekerja dulu, saya pernah ditegur kerana memiliki bau badan yang kurang menyenangkan dan hanya menyedari apabila ditegur rakan sekeliling. Saya ingatkan pakaian saya yang menyebabkan bau itu dan bagi mengatasinya, saya kerap menyalin tukar baju.

“Tetapi akhirnya saya mengaku ia berpunca daripada tubuh saya dan ia dianggap sebagai masalah bau badan. Sejam selepas mandi, bau badan saya tetap berbau macam satu hari tidak mandi,” katanya.

Mujur bagi Riemann, apabila ayahnya menyedari masalah dihadapi lantas ayahnya yang juga Pengarah Urusan Perspirex ketika itu tampil bersama formula yang menghalang daripada berpeluh berlebihan.

Kini syarikat berkenaan dikendalikan olehnya di lokasi kilang baru yang dibuka tahun lalu di Hilleroed, Denmark. Beliau bersama rakan kerjanya, Pengarah Jualan, Irene Stnotrk Jdegreergensen memahami individu yang menderita hyperhidrosis.

Katanya, akibat masalah itu ada yang enggan menanggalkan jaket mereka kerana berasa malu orang boleh melihat ketiaknya yang berpeluh, dan dalam kes lain ada yang ‘menyembur’ minyak wangi untuk menutup bau peluh badan mereka.

Produk ini dikatakan mendapat sambutan menggalakkan di Asia kerana cuaca rantau itu yang panas menyebabkan orang ramai mudah berpeluh dan menyebabkan badan berbau.

Perunding Bedah Kardiovaskular dan Torasik, Dr David Khoo, berkata pesakit yang menghidap penyakit itu akan berhadapan dengan masalah sosial apabila berasa rendah diri dan rasa tidak selesa.

Katanya, menangani masalah berkenaan segelintir pesakit mencari penyelesaian seketika seperti mengambil suntikan botox dan ada juga yang memilih cara pembedahan singkat, endoscopic thoracic sympathectomy, yang boleh menghalang isyarat saraf daripada mengeluarkan peluh.

“Pembedahan adalah pilihan terakhir kerana ia mungkin membabitkan sedikit kos. Sungguhpun ada pesakit yang berusia belasan tahun menjalani pembedahan, sebagai pengamal perubatan kita tidak melakukan ia sesuka hati.

“Sebagai contoh sekiranya pesakit ingin pembedahan dilakukan kepada anak yang kecil, kita khuatir pula sekiranya pada masa depan ia akan sembuh sejajar pertambahan usianya,” katanya.

FAKTA: Masalah peluh berlebihan:

* Ketiak serta kaki adalah bahagian menjadi tumpuan pengeluaran bau. Ini kerana kelenjar peluh yang dihasilkan pada bahagian berkenaan bukan saja aktif sebaliknya bahagian itu lebih terlindung menyebabkan pengaliran udara di kawasannya lebih sukar.
* Kelembapan mengundang pembiakan bakteria dengan lebih aktif dan bau busuk itu sebenarnya berpunca daripada bahan buangan yang dihasil oleh bakteria berkenaan.
* Perpeluhan pula berlaku disebabkan struktur kecil di dalam kulit yang dikenali sebagai kelenjar peluh.
* Kulit mengandungi tiga kelenjar iaitu kelenjar ‘eccrine’, ‘apocrine’ dan ’sebaceous’.
* Kelenjar ‘eccrine’ mengeluarkan cecair iaitu 99 peratus air yang menyebabkan basah di bahagian ketiak sementara kelenjar ‘apocrine’ pula mengeluarkan lelehan yang mana bakteria akan memecahkan lelehan yang mengundang aroma kurang menyenangkan.
* Bagaimanapun ini bukan masalah individu, sebaliknya selebriti tidak terkecuali apabila sebuah akhbar melaporkan penyanyi pop Amerika Syarikat, Britney Spears pernah dilaporkan mempunyai kaki berbau. Keadaan itu menyebabkan semua penumpang dalam pesawat yang dinaikinya menutup hidung dan mengomel sesama sendiri sebaik saja dia menanggalkan kasut. Bau kakinya amat busuk sehingga menyebabkan penumpang lain tidak selesa dan seorang pramugari terpaksa meminta Britney memakai semula kasutnya.


Mahu dapatkan pelbagai maklumat tips,informasi terkini dari
Rahsia Perkahwinan SECARA PERCUMA setiap hari ?
Daftarkan email anda[ di sini ]





No comments